Wednesday, December 16, 2009
Penulis Lesu Masyarakat Bisu?
Dari satu segi, penulis bila berbual mesra dengan beberapa orang wakil dari negeri di bawah bayu, rasa tabik, kerana khabarnya atau boleh disimpulkan pengarang disana lebih vokal untuk bersuara berbanding di Bumi Kenyalang, yang bersifat malu-malu atau tidak berani tampil ke hadapan.
Dalam satu perbahasan yang pada penulis agak panas ialah persoalan kononnya pihak yang bertanggungjawab terhadap perkembangan bahasa, sastera dan penerbitan di Kuching, memonopoli ruangan atau wadah penulisan Yang Indah Itu Bahasa. Berdasarkan pengalaman penulis, tidak wujud persoalan monopoli dan sebaginya tapi penulis atau pengarang di Sarawak sendiri yang lesu, tidak bermaya.
Bukan suatu yang baharu penulis hanya berjanji untuk menghantarkan bahan, tapi akhirnya janji tinggal janji, walhal kerja penerbitan, terutamanya penerbitan berkala tidak mengenal erti tiada bahan. Jadual mesti dipatuhi dan siaran mesti ada. Itulah penerbitan berkala.
Itu satu hal. Belum lagi ada penulis yang menulis isu-isu yang boleh dikatakan sudah ketinggalan zaman. Sewajarnya, sebagai penulis terutamanya untuk tujuan menghantar penulisan rencana, isu yang hendak difokuskan biarlah isu terkini. Jika isu lama pun tidak salah jika dikemaskinikan dengan maklumat baharu agar penulisan menjadi up to date, walau pun sudah ada luahan yang bersifat setimental mempengaruhinya.
Masa tidak mengizinkan untuk saya menulis lebih panjang...
Monday, December 7, 2009
Kehidupan & Tanggungjawab
Dengan izinnya juga, sehingga ke tarikh ini sudah lebih 100 hari bondaku kembali ke rahmatullah. Pelbagai rasa dan kenangan mudah menguasai diri. Rasa ini mungkin pernah dialami oleh anak-anak lain yang kehilangan kedua orang tuanya. Saya mungkin salah seorang daripada mereka. Namun hidup mesti diteruskan. Terlalu banyak tanggungjawab kita sebagai manusia yang wajid dilaksanakan. Mungkin kita belum pernah membaca Rukun Menjadi Manusia yang harus dilaksanakan, namun sebagai seorang Islam, sama ada kita suka atau tidak besar tanggungjawab kita dalam kehidupan ini sebenarnya.
Lantaran itu jugalah, para sahabat Rasulullah pernah dikatakan selalu meluah sendirian tentang keapa mereka tidak dijadikan rumput, binatang dan benda lain selain manusia, kerana mereka memahami akan tanggungjawab yang harus mereka lakukan sebagai manusia yang beragama Islam.
Ya Allah, jadikanlah daku dalam kalangan hamba-Mu yang bertanggungjawab terhadap kehidupan dunia dan akhiratnya, Amin...
Masa terlalu singkat untuk saya menulis panjang. Masa berlari untuk membawa ku terus pergi ke destinasi lain. Insya-Allah akan bersambung lagi...
Wednesday, August 19, 2009
Al-Fatihah : Belangsungkawa Ibuku...
Ibu menghembus nafasnya 25 minit yang lalu. Mungkin sudah takdir, bahawa dia menunggu aku sebelum melepaskan nyawanya. Aku sememangnya rapat dengan ibu. Apa-apa jua hal berkaitan aku, kerja, peribada dan segalanya aku akan memberitahu kepada ibu. Mungkin itu sudah menjadi resam anak lelaki dengan seorang ibu.Pagi tadi, selepas sahaja subuh aku seperti biasa menjenguk ibuku. Pada masa itu ibu seperti biasa menyediakan sarapan untuk ayahku yang walaupun sudah lama menikmati pencen, namun masih bekerja disebabkan displin dalam hidupnya. Barangkali, itulah kesan jika terlalu lama bekerja sebagai pasukan beruniform.
Ibuku, seperti juga rakan sebayanya yang lain, menghidap penyakit kencing manis. Satu istilah yang pada pendapat aku glamour atau dikenali oleh semua lapisan masyarakat. Ibuku amat berdisplin dalam menunaikan tanggungjawabnya untuk memperolehi kesihatan yang sebaiknya untuk dirinya. Setiap hari, ibuku akan memakan pil yang dibekalkan oleh poliklinik kerajaan, Kekadang, aku sendiri menjadi insaf bila melihat ibuku makan pil dalam kuantiti yang banyak. Namun, ibuku selalu memberitahu, itulah arahan yang tertera pada setiap ubatan yang dibekalkan, dan mesti dimakan setiap hari.
