Sunday, September 19, 2010

Kepada Yang Jauh di Utara

Kepada yang berkenaan, harap dapat menghayati petikan berikut;
"To fear love is to fear life, and those who fear life are already three parts dead".

Sunday, September 12, 2010

Bumm, bunyi Mercun!

Mercun, bunga api, meriam buluh dan sewaktu dengannya. Tidak dapat dilupakan akan bunyinya yang amat manyakitkan telinga. Kehadiran bunyi bising itu tandanya musim perayaan menjelma lagi. Aidilfitri dan Tahun Baru Cina, pada penulis antara persamaannya ialah malam menjelang tarikh sebenar perayaan tersebut, maka aktiviti bermain mercun dimulakan tepat pada jam 12 tengah malam.

Itulah kebiasannya. Pengalaman dizaman remaja dan kanak-kanak penulis akui memang ada keseronokkan bila bermian mercun atau meriam buluh. malah penulis sendiri ketika dizaman kanak-kanak dahulu kerap juga bermain "bom" menggunakan kepala paip yang bersaiz besar, yang disikan dengan belerang. Bunyinya, cukuplah penulis beritahu pasti akan mendetik jarum ukuran skala ricther. Kalau sudah teruk sangat sekalipun, masih ada "bom" yang ringkas iaitu menggunakan plug motosikal yang diubah suai. Bunyinya yang pasti lebih kuat berbanding 'air bomb' yang dijual sekarang.

Itu cerita pengalaman silam. Hari ini mercun yang dikatakan telah diharamkan untuk berada di Malaysia sudah mulai pudar haramnya. Tahun baru Cina dan Aidilfitri telah mempermainkan istilah "haram" tersebut. Timbul persoalannya dimanakah penguatkuasaan kita?

Itu bukan masalah penulis untuk memikirkannya. Fokus utama penulis kali ini ialah mengenai budaya atau amalam muslimin Malaysia bermain mercun setiap kali menjelang Aidilfitri atau Aidiladha. Apakah tujuan permainan mercun tersebut? Jika masyarakat cina bermain mercun ketika saat menjelang Tahun Baru Cina, mungkin kita mengetahui sebabnya seperti yang kerap dicerita oleh orang tua kita dulu-dulu, iaitu untuk menghalau kesialan, dan balutan mercun yang warna merah itu yang bertaburan dirumah masyarakat cina merupakan satu tanda kebesaran kepada mereka. Itu masyarakat cina.

Melayu Islam yang bermain mercun pada malam Aidilfitri, untuk tujuan apa? Suka-suka, atau terpengaruh dengan budaya masyarakat cina? Penulis melontar persoalan ini kerana sejak dua menjak ini hal ini seolah meruakan satu kemestian. Jika bermain mercun itu sekadar untuk meriuhkan suasana sambutan aidilfitri, mungkin ada juga kebenarannya.

Seingat penulis sendiri sehinggalah dewasa ini, sekolah tidak pernah memberitahu bermain mercun itu salah dari segi konsepnya. Cuma salah sebab merbahaya sebab ianya belerang dan mudah meletup. Berdasarkan konsep tersebut, rasanya sampai bila-bila pun masyarakat kiata akan terus bermian mercun....

Yang jelas, serononnya bermain mercun ialah pada saatnya ianya meletup...walaupun menyakitkan telinga untuk mendengarnya...

Thursday, September 9, 2010

Fadihlat Aidilfitri: Baca Sebelum Solat Raya

Hari Raya Aidil Fitri berasal daripada bahasa Arab iaitu yang berulang-ulang. Hari raya disambut berulang-ulang pada tiap-tiap tahun. Hari Raya Aidil Fitri yang juga terkenal dengan "Hari Raya Puasa" disyarikatkan oleh Allah s.w.t. untuk Umat Islam merayakannya. Ianya disambut menandakan kesyukuran Umat Islam di atas kejayaan mereka melaksanakan fardhu puasa sepanjang bulan Ramadhan dan menandakan kemenangan mereka dalam perjuangan menahan hawa nafsu dari perkara-perkara yang ditegah di dalam bulan puasa.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, pertama kegembiraan ketika mereka berbuka dan kedua kegembiraan mereka ketika bertemu dengan Tuhannya yang Maha Pemurah.

