Friday, July 13, 2012

Demokrasi Rakyat Pertikai Ratu British

"Mereka paling mencegah kezaliman raja-raja" adalah perkataan sahabat Nabi SAW ‘Amr bin al-‘As ketika mengulas tentang kelebihan bangsa Rom ataupun bangsa Eropah ini. 
Saya teringatkan perkataannya apabila saya terbaca akhbar Daily Mirror pada 3 Julai lalu berhubung kritikan dan pendedahan mengenai belanja perjalanan keluarga diraja Britain, dengan tajuk "Royal Family's travel bill set rise higher".

Setiap anggota keluarga yang berbelanja dengan wang negara didedahkan. Perjalanan mereka dan berapa wang negara yang telah digunakan seorang demi seorang.

Antaranya, Daily Mirror melaporkan: "July 2011 Prince William and Kate spent £54,410 returning from LA with their staff of seven after touring Canada and California. A source said they paid business class fares for first class flights."
Banyak lagi pendedahan yang dibuat sebagai bantahan ke atas keluarga diraja itu menggunakan wang awam. Walaupun kadangkala yang digunakan itu kelihatan tidaklah begitu besar.

Peningkatan belanja Ratu Elizabeth juga dipertikaikan. Padahal jika kita teliti, Ratu British itu membayar cukai harta seperti rakyat yang lain. Namun, sikap adil dan demokratik membolehkan rakyat mengetahui dan menyemak sesiapa sahaja yang terbabit dalam salahguna wang awam.

Laporan itu menyimpulkan "The figures mean she (The Queen) costs the British population 52p per head, excluding the cost of her security and police protection".
Walaupun kadang-kala difikir jumlahnya tidaklah banyak dibandingkan kekayaan mereka dan jasa keluarga diRaja Britain dalam sejarah kemakmuran negara mereka. Namun, demikianlah sikap rakyat yang tidak feudal dan merdeka jiwa mereka.

Mereka berhak mengetahui bagaimana wang negara mereka dibelanjakan. Maka jangan hairan jika mereka sentiasa lebih baik dari segi hak rakyat dan pengurusan dana awam negara.

Kebebasan akhbar juga tidak dihalang dalam membuat laporan yang seperti itu. Malanglah, jika ada negara di dunia ini yang begitu meniru gaya baju British dalam upacara rasmi tetapi tidak memberikan hak bersuara kepada rakyat seperti yang British berikan pada rakyatnya.
Bangsa Eropah
Hal inilah yang mengingatkan saya kepada ulasan sahabat Nabi SAW iaitu ‘Amr bin al-‘As apabila mendengar seorang sahabat yang lain iaitu al-Mustawrid al-Qurasyi meriwayat sabda Nabi SAW: "Berlakunya Kiamat dan Rom merupakan manusia terbanyak" (Riwayat Muslim).

Maksudnya, sehingga berlaku kiamat, bangsa Eropah akan kekal dengan jumlah dan kekuatan mereka. Rom ataupun bangsa roman adalah bangsa Eropah hari ini.

Mendengarkan hadis tersebut, ‘Amru bin al-‘As sebagai seorang yang berpengalaman dengan pelbagai bangsa pada zaman tersebut mengulas dengan berkata kepada al-Mustawrid:

"Jika kamu sebut demikian, sesungguhnya pada mereka ada empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing) ketika dalam bahaya. Kedua; mereka paling pantas bangkit selepas bencana. Ketiga; paling cepat menyerang balas musuh. Keempat; mereka paling baik untuk anak yatim, orang miskin dan orang lemah kalangan mereka. Tambahan kelima, satu ciri yang baik lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja".
Dalam ucapan ‘Amr bin al-‘As, tergambar bahawa beberapa ciri penting untuk menjadi satu masyarakat ataupun negara yang kuat. Pertamanya, kebijaksanaan politik dalam menangani krisis.

Kedua, kemampuan untuk bangkit setelah jatuh dalam kegawatan. Ketiga, kekuatan ketenteraan. Keempat, kebajikan rakyat. Kelima, keadilan siasat yang menghalang segala kezaliman terutama kezaliman golongan penguasa.