Walaupun menanggung sakit, ibuku tidak pernah menjadikan itu alasan untuk tidak bersosial dengan jiran setempat. Ibuku amat aktif dalam kumpulan zikir marhaban di tempatku. Malah, dalam bidang politik, ibuku juga merupakan seorang setiausaha bahagian wanita sebuah parti politik! Menurut ibuku, dia dipilih kerana kaum wanita ditempat kami hanya mengenalinya, berbanding calon lain yang bertanding. Itu sahaja yang menyebabkan ibuku dipilih menjadi Setiausaha Cawangan.
Bukan untuk dibanggakan, tapi itulah ibu. Tangannya amat ringan untuk memberi pertolongan tanpa mengira bangsa atau agama. Ditempat ibu tinggal, penduduknya adalah berbilang kaum. Persekitaran rumah kami misalnya, disebelah kirinya berbangsa Iban, dihadapannya pula berbangsa Cina, dikanannya pula Bidayuh dan dibelakang rumah kami pula Cina. Namun pada ibuku, itu semua rakannya.
Aku masih ingat lagi setiap hari, terutamanya pada sebalah pagi dalam jam 1030 keatas, ibuku kerap kulihat bersembang dengan jiran-jirannya itu. Memang hubungan mereka akrab. Malah pernah satu peristiwa, jiran Cina belakang rumahku, bermalam di rumah ibu lantaran suaminya mabuk lantaran kecewa kalah berjudi. Hal itu berlaku selepas seminggu anknya berkahwin.
Akrabnya hubungan ibu dengan jiran-jiranku tidak terbatas semasa mereka, malah berkembang sehingga ke peringkat ahli keluarga jiran kami. Suatu ketika, jiran kami yang berbangsa Bidayuh, di pelawa oleh emak kepada jiran kami ke dusun duriannya di Serian, untuk menikmati musim durian. Pada sebelah petangnya bila ibu pulang ke rumah, aku dapati ada tiga guni durian di rumah. Baunya, usah diceritakan.
Dalam menggangotai kumpulan zikir marhaban pula, ibu dan sekumpulan jiran wanita yang lain telah membentuk kumpulan zikir marhaban yang mantap. Hasil usaha dan perngorbanan mereka, kumpulan itu kini dikenali dan disegani. Beberapa bulan sebelum kehadiran Ramadhan tahun ini, kumpulan ibuku menyertai pertadingan zikir marhaban bagi ketagori wanita. Kumpulan ibuku mendapat kumpulan ketiga pada majlis tersebut.
Yang jelas, ibuku seronok setiap kali menyertai pertandingan, walaupun dalam keadaan beliau yang uzur. Sebagai anak, memang aku kerap juga menasihati ibuku agar berehat. Namun, ibuku seperti biasa dengan caranya tidak akan menjadikan sakit sebagai alasan. Paling mengejutkan aku ialah bila ibu terus diarah menjalani pembedahan membuang katarak pada mata kirinya. Pada awalnya, aku yang menguruskan semua itu. Pada sesi perjumpaan kedua, aku menyuruh adikku membawa ibu ke Hospital Pakar untuk temu janji biasa. Namun, sesampai ke hospital, adikku memberitahu bahawa ibuku diarah untuk menjalani pembedahan memandangkan tekanan darahnya pada masa itu normal, dan sekaligus pihak doktor bersetuju untuk terus menjalankan pembedahan membuang katarak berkenaan.
Ibuku dengan selamba memberitahuku pada sebelah petangnya bahawa dia dahpun menjalani pembedahan membuat ketarak. Padaku, itu suatu yang mengejutkan. Namun itulah kekuatan ibuku.
Sejak pembedahan itulah ibuku, kerap mengalami pening kepala, dan batuk. Hal ini berlanjutan selama dua minggu. Kami sekeluarga berikhtiar pergi ke hampir semua klinik atas permintaan ibuku, agar penyakit batuknya itu dapat hilang segera. Menurut ibuku, batuk menyebabkan dirinya menjadi lelah dan keletihan. Sekaligus menyebabkan kesakitan pada matanya yang baru sahaja menjalani pembedahan.
Beberapa minggu, ibuku memang nampak risau dengan batuk yang dialaminya. Memang nampak kesakitan pada ibu akibat batuk. Sampai satu tahap, ibuku mengajak aku pergi ke klinik yang mana doktornya sudah hampir tiga tahun bersara. Kami sekeluarga memahami kesakitan ibu akibat batuk tersebut.
Sememangnya bila kita batuk, yang amat sakit ialah di bahagian kepada dan perut. Dengan keadaan fizikal ibu yang kecil dan sederhana, dan kesakitan akibat pembedahan mata, kehadiran batuk benar-benar membuat ibu keletihan. Mungkin disebabkan kerisauan dengan dengan batuknya itu, kandungan gula pada darah ibu meningkat naik. Aku diberitahu oleh seorang sahabat yang juga seorang doktor, kandungan darah pada pesakit kencing manis atau darah tinggi, boleh meningkat naik jika mengalami kerisauan.
Aku yakin ibu pun mengalami keadaan yang sama. Sehari sebelum pemergiannya, aku turut membawa ibu ke klinik, dan bila diperiksa paras gula dalam badan ibu amat tinggi. Doktor mencadangkan ibu ke hospital. Namun ibu memberitahuku dia tak mahu ke hospital. Aku dan adik beradik lain menjadi serba salah dengan keputusan ibu. Disebabkan tiada apa-apa yang ketara pada ibu, kami akur dengan keputusan ibu tidak ke hospital. Sebaliknya ibu terus makan dan menelan ubat yang doktor berikan.
Pagi itu, sebelum aku keluar pergi bekerja, aku menjenguk ibuku. Dengan wajah yang menahan sakit, ibuku memberitahuku bahawa terasa seluruh badannya lemah. Namun pada masa yang saya, ibuku baru sahaja selesai menyediakan sarapan pagi buat ayahku, dan dia baru sahaja selesai mandi. AKu tidak mensyaki apa-apa dan terus memberitahu ibuku, bahawa selepas ke pejabat kelak aku akan membawanya ke hospsital.
Namun sudah menjadi suratan. Kembalinya aku ke rumah ibu, ibu masih sempat memberikan senyuman terakhirnya kepadaku. Dalam sedih aku bersyukr kerana ibu meninggal dengan aman dalam dakapanku. Semoga Allah sentiasa merahmati-Nya, seperti dia merahmati aku dan adik-beradik aku yang lain sekaliannya...amin...
Sebagai anak, aku pasrah dengan pemergian ibu tercinta yang seolah sudah mengetahui akan pemergiannya. Sebagai anak juga, aku bersyukur kerana semua urusan berkaitan ibu dapat kami uruskan dengan lancarnya pada hari ini. Cuma aku sedikit terganggu kerana tidak dapat untuk mengimamkan jenazah ibu lantaran abangku sudah memanggil iman di kawasan kami untuk berbuat demikian. Tidak mans rasanya jika aku tampil ke hadapan walhal iman sudah bersedia untuk melaksanakan tanggungjawabnya.
Hari ini dan seterusnya, aku tiada lagi seorang yang bergelar ibu dalam hidupku. Semoga Allah sentiasa membimbingku dalam perjalanan yang masih jauh ini.
"Ya Allah, ampunkanlah dosanya, rahmatilah dia, sejahterakanlah dia dan maafkanlah, muliakanlah tempat persinggahannya, luaskanlah alam kuburnya. Bersihkanlah dia daripada dosa sebagaiman bersihnya kain putih daripada kotoran. Tempatkanlan dia ke syurga firdaus-Mu, dan hindarilah dia daripada azab kubur, fitnahnya dan azab dripada-Mu. Tiada daya dan daya upaya kami melainkan berterusan memohon dan meminta kepada-Mu, wahai Tuhan Yang Maha pengasih Lagi Maha Penyayang...., Amin"
[Ibu selamat dikebumikan selepas Azan Asar, setelah menghembus nafas terakhir pada jam 1005 pagi]
Tuesday, August 18, 2009
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang @ Calang-calang?
Itu cerita lama. Yang hendak sampaikan disini ialah sampai bilakah prosedur pemilihan penerima Anugerah Cemerlang dalam perkhidmatan awam terus menjadi bualan dan usikan nakal dalam kalangan kakitangan awam sendiri? Saya utarakan persoalan ini kerana seolah menjadi resam dalam banyak agensi kerajaan pemilihan penerima adalah terdiri daripada kalangan kakitangan awam yang rapat dengan boss. Dalam erti kata lain, walau kurang kerjanya, tapi sebab banyak ampunya maka dia akan layak. Ada juga cerita-cerita yang disampaikan, anugerah tersebut merupakan satu pusingan. Setiap orang akan menerimanya walau tidak layak sekalipun. Hanya menunggu saat dan gilirannya.
Jika beginilah keadannya, maka dimanakah nilai atau taraf Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tersebut? Walaupun musim anugerah tersebut belum lagi bermula, saya hanya terlintas menulis hal ini kerana sebagai manusia biasa, jika individu tersebut memang layak menerimanya, maka dia sendiri yang mengetahui bahawa dia layak menerima, dan jika sebaliknya juga, dia sendiri juga yang mengetahuinya...
Monday, August 17, 2009
Falasi...
"Tidak seorang pun dipandang yatim kerana hanya kematian ayah atau baondanya, tetapi yang benar-benar dipandang yatim ialah mereka yang tidak berilmu dan tidak beradab."Namun, tetap ada syaratnya. Antaranya ialah jika menulis maka tulislah perkara yang baik dan memberi manfaat kepada masyarakat. Bukan mengupat atau menghentam peribadi individu tertentu. Tidak dinafikan media baharu sekarang mengajak masyarakat agar cepat bertindak, dan cepat membuat keputusan. Namun, lantaran maklumat yang terlalu banyak, menimbulkan masalah pula dalam membuat keputusan. Pada masa yang tertentu, masyarakat jadi "bingung" dalam membuat keputusan yang penting dalam hidup mereka sendiri lantaran ledakan maklumat yang terlalu banyak, dan melimpah ruah.
Dilema ini merupakan tekanan terbaharu yang dialami, khususnya kepada penduduk yang tinggal dalam bandar. Namun, tidak banyak yang ingin mengambil peluang ini untuk memberikan tunjuk ajar atau bimbingan. Inilah tanda keruntuhan zaman yang ketara berlaku pada hari ini.
Friday, July 10, 2009
PPSMI : Realiti dan Fantasi
Agak lama tidak menulis. Penulis perlu menumpukan kepada beberapa program jabatan, berpesatuan dan berada di luar kawasan. Sesekali, ada juga penulis menerima e-mel dan sms nakal daripada beberapa orang rakan lama. Ada juga yang menghantar sms "meluahkan" kebodohan diri. Dalam erti kata lain sengaja menampakkan "kurang bijak", walhal seorang yang berpelajaran dan beragama. Adakah mungkin tidak mempercayai hakikat kehidupan atau realiti qada dan qadar? Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Seperti kata perpatah Melayu, berani buat, maka seharusnya beranilah menanggung risikonya.Pada minggu ini juga, kerajaan, melalui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin , telah mengumumkan keputusan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012.
Tun Dr. Mahathir, seperti dilaporkan Malaysiakini, merupakan orang pertama yang memberi respon berhubung perkara tersebut. Seperti dijangkakan, Tun memang agak marah dengan keputusan kerajaan memansuhkan dasar tersebut. Kemarahan Tun turut dijelmakan dalam bentuk mengadakan undian pada blog beliau.
Di pihak kerajaan pula, sebaik mengumumkan akan memansuhkan dasar tersebut, telah mengumumkan beberapa strategi lain bagi meningkatkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris disekolah. Sejumlah RM5 billion diperuntukkan bagi tujuan tersebut, seperti diberitahu oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi di parlimen, baru-baru ini. Selain itu, tambah Dr. Mohd Puad, sejumlah 13,933 orang guru Bahasa Inggeris akan diambil bagi meningkatkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah.
Dasar PPSMI, mula diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir pada tahu 2003. Ketika mula diperkenalkan, memang banyak pihak yang menentang dasar tersebut, cuma tidak adalah sampai ke tahap mengadakan demontrasi. Mungkin disebabkan masyarakat pada ketika itu sedar bahawa kekuatan politik UMNO amat kukuh, sehingga tidak berani ada pihak yang mempertikaikannya
Walaupun terdapat beberapa kerat kepimpinan UMNO sendiri menyuarakan kesan jangka panjang kepada tamadun bangsa Melayu berhubung pelaksanaan dasar tersebut, namun tidak ada "kuat" sehingga mendorong Tun Mahathir memansuhkan dasar tersebut. Menurut seorang rakan yang akrab dengan UMNO memberitahu, pada satu sesi Tun Mahathir dengan para akademik berhubung sesi soal jawab sebelum pelaksaan dasar tersebut pada tahun 2003, tidak ada seoarang pun ahli akademik yang dapat berhujah secara bernas mematikan hujah Tun Mahathir, kenapa dasar itu tidak harus dilaksanakan. Tidak pasti penulis kebenaran cerita tersebut. Yang jelas rakan tersebut ialah orang kuat UMNO dan amat rapat dengan "otai" UMNO.
Bahang PPSMI masih lagi terasa. Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said, mempertikaikan kenapa perlu menunggu sehingga 2012 untuk mansuhkan dasar tersebut? Beliau juga menyoal kenapa sewaktu dasar tersebut diperkenalkan pada 2003 dahulu, tidak pun menunggu kajian dan sebagainya?
Penulis tidak layak untuk mengulas semua hal tersebut. Apa yang penulis nak luahan dalam blog ini ialah, penulis nak tahu berapa jumlah telah kerajaan peruntukkan untuk pastikan anak-anak Malaysia menguasai Bahasa Melayu dengan betul? Mungkin ada yang akan berkata, semua rakyat Malaysai sudah boleh bertutur dalam Bahasa Melayu. Persoalannya sekarang taraf bahasa yang seperti apa? Bahasa rojak atau bahasa selanga? Realitinya itulah yang berlaku. Lihat di mana-mana jua liputan majlis yang melibatkan pemimpin negara, adakah Bahasa Melayu digunakan?
Itu belum lagi bila kita rincikan hal berkaitan pengasingan pelajar aliran sains dan sastera. Isu ini seharusnya dilihat juga oleh pihak Kementerian Pelajaran memandangkan tujuan utama bahasa dan aspek budaya ialah membentuk tamadun bangsa Malaysia. Apa gunanya sistem pembelajaran yang masih mengasingkan nilai IQ, EQ dan SQ, jika objektif utama dalam pembelajaran ialah untuk membentuk individu yang berkualiti dalam semua aspek?
Dalam isu Bahasa Melayu, misalnya, pembelajaran subjek sastera menjadi hambar lantaran guru sastera (sebahagiannya) yang tidak mengetahui atau memahami konsep sastera itu sendiri. Pembelajaran dalam KOMSAS membuatkan para pelajar menjadi bosan, walhal dalam aspek sastera, terdapat banyak kesronokkan yang tidak dijelaskan. Persoalannya kenapa isu ini tidak dilihat juga oleh pihak Kementerian Pelajaran?
Penulis bimbang, apabila kita hanya menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, semua yang berkaitan Bahasa Melayu, dan sewaktu dengannya akan dipinggirkan. Makan jadilah seperti kata perpatah, gajah mati depan mata semua orang tak nampak. Kuman yang micro sifatnya, walau juah dari pandangan, orang nampak pulak.
Setiap individu yang waras dan bijaksana mengakui akan hakikat bahasa Inggeris, penting dalam dunia hari ini. Sama ada kita mahu atau tidak, setiap individu harus memahami dan boleh menguasai Bahasa Inggeris. Namun, pada masa yang sama, kita tidak harus mengagungkan bahasa lain sehingga mematikan bahasa kita sendiri.
Apa gunanya slogan 1Malaysia jika bahasa rasmi negara sendiri diabaikan? Apa gunanya bahasa perpaduan jika isu bahasa tidak mampu ditangani oleh kerajaan? Bagaimana untuk memcapai perpaduan dalam kelompok masyarakat Malaysia berbilang kaum jika tiada bahasa yang jelas untuk digunapakai oleh seluruh rakyat Malaysia? Akhirnya sekali, pertanyaan penulis ialah, apa gunanya di gelar sebagai bahasa rasmi negara jika sifatnya hanya sekadar untuk memenuhi syarat kewujudan sebuah negara? Tuan puan fikirkanlah sendiri...
Wednesday, July 1, 2009
Fitnah: Selagi Mulut Boleh Bercakap...
Hari ini saya akan bercakap mengenai isu fitnah. Banyak fitnah yang telah berlaku pada hari ini. Dalam keadaan yang sama kita tidak mengetahui kenapa ianya berlaku. Ada fitnah yang sengaja diadakan untuk menjatuhkan lawan, dan ada juga fitnah yang sengaja diadakan juga untuk tujuan suka-suka. Begitu parahnya umat manusia hari ini.Penulis sendiri tidak terkecuali daripada mainan fitnah manusia, walhal siapalah penulis, bukan "orang besar" mahupun "somebody" yang berkuasa. Penulis percaya kepada qada dan qadar dalam menjalani hidup seharian, bersama-sama ilmu dan pengalaman hidup yang lalu. Cuma kekadang pelik bila mendengar cerita berkaitan fitnah ini kerana manusia lebih cepat mempercayainya berbanding menyiasat kebenarannya terlebih dahulu. Itulah persoalan penulis, kenapa manusia cepat mempercayai fitnah berbanding untuk menyiasat atau mengetahui akan hal sebenar terlebih dahulu.