Umat Islam merayakan Hari Raya ini dengan penuh kesyukuran dan dengan pelbagai jenis amal bakti yang diredai oleh Allah s.w.t. di antaranya sembahyang Hari Raya, ziarah menziarahi di antara sesama mereka, bersedekah dan lain-lain lagi. Kemuliaan Hari Aidil Fitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah di dalam beberapa hadisnya. Oleh kerana itu kita Umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan Malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban. Sehubungan dengan ini Allah berfirman di dalam Al Quran.
Ertinya: Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid serta Takdis kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.

Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda barangsiapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat. 

Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya satu perkara yang disyarakkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah azzawajallah hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadhan. Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan.
Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud:
Barangsiapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir.

Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w. Firman Allah s.w.t.
Maksudnya: Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid kerana kamu telah mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.
Daripada hadis pula sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.
Maksudnya : Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.

Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda daripada Anas r.a.
Maksudnya: Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis.

Menurut huraian ulamak bahawa takbir Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha hukumnya sunat dengan lafaznya yang lengkap seperti berikut:

Bermaksud
Allah Maha Besar, 3x
Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah jualah yang Maha Besar
Allah Maha Besar 2x
Dan bagi Allah jualah segala puji
Allah Maha Besar

Alhamdulillah, Aidilfitri Datang Lagi

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Jumaat, 10 Sept 2010," jelas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah.

Setiap kali menjelang Aidilfitri atau Aidiladha, juga ketika menetapkan tarikh melihat anak bulan, maka wajah Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah, pasti akan menjadi tatapan ramai. Penulis sendiri sejak lahir dan hingga ke usia sekarang, setiap kali melihat wajah Pak Engku membuat pengumuman, merupakan saat yang mendebarkan. Melihat riak wajah Pak engku yang rileks, dan susunan ayat yang teratur serta menimbulkan persoalan apabila pengumunan berhenti di baris ayat yang menimbulkan persoalan, penulis tabik dengan tugas yang diamanahkan itu.

Sejak zaman persekolahan sekitar tahun 80-an, dan 90-an, pengumuman Pak Engku pasti akan dinanti-nantikan. Ingat lagi akan suasana ketika hendak menyambut Aidilfitri ketika bersekolah rendah, bila pengumuman Pak Engku tidak diendahkan atau tidak diberikan perhatian, walhal semua ahli keluarga berkumpul di depan televisyen menunggu penguman, penulis kena rotan. Betapa besarnya erti pengumuman Pak Engku, yang penulis fikirkan ketika itu sehingga penulis kena rotan sebab tidak beri perhatian kepada pengumumannya...

Itu cerita lama, kenangan atau nostalgia. Zaman sekarang Aidilfitri atau Aidiladha, boleh dijangka bila tarikhnya dan tidak ada lagi unsur kejutan atau debarannya. Berkembangnya teknologi maklumat maklumat memudahkan semuanya.

Pada penulis, melihat pengumuman Pak Engku baru-baru ini hanya menimbulkan ingatan manis ketika masih tinggal berkumpul dan bersama adik beradik serumah. ketika ibu dan ayah masih ada, dan saat meriam buluh dan mercun belum lagi diharamkan.

Melihat pengumuman Pak Engku semalam, terawang-awang fikiran membayangkan suatu ketika dahulu, saat itulah yang dinantikan oleh umat Islam di seluruh Malaysia. Namun tidak pada masa sekarang sebab sms yang dihantar ke telefon penulis memberitahu ada pihak yang ditangkap kerana mengikut fatwa sendiri menyambut Aidilfitri pada hari Khamis.

Dunia sudah berubah. Fahaman bijak pandai yang tidak cerdik pun sudah berluasa. Inilah godaan dan dugaan umat akhir zaman. Hanya berpandukan as-Sunnahdan al-Quran yang dapat menyangkal semua kebatilan.

Sempena Aidilfitri 1431 KALI ini, penulis ingin memohon ampun dan reda daripada semua pembaca dan kenalan maya yang mengenali penulis. Mohon dimaafkan zahir dan batin. Sebagai insan yang ingin manjadi yang terbaik dalam kalangan yang baik, dan sebagai manusia biasa, kita tidak lari daripada kesilapan sebagai manusia. Apa-apa jua yang dilakukan, jika berkaitan dengan para pembaca sekalian, tidak ada kaitan untuk membenci atau menzalimi. Tuhan Maha Mengetahui akan isi hati penulis setiap saat penulis hidup sebagai hambaNya.

Ya Allah, Ya Rabbi, Ya Tuhanku, sempena akhir Ramadan al-mubarak yang barakah kali ini, muliakan dan sayangilah saudara-saudaraku ini sebagaimana engkau menyayangi kekasihmu, baginda Muhammad Rasulullah SAW. Bahagiakan keluarganya, sihatkanlah kesihatannya, berkatilah rezeki mereka, berikanlah kenikmatan ibadah kepada mereka, dan jauhikanlah mereka daripada fitnah dan malapetaka, serta masukkanlah mereka ke dalam syurgamu kerana rahmatMu. Sesungguhnya Ya Allah, engkaulah Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, Amin...

Monday, September 6, 2010

Bila SUPP meminta...PBB bila lagi?

Berita ini menjadi muka utama Utusan Borneo pada Isnin, 6 September 2010. Akhabr ini edarannya tidak sampai ke tanah Semenanjung. Justeru, sebagai langkah perkongsian bijak untuk tujuan perbincangan, saya sertakan atau petik berita tersebut di laman sesawang http://www.theborneopost.com/?p=64510

Tan Sri George Chan dikatakan menyebut akan hal ini ketika berucap ketika mewakili Ketua Menteri Sarawak, yang tidak dapat hadir ke majlis makan malam ulang tahun ke-85 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri (MCCCI) di Hotel Imperial Miri.

Tiga perkara yang menjadi tuntutan parti SUPP. Untuk mengetahui selanjutnya, saya hidangkan disini laporan wartawan Utusan Borneo, Norhadie Sahari pada Isnin, 6 September 2010, untuk renungan para pembaca sekalian.

Agihan ekonomi yang adil penting bagi memastikan masyarakat Cina terus memberi sumbangan dan bukan cari peluang di luar negara: Dr Chan

MIRI: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan mendedahkan terdapat tiga tuntutan yang dimahukan atau kehendak oleh masyarakat Cina di negeri ini, selaras dengan konsep 1Malaysia.

Beliau memberitahu masyarakat Cina tidak meminta banyak tetapi cukup tiga tuntutan mereka dipenuhi iaitu peluang perniagaan yang diberikan sama rata tanpa mengira kaum, sistem pendidikan dan taraf hidup yang lebih baik.

Dr Chan memberitahu masyarakat Cina di negeri ini mahu memastikan bahawa terdapat agihan ekonomi yang adil dan bukannya dikuasai oleh pihak tertentu.
“Di bawah konsep 1Malaysia, peluang perniagaan perlu diberi sama rata tanpa mengira kaum kerana jika masyarakat Cina tidak diberi ruang maka mereka akan mencari peluang lain di luar negara,” katanya.

Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah tindakan sedemikian bukan sahaja akan merugikan kerajaan malahan sumbangan masyarakat Cina dalam pembangunan akan terus lesap.

“Kehendak masyarakat Cina supaya peluang perniagaan diberikan sama rata perlu dipertimbangkan kerana jika golongan itu mencari peluang di luar maka hasrat untuk mencapai status negara maju tidak akan tercapai,” katanya.

Dr Chan yang mewakili Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata demikian dalam majlis makan malam ulang tahun ke-85 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri (MCCCI) di Hotel Imperial Miri, malam kelmarin.

Beliau seterusnya menjelaskan, masyarakat Cina di Sarawak kini semakin lantang dan berani menyuarakan tuntutan, masalah dan isu yang tidak menyenangkan hati mereka.
“Sekiranya mereka mempunyai masalah, kemukakan terus kepada kita supaya masalah tersebut dapat diselesaikan dan jangan hanya pandai mengangkat nama semata-mata demi kepentingan sendiri,” katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan bahawa konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya mempunyai intipati yang memberi keadilan sama rata tanpa mengira kaum dan agama.

“Tiada hak keistimewaan yang diberikan dalam konsep 1Malaysia kerana ia adalah konsep yang adil dan saksama kepada semua kaum walaupun ada individu tertentu suka mengangkat nama untuk mendapatkan hak keistimewaan,” tambahnya.

