"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Jumaat, 10 Sept 2010," jelas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah.
Setiap kali menjelang Aidilfitri atau Aidiladha, juga ketika menetapkan tarikh melihat anak bulan, maka wajah Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah, pasti akan menjadi tatapan ramai. Penulis sendiri sejak lahir dan hingga ke usia sekarang, setiap kali melihat wajah Pak Engku membuat pengumuman, merupakan saat yang mendebarkan. Melihat riak wajah Pak engku yang rileks, dan susunan ayat yang teratur serta menimbulkan persoalan apabila pengumunan berhenti di baris ayat yang menimbulkan persoalan, penulis tabik dengan tugas yang diamanahkan itu.
Sejak zaman persekolahan sekitar tahun 80-an, dan 90-an, pengumuman Pak Engku pasti akan dinanti-nantikan. Ingat lagi akan suasana ketika hendak menyambut Aidilfitri ketika bersekolah rendah, bila pengumuman Pak Engku tidak diendahkan atau tidak diberikan perhatian, walhal semua ahli keluarga berkumpul di depan televisyen menunggu penguman, penulis kena rotan. Betapa besarnya erti pengumuman Pak Engku, yang penulis fikirkan ketika itu sehingga penulis kena rotan sebab tidak beri perhatian kepada pengumumannya...
Itu cerita lama, kenangan atau nostalgia. Zaman sekarang Aidilfitri atau Aidiladha, boleh dijangka bila tarikhnya dan tidak ada lagi unsur kejutan atau debarannya. Berkembangnya teknologi maklumat maklumat memudahkan semuanya.
Pada penulis, melihat pengumuman Pak Engku baru-baru ini hanya menimbulkan ingatan manis ketika masih tinggal berkumpul dan bersama adik beradik serumah. ketika ibu dan ayah masih ada, dan saat meriam buluh dan mercun belum lagi diharamkan.
Melihat pengumuman Pak Engku semalam, terawang-awang fikiran membayangkan suatu ketika dahulu, saat itulah yang dinantikan oleh umat Islam di seluruh Malaysia. Namun tidak pada masa sekarang sebab sms yang dihantar ke telefon penulis memberitahu ada pihak yang ditangkap kerana mengikut fatwa sendiri menyambut Aidilfitri pada hari Khamis.
Dunia sudah berubah. Fahaman bijak pandai yang tidak cerdik pun sudah berluasa. Inilah godaan dan dugaan umat akhir zaman. Hanya berpandukan as-Sunnahdan al-Quran yang dapat menyangkal semua kebatilan.
Sempena Aidilfitri 1431 KALI ini, penulis ingin memohon ampun dan reda daripada semua pembaca dan kenalan maya yang mengenali penulis. Mohon dimaafkan zahir dan batin. Sebagai insan yang ingin manjadi yang terbaik dalam kalangan yang baik, dan sebagai manusia biasa, kita tidak lari daripada kesilapan sebagai manusia. Apa-apa jua yang dilakukan, jika berkaitan dengan para pembaca sekalian, tidak ada kaitan untuk membenci atau menzalimi. Tuhan Maha Mengetahui akan isi hati penulis setiap saat penulis hidup sebagai hambaNya.
Ya Allah, Ya Rabbi, Ya Tuhanku, sempena akhir Ramadan al-mubarak yang barakah kali ini, muliakan dan sayangilah saudara-saudaraku ini sebagaimana engkau menyayangi kekasihmu, baginda Muhammad Rasulullah SAW. Bahagiakan keluarganya, sihatkanlah kesihatannya, berkatilah rezeki mereka, berikanlah kenikmatan ibadah kepada mereka, dan jauhikanlah mereka daripada fitnah dan malapetaka, serta masukkanlah mereka ke dalam syurgamu kerana rahmatMu. Sesungguhnya Ya Allah, engkaulah Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, Amin...
No comments:
Post a Comment