Tidak kurang juga yang akan berkata, jika tiada angin, pasti daun tidak akan berterbangan. Dalam zaman teknologi maklumat yang pesat membangun sekarang mungkin perpatah tersebut sudah tidak releven lagi. Sebabnya, jika tiada angin sekalipun, zaman hari ini kita sudah memiliki kipas angin atau 'aircon'. Sudah pastinya daun akan berterbangan jika kipas dihidupkan!
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.
Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak, dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.
Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar. Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.
Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah. Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Justeru penulis berpendapat, selagi ada mulut dan boleh bercakap, fitnah tetap akan berlaku walau apa-apa jua sekalipun usaha kita untuk menggelakkannya. Manusia pastinya suka jika melihat orang yang difitnah menanggung kesusahan dan kepayahan. Dalam satu kes yang penulis baca dalam majalah 'Perempuan' sebelum ini, perkahwinan berusia 20 tahun akhirnya berakhir dengan penceraian lantaran fitnah yang tidak benar disebarkan oleh kawan kepada isteri sendiri yang mendakwa suaminya curang.
Paling sedih dalam kes mangsa fitnah tersebut, kawannya mereka fitnah sehingga suami isteri terbabit menjatuhkan talak tiga ke atas isterinya. Sudah jatuh ditimpa tangga, isteri tersebut ditalakkan, dan hak penjagaan anak diberikan kepada suaminya. Dan klimaks kisah tersebut apabila kawan itu sendiri yang mengawini bekas suami kawannya. Itulah kisah fitnah.
Penulis beranggapan dalam suasana manusia sekarang yang kerap dikatakan menghidapi penyakit "PHD", maka untuk menangani fitnah pastinya sukar. Menggelak perkara yang menjerumus kepada fitnah pun akan mewujudkan juga cerita fitnah ini. Cara erbaik untuk individu mengatasinya ialah dengan menerima qada dan qadar dalam hidup, menerima hakikat setiap yang hidup ada baik dan buruknya (Tuhan Maha Adil), dan terus bertanya kepada orang yang difitnah itu sebagai jalan terakhir untuk mengesahkan maklumat fitnah yang disebarkan. Seterusnya bersabar dan bertawak kepadaNYA. Hanya kita sendiri yang mengetahui sama ada kita difitnah atau sebaliknya. Yakinlah bahawa setiap yang berlaku kepada kita ada hikmahnya, dan berpeganglah kepada prinsip tersebut. Dalam keadaan yang sama tidak banyak yang boleh kita usahakan melainkan berdoa dan mengadu kepadaNYA. Setebal kamus sekalipun hujah atau penjelasan kita lakukan untuk atasi fitnah, tidak akan dapat menyelesaikan keadaan, selagi manusia jahil menggunakan akal dan mengusai mulut.
Selagi mulut boleh bercakap, fitnah tidak akan berhenti.
Friday, June 19, 2009
Abdillah S.M Bangkit dengan Antropologi…
Kumpulan puisi dengan tajuk “Antropologi II” memauatkan 97 buah puisi, dan diterbitkan oleh Mutiara Bimasakti Publishing. Dalam kalangan penulis di Sarawak, tidak banyak yang mampu berbuat demikian lantaran kos untuk mencetak buku adalah tinggi. Ada segelintir yang mungkin mempunyai “klik” yang bagus dengan orang atasan maka dapatlah menerbitkan buku sendiri dengan tajaan. Disebalik penerbitan buku oleh Abg Dillah, ada suatu yang lain penulis “tabik” kepada Abg Dillah.
Beliau tidak pernah putus asa dalam berkarya atau meneruskan usaha seninya walaupun pelbagai dugaan dan cerita yang kerap didengar berkaitannya. Sebagai orang yang lebih awal menyumbang kepada kemeriahan perkembangan sastera di Sarawak, penulis menghormatinya, walaupun ada ketikanya mungkin rakan-rakan penulis tidak spendapat dengannya.
Walau bagaimanapun, selama mengenali beliau, penulis tidak ada masalah berurusan dengan beliau, malah kekadang bila kami bertemu banyak isu berkaitan sastera kami bualkan. Di Sarawak, selain DBP, penulis di Sarawak hanya bergantung kepada “ehsan” penerbit lain yang ada di Semenanjung untuk menerbitkan karya mereka. Dalam pada itu juga, bukan suatu yang luar biasa bila mendengar cerita ada penulis dari Sarawak, menjadi mangsa putar-belit penerbit swasta dari Semenanjung berkaitan hakcipta dan royalti. Satu sebab mungkin hal ini berlaku ialah keyiadaan pengetahuan berkaitan hak cipta atau ilmu penerbitan tu sendiri dalam kalangan penulis di Sarawak, walau mungkin tidak semuanya.
Namun, demi menjaga aib dan nama, cerita sebenar tidak didedahkan kepada khalayak. Penulis mengetahui hal ini melalui “cerita di atas cerita”. Berbalik kepada cerita Abg Dillah tadi, penulis mengulangi “tabik” kepada usaha beliau menerbitkan buku menggunakan duit poket sendiri. Setiap tahun selama ini, banyak kalangan penulis di Sarawak khsusnya, menghantar manuskrip untuk menerbitan novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, atau antologi cerpen mahupun puisi kepada pihak DBP.
Daripada apa yang penulis diberitahu, DBP menjadi tumpuan penulis di Sarawak kerana hanya penerbit DBP yang diketahui meletakkan nilai sastera itu lebih tinggi berbanding nilai wang ringgit. Tidak kepada penerbitan swasta, yang tidak lari daripada meletakkan keuntungan sasaran utama. Inilah realiti kehidupan hari ini, dan hal ini sukar untuk diatasi kecuali dengan kesedaran ilmu dalam masyarakat kita sendiri.
Khabarnya, selepas Abg Dillah, akan ramai lagi penulis akan menerbitan buku secara persendirian. Mungkin ini akan menjadi ikutan selepas ini, walaupun ada juga kedengaran suara nakal dalam kelangan penulis sendiri tidak “memperakukan” penerbitan seperti DBP. Persoalannya apa salah DBP? Dan sampai bila mereka harus bersikap begitu? Penulis sendiri mengetahui jawpannya.
Buku Abg Dillah dijual RM10.00 senaskah. Dengan tajuknya Antropologi II, kumpulan puisi bewarna hijau lumut itu turut memuatkan puisi beliau yang terawal yang disiarkan dalam majalah Dewan Sastera pada bulan Setember 1977, yang bertajuk ‘Identiti’.
Kepada yang berminat untuk memilikinya bolehlah emel kepada penulis (sekadar membantu rakan penulis) atau menghubungi penerbitan buku itu sendiri, oppss…, tidak ditulis atau ada nombor telefon pihak penerbit pada buku…Sila emel kepada saya jika berminat….Laman sesawang abg dillah berkaitan majlis di atas boleh dilihat di sini, http://dillsm.blogspot.com/
Iran dihujung Tanduk?
Apa sebenarnya yang berlaku kepada masyarakat Iran sehinga berlaku demontrasi yang mirip Revolusi pada era 70-an? Hanya rakyat Iran yang mengetahuinya. Semuanya bermula sebaik sahaja Mahmoud Ahmadnejad, disitiharkan sebagai pemenang dalam pilihan raya baru-baru ini, dan diistiharkan sebagai Presiden.Namun, realiti semua orang tahu bahawa Barat memang tidak akan senang selagi Mahmoud Ahmadnejad menjadi Presiden Iran. Hal ini kerana beliau adalam pemimpin Iran yang paling tegas dalam menengakkan pendiriannya. Hal ini terbukti apabila beliau menemplak beberapa orang pemimpin dunia berkaitan isu nuklear Iran yang tidak selesai sehingga sekarang, walaupun Presiden Amerika Syarikat sudah silih berganti.
Obama ketika berucap kepada masyarakat Islam sedunia di Universiti Cairo, Mesir, telah menjelaskan bahawa pentadbirannya akan berusaha untuk "mengeratkan hubungan semula dengan Iran melalui jalan perbincangan," dan pada masa yang sama berkata bahawa dia tidak mahu melihat perlumbaan senjata nuklear berlaku di Timur Tengah. Untuk rekod, hanya Israel dan Iran sahaja yang memiliki kemampuan nuklear di rantau tersebut.
Walaupun pilihan raya Iran sudah jelas ada keputusannya, namun disebalik ketidakpuasan hati lawan yang kalah, telah menjerumus huru-hara fasa baharu dalam sejarah Iran. Hampir setiap jam media massa dunia seperti CNN, BCC dan al-Jazeera, memaparkan senario di Iran. Seolah-olah rakyat Iran menolak Mahmoud dan menyokong tanpa berbelah bahagi terhadap Mir Hossien.
Itulah yang kerap dipaparkan. Secara tersirat, masyarakat di Malaysia juga ditanam dengan satu mesej bahawa rakyat Iran menolak 100 peratus Mahmoud. Inilah yang berlaku sekarang. Sejak tercetusnya demontrasi di Iran selepas keputusan pilihan raya berkenaan, media massa Barat berterusan membuat liputan yang kebanyakkannya mengimbau kembali sejarah tercetusnya Revolusi di Iran pada 1979.