Dr Chan memberitahu, ia bukan masanya lagi untuk golongan itu mengangkatkan nama demi untuk mendapatkan hak istimewa sebaliknya sekarang adalah masa untuk semua pihak diberi peluang sama rata.

Hadir sama ialah Presiden DCCI, Dato Sim Hock Guan, Presiden DCCI Malaysia, Tan Sri William Cheng Heng Jem, Menteri Muda Komunikasi dan Sukan, Datuk Lee Kim Shin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Datuk Aidan Wing.

Saturday, September 4, 2010

Bila PRA Besar Kepala...

Ini cerita Pembantu Rumah Asing (PRA) yang diimport dari Indonesia. Penulis tidak memiliki PRA, justeru penulis tidak pernah mengalami situasi ada PRA atau sewaktu dengannya. Namun, rakan penulis selalu meluahkan kemarahan beliau berhubung persoalan ini sehingga memberikan idea kepada penulis untuk menulis akan hal ini. Rakyat Malaysia sememangnya amat baik hati. Menjelang musim perayaan, Aidilfitri misalnya, pembantu rumah diberikan peluang bercuti pulang ke negara masing-masing untuk menyambut aidilfitri bersama keluarga tercinta. Itulah yang kerap di dengar dan berlaku. sememangnya orang Malaysia amat baik hati....walau kekadang selalu makan hati sebab terlalu baik hati. Sebaliknya yang berlaku ialah PRA yang dibenarkan pulang bercuti, pulang tidak akan kembali. Atau dalam erti kata lain, pulang dan terus menghilangkan diri. Akibatnya majikan menjadi mangsa keadaan. Walaupun aidilfitri 2010 belum lagi disambut, rasanya sebilangan majikan sudah dapat menghidu nasib yang akan mereka alami stelah PRA tidak kembali bertugas selepas bercuti. Apakah tindakan kerajaan berhubung persoalan ini?

Menurut rakan penulis yang marah-marah dengan apa yang akan berlaku, PRA tidak kembali bertugas satu hal. Bermaksud, dia akan dibebankan dengan pelbagai kerja harian yang selama ini PRA yang uruskan, selama tidak ada pengganti PRA yang baharu. Dan satu hal yang dia rasakan paling tidak adil ialah berhubung soal permit. Penulis diberitahu, sebagai contoh jika permit PRA tamat pada bulan Jun tahun 2011, dan PR tersebut tidak kembali bertugas semula selepas dibenarkan mengambil cuti raya, maka majikan yang akan dikenakan denda oleh pihak berkuasa tempatan dengan kadar lebih RM200.

Secara logiknya orang kebanyakkan pasti akan menjawab mudah sahaja untuk mengatasi hal ini, iaitu dengan membatalkan sahaja permit PRA untuk elak didenda. Hal ini tidak mungkin diambil oleh majikan yang amat-amat bekeperluan, dan yang mempunyai tanggungan yang mereka tidak dapat kendalikan lantaran mereka perlu pergi bekerja. Untuk mencari PRA yang baharu, adalah kos. Membatalkan permit dalam keadaan tidak ada maklumat yang jelas, atau hitam putih sama ada PRA yang sebelumnya akan kembali bertugas semula kepada majikan asalnya atau dia sememang berhenti terus tanpa notis, merupakan satu hal.

Timbul persoalan, siapa yang harus memastikan hal begini tidak berlaku? Jika majikan tidak memberi PRA untuk bercuti menyambut aidilfitri misalnya, rasanya tidak semua majikan di Malaysia yang begitu "sampai hati" berbuat demikian. Jika ada pun, mungkin dalam jumlah yang sedikit.

Dalam keadaan sama, jika dibenarkan pulang berhari raya ke negara sendiri, sudah pastinya PRA akan ditanamkan dengan pelbagai info lain yang menarik. Misalnya gaji lebih menarik jika bekerja di tempat ini dan itu dan sebagainya. Mungkinkah pihak berkuasa perlu memasukkan peranggan dalam perjanjian antara majikan dengan PRA bahawa PRA tidak akan diberikan cuti aidilfitri, dan PR tidak dibenarkan pulang ke negara masing-masing semasa cuti hari perayaan?

Penulis baharu sahaja mendengar permasalahan seumpama ini. Dengan memandangkan penulis tidak menemui statistik terkini berkaitan PRA di Malaysia, maka penulis menggunakan statistik pada tahun 2008.

Mengikut statistik dari Jabatan Imigresen Malaysia sehingga 30 Jun 2008, terdapat seramai 256,097 orang pembantu rumah asing yang bekerja di negara ini. Terdapat sembilan buah negara yang menjadi negara sumber bagi membekalkan pembantu rumah asing ke Malaysia. Negara-negara tersebut dengan jumlah pembantu rumah asing sehingga 30 Jun 2008 adalah seperti berikut.

Negara Jumlah (Orang)

Indonesia 237,256
Philippines 10,112
Kampuchea 7,003
Sri Lanka 682
Thailand 382
Vietnam 298
India 164
Nepal 46
Laos 1
Lain-lain 153

Mengurus pekerja asing termasuk pembantu rumah asing memerlukan perundangan dan peraturan-peraturan komprehensif dan berkesan. Bagi pembantu rumah asing, kerajaan telah pun mengadakan garis panduan peraturan dan akta-akta di bawah Akta Imigresen 1999 yang mencukupi bagi melindungi, menjaga kepentingan dan kebajikan pembantu rumah asing dinegara ini. Kerajaan ini juga menetapkan syarat-syarat permohonan untuk pembantu rumah asing supaya mereka tidak dieksploitasi oleh majikan.

Sebagai contoh, pembantu rumah asing beragama Islam hanya dibenarkan bekerja dengan majikan beragama Islam sahaja. Sekiranya ada majikan bukan beragama Islam yang ingin mengajikan pembantu orang asing yang beragam Islam maka majikan tersebut diwajibkan menandatangani perakuan pengambilan pembantu rumah asing yang beragama Islam. Di dalam perakuan ini, majikan diwajibkan menyediakan bilik penginapan khusus yang memberi kebenaran menunaikan ibadat wajib seperti sembahyang dan berpuasa.

Pembantu rumah asing juga tidak dibenarkan menguruskan kerja-kerja rumah yang haram dari segi Islam seperti menguruskan kerja berkaitan dengan anjing dan babi. Jabatan Imigresen Malaysia telah pun menetapkan sebanyak 30 garis panduan dan syarat-syarat pengambilan pembantu rumah asing.

Adakah garis panduan tersebut termasuk perkara yang penulis bincangkan disini? Tunggu jawapannya selepas Aidilfitri kelak...

Terima kasih Pehin Sri...


Berita ini penulis petik daripada laman sesawang Malaysiakini Edisi bahasa Melayu, 4 September 2010. Sebagai anak Sarawak, penulis kerap mendengar dan diajukan persoalan berhubung Ketua Menteri Sarawak. Antara soalan yang dikemukan ialah, "takkan tak ada orang lain yang boleh menjadi dan menggantikan tempat Ketua Menteri yang ada sekarang?"

Secara peribadi prinsip penulis dalam hal ini ialah begini. Ketua Menteri Sarawak sekarang adalah seorang yang dihormati kerana kebolehannya dalam memimpin Sarawak yang pelbagai edisi etnik dalam kelompok penduduknya, dan juga barisan kebinet negeri. Beliau juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional Sarawak, dimana turut dianggotai parti politik lain selain Bumipuetara Sarawak (PBB).

Sejak menerajui Sarawak sehingga sekarang, penulis beranggapan beliau berjaya mengekalkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Sarawak yang pelbagai etnik dan agama. Secara peribadi penulis beranggapan itu yang paling penting. Dalam soal pembangunan, penulis tidak akan memberi komen yang panjang lebar, sebab penulis memahami akan visi dan matlamat Pehin Sri untuk sedaya mungkin membawa pembangunan ke seluruh ceruk Sarawak.

Justeru, pada penulis jika ada pihak yang mempertikai Pehin Sri terlalu lama menjadi Ketua Menteri Sarawak, maka individu tersebut harus menjawab persoalan adakah pemimpin pelapis sekarang searang mampu melakukan seperti Pehin Sri lakukan juga? Yang penulis impikan ialah keharmonian dan perpaduan yang erat dalam kalangan penduduk berbilang kaum.

Jika ada, dan benar ada, maka silakan untuk menjadi KM Sarawak yang baharu. Jika tiada, dan belum sampai ketahap itu, maka ada baiknya Pehin Sri dikekalkan. Apa gunanya menukar pemimpjn jika masyarakat menjadi huru-hara? Orang politik pastinya ada impian politik, tapi orang awam hanya inginkan kedamaian, kesahjeteraan, keamanan, perpaduan yang erat sesama rakyat Malaysia, merasai nikmat kemerdekaan sebenarnya.

Adapun pelbagai tuduhan terhadap Pehin Seri, pada pendapat penulis, itu adalah persoalan peribadi beliau. Jika benar, Allah ada yang akan menjadi hakim Yang Maha Adil. Jika sebaliknya atas sebab tujuan politik, maka pihak yang menabur fitnah berusahalah agar meminta maaf pada Aidilfitri yang akan menjelang tiba kepada Pehin Seri.

Zaman mungkin berubah, idea kepimpinan turut sama berubah. Namun yang paling penting harus diambil perhatian oleh barisan kepimpinan politik yang berhasrat menjadi KM sarawak ialah persoalan "Adakah aku mampu berkarisma untuk menerajui Sarawak tanpa menggugat kestabilan sosial sekian lama di negeri ini?". Jawap soalan itu terlebih dahulu, dan barulah ke plan yang seterusnya.

Kepada Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, penulis ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas kepimpinan yang telah memberikan nikmat keamanan dan kesahjeteraan kepada kami sekeluarga selama menetap di Bumi Kenyalang ini. Kami bukan orang politik dan tidak ada kaitan satu incipun dengan pentadbiran negeri Sarawak.

kami hanya bersyukur kerana hidup dalam negeri yang dihuni pelbagai etnik dan agama, dan pada masa yang sama perpaduan dalam kalangan kami amat erat. Itu yang utama. terima kasih Pehin Sri

PETIKAN DRP MALAYSIAKINI.

Arahan 'tutup mulut' telah dikeluarkan kepada kakitangan akhbarNew Sarawak Tribune berikutan penggantungan tugas editor eksekutifnya, Paul Si berhubung sebuah artikel pada 30 Ogos lalu yang dikatakan tidak disenangi oleh Ketua Menteri sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Menurut sumber, kakitangan berkenaan diarahkan supaya 'tutup mulut' berhubung penggantung ke atas Si itu dan ia dipercayai adalah atas arahan anak perempuan bongsu Taib - Hanifah.

Hanifah dilaporkan mencaci editor kanan dan pengurusan akhbar berkenaan pada mesyuarat lewat petang Isnin lalu berhubung artikel berkenaan yang berlarutan sehingga keesokan hari.

Hari berikutnya, yang kebetulan Hari Kemerdekaan, Si digantung tugas. Dia enggan mengulas apabila dihubungi hari ini.

Semuanya gara-gara tindakan Si yang memilih laporan berjudul 'Adakah Taib Mahmud sekadar mahu menguji?' yang dibekalkan olehBernama sebagai tajuk halaman utama akhbar itu.

Laporan itu memetik pendapat penganalisis politik yang mempersoalkan motif Abdul Taib mengumumkan kesediaannya melepaskan jawatan ketua menteri menjelang pilihan raya negeri akan datang yang mesti diadakan sebelum Jun tahun depan.

Menurut mereka yang diwawancaraBernama, Abdul Taib tidak mempunyai niat untuk mengundurkan diri setelah memegang kuasa selama 29 tahun dan tawarannya itu dilihat cubaan untuk memancing sokongan daripada pemimpin tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, ahli lembaga pengarah Sarawak Tribune, James Ritchie menafikan laporan bahawa beliau telah dilucutkan daripada jawatannya sebagai 'penasihat editorial' berhubung penerbitan artikel itu.

Ritchie juga berkata beliau sangsi jika Abdul Taib secara langsung ataupun tidak - terbabit dengan keputusan menggantung Si.

“Ketua menenteri mempunyai dasar tidak campur tangan. Saya sangsi dia secara peribadi terlibat dengan keputusan memecat sesiapa di the Tribune,” katanya, ketika dihubungi.

Khamis lalu sebuah portal berita melaporkan bahawa Ritchie telah dipecat berhubung penyiaran artikel berkenaan.

The Tribune dilancarkan semula dengan penjenamaan baru pada 19 Mei tahun ini dan dirasmikan oleh Abdul Taib.

Akhbar berbahasa Inggeris paling tua di Sarawak itu pernah digantung pada 9 Februari 2006 kerana menerbitkan semula karikatur kontroversial yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Pihak pengurusan akhbar berusia 61 tahun itu kemudiannya mengambil keputusan untuk menutup akhbar berkenaan meskipun arahan penggantungan itu kemudiannya ditarik balik. Mereka sebaliknya menerbitkan Eastern Times.

Edisi terakhir Eastern Times diterbitkan pada 19 Mei, iaitu sehari selepas Sarawak Tribune berada di pasaran semula.

Akhbar itu dipercayai mempunyai kaitan dengan Abdul Taib. Ia adalah anak syarikat Naim Cendera Holdings Bhd, yang dimiliki oleh Abdul Hamed Sapawi.

Abdul Hamed adalah sepupu Abdul Taib dan mengikut majalahForbes, beliau adalah dalam senarai 40 orang paling kaya di Malaysia.

Erti Aidilfitri

Insya-Allah, beberapa hari lagi kaum musliin di seluruh dunia akan menyambut aidilfitri. Hari kemenangan kepada individu yang berjuang melawan desakan hawa nafsu, dan kemenangan dalam menambahkan amalan kebaikan sempena bulan yang penuh keberkatan. Setelah sebulan melakukan amalan kebaikan sudah pastikan kita berazam untuk terus melakukan kebaikan selamanya selama kita hidup di alam ini. Justeru, saya ambil petikan jawapan daripada Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (http://drmaza.com/home/) malumat berkaitan apa-apa yang perlu kita lakukan pada aidilfitri. Mudah-mudahan kita semua sentiasa mendapat rahmat daripadaNYA, amin...

1. Hari raya adalah hari membesarkan Allah dan bersyukur atas kurniaanNya. Kita bertakbir tanda kemenangan, bukan tanda kesedihan. Irama takbir ala melayu agak sedih. Jika kita dengar takbir yang dilaung di dunia Islam yang lain, khususnya di dunia Arab, kita akan tahu irama takbir mereka lebih bersemangat dan lebih mendekati perasaan kemenangan. Firman Allah:

“..dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (Surah al-Baqarah: 185).

Ayat ini menjelaskan tentang kedatangan hari raya sebagai tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Maka kita disuruh bertakbir membesarkan Allah pada hari raya. Ini semua menzahirkan kejayaan dan kegembiraan.

2. Hari raya bukan hari menzahirkan suasana sedih, sebaliknya hari raya menzahirkan suasana kekuatan, kegembiraan dan perpaduan umat Islam. Kata Ummu Atiyyah r.aha:

“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).

Suasana sebegini menimbulkan perpaduan, kekuatan dan kegembiraan. Wanita haid pun ke suruh untuk keluar ke tempat solat, sekalipun bukan untuk solat tetapi untuk menyertai suasana kemeriahan kaum muslimin.

3. Justeru itu, Nabi s.a.w bersolat di tempat lapang atau musolla (tempat solat). Baginda tidak bersolat di masjid baginda, sekalipun masjid Nabi sangat mulia. Ini bagi menzahirkan suasana gembira dan menggambarkan kepada masyarakat kekuatan umat Islam. Kata Abu Sa’id al-Khudri:

“Rasulullah s.a.w itu pada Hariraya Fitri dan Adha keluar ke musolla. Perkara pertama yang dilakukannya adalah solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari:

“Musollah itu tempatnya diketahui di Madinah, di mana antaranya dan masjid sejauh seribu hasta”.

Maka afdal solat di tempat lapang untuk lebih menzahir suasana tersebut. Melainkan tempat lapang sukar didapati, atau hujan atau memberikan kesusahan yang lain kepada orangramai. Al-Imam al-Nawawi (wafat 676H) ketika mensyarahkan hadis Nabi s.a.w bersolat di tempat lapang itu menyebut:

“Hadis ini menjadi dalil untuk mereka yang berpendapat disunatkan keluar bersolat hari raya di musolla. Ia lebih afdal dari ditunaikan di masjid. Inilah amalan orangramai di pelbagai negara. Adapun orang Mekah, mereka sejak dahulu bersolat di masjid (al-Masjid al-Haram)”. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 6/483. Beirut: Dar al-Khair).

4. Betapa suasana kegembiraan digalakkan pada hari raya, maka Nabi s.a.w mengizinkan atau menggalakkan hiburan seperti nyanyian, pertunjukan dan sukaria yang lain selagi tidak melanggar syariat. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:

bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua orang gadis sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka. Banyak hadis lain menunjukkan keizinan atau galakan hiburan pada hari-hari kegembiraan seperti hari raya, hari perkahwinan dan seumpamanya. Maka, dendangan lagu hari raya yang menimbulkan suasana kegembiraan adalah digalakkan. Adapun lagu-lagu yang menimbulkan kesedihan ia bertentangan dengan konsep hari raya dalam Islam.

5. Kata Ummul Mukminin ‘Aishah r.ha:

“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).

Hadis ini menunjukkan apa-apa pertunjukan, permainan atau gurau senda yang tidak melanggar syariat adalah digalakkan pada hari raya. Bukan satu kecacatan untuk orang yang kuat agama menyertainya, kerana Nabi s.a.w sendiri menonton pertunjukan pada hari raya.

6. Maka, jika berdasarkan kepada hadis-hadis di atas, hiburan kanak-kanak atau dewasa pada hari raya seperti permainan bunga api atau selainnya adalah tidak menyalahi syariat, bahkan digalakkan jika dapat menimbulkan kegembiraan. Begitu juga jamuan pada hari raya, duit raya, hadiah raya dan apa sahaja yang boleh menimbulkan suasana gembira. Namun kesemuanya hendaklah dipastikan dengan kadarnya yang tidak melampaui hukum-hakam syarak.

7. Menziarahi kubur itu pada asalnya disunatkan pada bila-bila masa bagi mengingatkan kita pada hari akhirat. Sabda Nabi s.a.w:

“Aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur, namun ziarahi sekarang kerana ia boleh mengingatkan kamu pada hari akhirat” (Riwayat Muslim).

Pada peringkat awal Nabi s.a.w melarang kerana bimbang kesan jahiliah dahulu masih mempengaruhi masyarakat. Apabila kefahaman Islam sudah kukuh, baginda mengizinkan kerana ia membantu mengingatkan hari akhirat. Ertinya, jika sesiapa yang apabila ke kubur akan terpengaruh dengan amalan khurafat, maka mereka ia sepatutnya mengelakkan diri dari menziarahi kubur. Jika ia menyebabkan mengingatkan hari akhirat, maka ia digalakkan.

8. Walaupun menziarahi kubur itu pada asalnya sunat, namun baginda Nabi s.a.w tidak pernah mengkhususkan supaya diziarahi khubur pada hari raya. Perbuatan mengkhususkan hari raya sebagai hari ziarah kubur tidak bersumberkan dari ajaran Nabi s.a.w. Apatahlagi dengan pelbagai upacara yang menyanggahi sunnah Nabi s.a.w yang diadakan oleh sesetengah masyarakat di kubur pada hari raya. Bahkan, jika kita melihat kepada konsep hari raya yang diterangkan, maka perbuatan bersedihan di kubur adalah menyanggahi tujuan hari raya.

9. Pada hariraya disunatkan mandi, berwangian, berpakaian cantik dan berjumpa orang ramai. Dalam hadis Jabir r.a berkata:

“Rasulullah pada hari raya mengambil jalan yang berbeza” (Riwayat al-Bukhari).

Maksudnya, jalan pergi ke tempat dan pulang yang berbeza. Kemungkinan antara hikmahnya untuk berjumpa orang ramai. Maka, berjumpa orang ramai pada hari raya adalah digalakkan dan itu patut menjadi tumpuan, bukan pergi menemui yang telah meninggal dan bersedih di kubur.

10. Pertemuan pada hariraya bukan untuk mencurahkan airmata, tetapi untuk mengucapkan ucapan kejayaan. Para sahabah apabila bertemu pada hari raya mengucapkan TaqabbalaLlah minna wa minka(semoga Allah menerima amalan kami dan kamu)” (lihat: al-Albani, Tamam al-Minnah 354-356). Ucapan-ucapan lain tidak salah selagi mengandungi maksud yang baik dan bukan membawa kepada kesedihan dan kedukaan.

11. Maka, jadikanlah hariraya sebagai hari kegembiraan dan kesyukuran, bukan hari kesedihan.