Merenung hadis dan ucapan ‘Amr bin al-‘As ini, dapat kita lihat kekuatan dalam kehidupan masyarakat Barat ini sekalipun banyak perkara yang kita mungkin tidak bersetuju dengan mereka.

Ciri-ciri kebaikan dan kekuatan yang disebutkan ‘Amr bin al-‘As dapat kita lihat dalam pengurusan mereka yang lebih baik dibandingkan masyarakat lain termasuk masyarakat Muslim hari ini.

Sikap mereka dalam mencegah kezaliman penguasa lebih baik dari masyarakat lain yang feudal. Keluarga diraja mereka sekalipun berjasa dalam sejarah, namun hari ini tidak dibiarkan bertindak tanpa boleh dipertikaikan.

Dengan itu masyarakat mereka hidup dengan penuh keyakinan terhadap hak dan suara mereka. lihatlah di dunia Islam apabila ada golongan bangsawan yang boleh mengaut segala kekayaan minyak, balak, gas, tanah dan segala harta awam rakyat tanpa siapa boleh mempertikaikan.

Bahkan yang mempertikai pula yang dihukum. Padahal jasa golongan bangsawan negara-negara orang Muslim sukar hendak disenaraikan dalam sejarahnya dibanding monarki British.
Agamawan sengat
Malang sekali, muncul pula golongan agama yang sama ada jahat, ataupun jahil terhadap maksud agama dalam membebaskan manusia dari penghambaan zahir dan batin kepada menjadi hamba Allah yang merdeka jiwanya.

Lahir golongan literalis yang meletakkan nas-nas agama secara terpisah dan sengat dari maksud keseluruhan agama ini sehingga berdiam terhadap kezaliman penguasa dan membantah suara rakyat yang ditindas.

Mereka inilah yang berfatwa mempertahankan Muammar Qadafi, Hosni Mubarak dan rejim yang masih hidup iaitu Bashar al-Asad. Mereka sibuk menghalang rakyat bersuara, tetapi tidak sibuk "berforum, berwacana, ataupun berseminar" menghalang penguasa merakusi hak rakyat.

Mereka mendakwa ini pegangan salaf (generasi awal Islam), seakan golongan salaf itu banteng kepada rejim-rejim yang zalim. Merekalah yang sebenarnya menghina dan berdusta atas nama salafussalih.

Mereka lupa, bahawa Muawiyah bin Abi Sufyan sekalipun memberi ruang membantah dan bersuara kepada rakyat.

Dalam riwayat at-Tabarani, dengan sanad yang hasan: "Muawiyah bin Abi Sufyan RA (khalifah ketika itu) menaiki mimbar pada hari Jumaat, dia berkata dalam khutbahnya: Harta ini (kerajaan) adalah harta kami, dan harta fai (yang diperolehi melalui peperangan) juga harta kami. Kami berikan kepada sesiapa yang kami mahu, dan kami tidak berikan kepada sesiapa yang kami mahu."

Tiada seorang pun yang menjawabnya.
Apabila tiba Jumaat yang kedua, dia mengucapkan perkara yang sama. Tiada siapa pun menjawabnya. Pada Jumaat yang ketiga dia berkata perkara yang sama, lalu seorang lelaki yang hadir dalam masjid itu bangun dan berkata:

"Sama sekali tidak! Harta ini adalah harta kami (rakyat) dan fai ini adalah fai kami (rakyat). Sesiapa yang menghalang antaranya dengan kami, kami hukumnya dengan pedang-pedang kami."
Apabila selesai solat, Muawiyah memerintahkan lelaki itu berjumpa dengannya. Orang ramai berkata: "Habislah dia".

Kemudian orang ramai masuk dan mendapati dia duduk bersama Muawiyah di atas tempat duduknya. Muawiyah berkata kepada orang ramai: "Dia ini telah menghidupkanku (memberikan kebahagian), semoga Allah menghidupkannya. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku, mereka itu bercakap tiada siapa pun yang menjawab mereka. Mereka itu terjun ke dalam neraka seperti kera terjun."
Kata Muawiyah: "Aku bercakap pada Jumaat pertama, tiada siapa pun menjawabku, maka aku takut aku termasuk dalam kalangan mereka. Kemudian pada Jumaat yang kedua, tiada siapapun menjawabku, maka aku pun berkata: Aku termasuk dalam kalangan mereka. Aku bercakap pada Jumaat ketiga lelaki ini bangun menjawabku. Dia hidupkan (bahagiakan) daku, semoga Allah menghidupkannya."

Dunia bergembira dengan kemenangan Presiden Mesir yang baru Dr Muhammad Mursi. Saya mengikuti ucapan demi ucapannya. Ucapannya melambangkan nilai Islam yang ada dalam dirinya.

Islam itu asas pemikirannya. Saya tidak mengharapkan banyak, saya harap beliau menghidupkan demokrasi seperti yang dijanjikan. Memberikan hak rakyat dan membahagikan kekayaan negara secara betul. Menghidupkan negara yang tersusun dan berperaturan. Bebas dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Jika itu dapat dilakukan, Mesir yang terkenal dengan negara serabut dan tidak berperaturan itu akan dapat dibangunkan semula.

Umat Islam sekian lama menderita kerana kegagalan pengurusan negara mereka. Kini masa untuk berubah dengan menyingkirkan setiap golongan yang korupsi dan penyokong pemikiran feudal dari masyarakat Muslim.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis dan kini zamil di Universiti Oxford.

Friday, July 6, 2012

Kontradiksi Idea@Pendapat?

Aku terdorong untuk menulis siaran ini pada pagi yang Jumaat yang mulia ini kerana dua sebab. Pertama, bila membaca berlaku perdebatan bertulis mengenai isu idea atau pendapat. Kedua, aku hanya ingin berkongsi pendapat berhubung apa-apa isi yang berlaku yang sememangnya telah Allah tetapkan.

Bila difikirkan tentang idea dan pendapat, aku berpendapat tiada salahnya sesiapa jua yang memberi pendapat , usul ataupun idea. Semua insan yang mempunyai akal dan berkemampuan berfikir sepatutnya boleh memberikan pendapat masing-masing. Namun terpulang kepada kepada yang empunya yang meminta pendapat samaada dia mahu menerima pendapat anda ataupun tidak. Atau lebih manis lagi, janganlah idea, pendapat dan usul anda sampai ke tahap yang boleh memudaratkan keharmonian kaum di Negara ini. Akibatnya, anda boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hustan, Akta Fitnah dan sewaktu dengannya.
Pendapat, idea ataupun usul boleh dikembangkan daripada satu tajuk menjadi seribu cerita yang berbeza. Pendapat, idea dan usul boleh diberikan tanpa mengira faktor umur, senior atau junior, tuan ataupun pekerja. Jika anda seorang yang berkedudukan tinggi, tidak ada salahnya mendengar pendapat orang bawahan. Juga ibu serta bapa, sesekali beralahlah apabila anak memberikan pendapat, idea ataupun usul. Asalkan setiap pendapat, idea atau usul itu tidak menyalahi hukum Allah ataupun hukum alam, anggaplah boleh diguna pakai.

Nabi Daud as sering meminta anaknya Nabi Sulaiman as memberikan pendapat dan idea semasa baginda menjadi raja. Ternyata Nabi Sulaiman sewaktu itu masih muda remaja lagi mampu memberikan pendapat , idea dan usul yang baik. Baginda Muhammad SAW juga menerima pendapat sahabat ra bernama Khabbab bin Munzir iaitu seorang pakar strategi perang semasa memilih tempat sewaktu perang Badar. Apabila berlaku pendebatan atau pembalahan antara dua pihak atau kumpulan, ianya sememangnya rumit untuk diselesaikan. Pasti ada berlaku situasi saling tidak mengalah.

Jadi, ini boleh dijadikan sebagai cara untuk mendamaikan 2 golongan yang berbalah pendapat, idea dan usul. Tetapi pihak yang berbalah tersebut mestilah dapat menerima keputusan yang diberikan oleh rakan yang dipilih untuk membuat keputusan.

Pendapat, usul dan idea mampu membuatkan suasana menjadi lebih baik, terpelihara dan tersusun. Tetapi ianya juga boleh merosakkan keadaan atau membuat ianya bertambah teruk. Semuanya ada pro dan kontra. Sama-samalah kita memberi peluang kepada diri sendiri dan juga orang lain untuk memberikan pendapat, idea dan usul. Insya-Allah.

Monday, July 2, 2012

Sarawak Ketandusan Penerbit Buku?

Semalam, hari Ahad, aku menghabiskan seharian masa di Kedai buku MPH The Spring, di Kuching. Di bandar raya Kuching, terdapat beberapa buah kedai buku yang besar, termasuklah Popular Book Store. Aku lebih menyukai MPH banding Popular kerana dua faktor – kemudahan parkir kenderaan, dan kepelbagaian kedai lain yang da di The Spring, termasuklah juga kedai makanan citra antarabangsa – Korea, Jepun, Arab, Thailand, Barat dan tidak dilupakan Nusantara.

Seharian di MPH memang banyak yang diperolehi dan dibeli. Jika hendak dibuat kesimpulan, maka tidak salah untuk mengatakan bahawa masyarakat sekarang adalah masyarakat yang membaca dan membeli buku. Sekali gus, boleh menafikan akan hasil penemuan yang terdahulu yang mengatakan rakyat Malaysia hanya membaca dua helai muka surat setahun.

Masyarakat 1Malaysia yang berada di MPH semuanya membaca buku. Tanpa membezakan usia dan bangsa, semuanya khuyusuk membaca buku. Beberapa muka yang aku kenali memang merupakan pengunjung teta[p MPH di MHP pada setiap hari Ahad. Mereka mengambil kesempatan menggunakan peluang hari Ahad untuk membaca buku sepuasnya di MPH pada hari Ahad. Satu hobi yang mengasyikkan.

Sebagai anak Sarawak yang kerap membelek buku-buku di MPH, timbul juga tanda tanya, bila lagi penerbit di Sarawak wujud untuk menerbitkan buku? Hal ini kerana hanya ada buah buku sahaja yang ditemui diterbitkan oleh penerbit dari Sarawak. Yang boleh dikatakan banyak hanyalah buku yang dicetak oleh pencetak di Sarawak. Kedua penerbit tersebut ialah Konsultan Minda Interaktif dan Penerbit RS. Bila berbual soal penerbit, satu perkara yang menarik perhatian ialah perkembangan penerbitan buku di Semenanjung yang begitu rancak sekali. Tempiasnya turut dirasai oleh peminat dan pembaca di negeri ini.

Jika dahulu, selain penerbit DBP, hanya penerbit PTS yang dikenali para pembaca. PTS boleh dikatakan pencetus fenomena minat membaca kalangan rakyat Malaysia. Kenapa dikatakan demikian? Sebab PTS telah berjaya merangsang keghairahan membaca dengan menyelitkan kaedah penyampaian buku bacaan yang ringan, mudah dan jelas. Itu belum lagi termasuk persembahan grafik buku yang membuat para pembeli jatuh cinta pada pandangan yang pertama.

Hari ini, kewujudan penerbit buku yang mirip PTS tapi dengan imej yang tersendiri umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Malah persembahan reka bentuk buku dan grafik buku amat menarik sekali. Hal ini belum lagi jika kita bercakap berkaitan isi kandungan buku yang diterbitkan. Amat menggoda sekali dan boleh dilabel wajib beli. Kemunculan penerbit baharu seperti Telaga Biru, PNS, Hijjaz, Mustread dan banyak lagi telah merangsang perkembangan penerbitan buku, sekali gus memberikan pelbagai pilihan kepada para pembaca untuk memilih bahan bacaan mereka.

Sebagai pembeli dan pembaca, sudah semestinya bila bertambah banyak bilangan penerbit yang menghasilkan buku yang berkualiti, maka itu sudah suatu yang bagus dan menggembirakan. Penerbitan yang banyak menghasilkan pelbagai pilihan kepada pembeli. Dan sebagai pembeli, sudah semestinya akan memilih yang terbaik kalangan buku terbitan yang terbaik. Agar nilai RM yang dibelanjakan, berbaloi-baloi dengan buku yang dimiliki.