Sebelum ini seluruh dunia Islam menganggap Mahmoud sebagai jaguh dalam barisan kepimpinan Islam berikutan kelantangan beliau dalam menyuarakan beberapa perkara, termasuk isu Palestine. Malah, kerana keberanian beliau terhadap AS, menyebabkan beberapa buah negara di Amerika Selatan menjalinkan hubungan politik yang erat dengan Tehran. Venuzela, misalnya.
Namun, bila melihat laporan Barat mengenai demontrasi berhubunga pilihan raya tersebut, penulis menjadi curiga, adakah ini peluang barat untuk memastikan Mahmoud jatuh tersungkur. Tulisan dalam blog selama ini berkaitan Mir Hussien menyatakan bahawa beliau adalah seorang yang sederhana dalam kepimpinannya dan beliau dilhat sebagai "lemah" dan tidak berpendirian. Malah dalam kalangan rakyat Iran sendiri tidak segan-silu berkata bahawa jka Mir Hussien menjadi Presiden Iran, maka Iran akan menerima nasib seumpama Iraq, Pakistan dan Afganistan.
Penulis tidak mahu memberi ulasan berhubung hal tersbut, biarlah pembaca yang menganalisis sendiri hujah berkenan. Majlis Tertinggi Pemerintahan Iran yang di pimpin oleh Ayotollah Ali Khemenei, berucap tengah hari tadi di Univeristi Tehran, telah pun meminta rakyat Iran menerima keputusan pilihan raya tersebut.
Persoalan sekarang adakah rakyat Iran akan menerima atau bersetuju dengan Ayotollah Ali Khemenei? Jika tidak, adakah ini bermakna akan berlaku sekali lagi Revolusi di Iran sekali lagi? Penulis bertanya soalan ini disebabkan senario yang berlaku di Iran sekarang. Liputan oleh media Barat seolah menjurus ke arah Mir Hossien. Seolah dengan restu media Barat, mesej disampaikan kepada seluruh penduduk Iran di seluruh dunia akan bangun menentang Mahmoud.
Pada masa yang sama, media Barat tidak pula menyiarkan ulasan penyokong Mahmoud, sebaliknya media memanggil penganalisis yang rata-rata terdiri daripada kalangan rakyat Iran sendiri bertanyakan soalan secara kerap "Apakah akan berlaku semula revolusi di Iran?" Hampir semua soalan yang diajukan oleh CNN, BCC juga al-Jazeera berkisar kepada soalan yang "dahagakan berita" yang bermaksud mereka (media) ada bahan berita untuk isu seterusnya.
Penulis berpendapat, rakyat Iran wajar bertindak waras dalam memperjuangkan hal ini kerana jika Iran tersungkur di kaki Barat, bermakna Iran juga akan mengalami nasib seperti Iraq. Bila dilihat di liputan berita di kaca televisyen, rata-rata yang berdemontrasi adalah golongan muda. Timbul persoalan penulis juga, apakah mereka yang muda itu memahami apa yang mereka lakukan, atau sekadar darah muda?
Isu di Iran jika silap tindakan diambil samaada oleh rakyat Iran sendiri atau Majlis Tertinggi Iran, pasti akan merubah keseluruhan senario politik Iran. Tidak mutshil, kerajaan yang ada sekarang, termasuklah kedudukan Majlis Tertinggi, dan semuanya akan bertukar semuanya.
Timbul persoalan penulis, jika Mahmoud diakatakan tewas dalam pilihan raya 12 Jun lalu, kenapa beliau dimenangkan? Jika dia menang pada pilhan raya lalu, kenapa Mir Hussien tidak dapat menerima persoalan itu? Kenapa Mir Hussien mengatakan pilihan raya itu keputusannya sudah disetkan? Kenapa rakyat Iran di seluruh dunia digambarkan menyokong Mir Hussien? Hatta skuad bola sepak Piala Dunia Iran dilaporkan oleh AFP memaki lilit hijau di lengan tangan tanda sokongan kepada calon yang tewas, Mir Hussien. (Betul ke tanda sokongan kepada Mir atau bantahan terhadap proses pilihan raya?)
banyak persoalan yang hendak ditanya, cuma tiada jawapan yang dapat diberikan, hatta pihak media sendiri tidak menyiarkan jawapannya sebagai suatu yang dinamakan berita atau laporan. Kita mengharapkan masalah di Iran dapat diselesaikan seberapa segera atau negara Iran akan tersungkur di pintu Barat.



