Monday, September 6, 2010

Bila SUPP meminta...PBB bila lagi?

Berita ini menjadi muka utama Utusan Borneo pada Isnin, 6 September 2010. Akhabr ini edarannya tidak sampai ke tanah Semenanjung. Justeru, sebagai langkah perkongsian bijak untuk tujuan perbincangan, saya sertakan atau petik berita tersebut di laman sesawang http://www.theborneopost.com/?p=64510

Tan Sri George Chan dikatakan menyebut akan hal ini ketika berucap ketika mewakili Ketua Menteri Sarawak, yang tidak dapat hadir ke majlis makan malam ulang tahun ke-85 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri (MCCCI) di Hotel Imperial Miri.

Tiga perkara yang menjadi tuntutan parti SUPP. Untuk mengetahui selanjutnya, saya hidangkan disini laporan wartawan Utusan Borneo, Norhadie Sahari pada Isnin, 6 September 2010, untuk renungan para pembaca sekalian.

Agihan ekonomi yang adil penting bagi memastikan masyarakat Cina terus memberi sumbangan dan bukan cari peluang di luar negara: Dr Chan

MIRI: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan mendedahkan terdapat tiga tuntutan yang dimahukan atau kehendak oleh masyarakat Cina di negeri ini, selaras dengan konsep 1Malaysia.

Beliau memberitahu masyarakat Cina tidak meminta banyak tetapi cukup tiga tuntutan mereka dipenuhi iaitu peluang perniagaan yang diberikan sama rata tanpa mengira kaum, sistem pendidikan dan taraf hidup yang lebih baik.

Dr Chan memberitahu masyarakat Cina di negeri ini mahu memastikan bahawa terdapat agihan ekonomi yang adil dan bukannya dikuasai oleh pihak tertentu.
“Di bawah konsep 1Malaysia, peluang perniagaan perlu diberi sama rata tanpa mengira kaum kerana jika masyarakat Cina tidak diberi ruang maka mereka akan mencari peluang lain di luar negara,” katanya.

Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah tindakan sedemikian bukan sahaja akan merugikan kerajaan malahan sumbangan masyarakat Cina dalam pembangunan akan terus lesap.

“Kehendak masyarakat Cina supaya peluang perniagaan diberikan sama rata perlu dipertimbangkan kerana jika golongan itu mencari peluang di luar maka hasrat untuk mencapai status negara maju tidak akan tercapai,” katanya.

Dr Chan yang mewakili Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata demikian dalam majlis makan malam ulang tahun ke-85 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri (MCCCI) di Hotel Imperial Miri, malam kelmarin.

Beliau seterusnya menjelaskan, masyarakat Cina di Sarawak kini semakin lantang dan berani menyuarakan tuntutan, masalah dan isu yang tidak menyenangkan hati mereka.
“Sekiranya mereka mempunyai masalah, kemukakan terus kepada kita supaya masalah tersebut dapat diselesaikan dan jangan hanya pandai mengangkat nama semata-mata demi kepentingan sendiri,” katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan bahawa konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya mempunyai intipati yang memberi keadilan sama rata tanpa mengira kaum dan agama.

“Tiada hak keistimewaan yang diberikan dalam konsep 1Malaysia kerana ia adalah konsep yang adil dan saksama kepada semua kaum walaupun ada individu tertentu suka mengangkat nama untuk mendapatkan hak keistimewaan,” tambahnya.

Dr Chan memberitahu, ia bukan masanya lagi untuk golongan itu mengangkatkan nama demi untuk mendapatkan hak istimewa sebaliknya sekarang adalah masa untuk semua pihak diberi peluang sama rata.

Hadir sama ialah Presiden DCCI, Dato Sim Hock Guan, Presiden DCCI Malaysia, Tan Sri William Cheng Heng Jem, Menteri Muda Komunikasi dan Sukan, Datuk Lee Kim Shin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Datuk Aidan Wing.

No comments: