Wednesday, August 19, 2009

Al-Fatihah : Belangsungkawa Ibuku...

Ibu menghembus nafasnya 25 minit yang lalu. Mungkin sudah takdir, bahawa dia menunggu aku sebelum melepaskan nyawanya. Aku sememangnya rapat dengan ibu. Apa-apa jua hal berkaitan aku, kerja, peribada dan segalanya aku akan memberitahu kepada ibu. Mungkin itu sudah menjadi resam anak lelaki dengan seorang ibu.

Pagi tadi, selepas sahaja subuh aku seperti biasa menjenguk ibuku. Pada masa itu ibu seperti biasa menyediakan sarapan untuk ayahku yang walaupun sudah lama menikmati pencen, namun masih bekerja disebabkan displin dalam hidupnya. Barangkali, itulah kesan jika terlalu lama bekerja sebagai pasukan beruniform.

Ibuku, seperti juga rakan sebayanya yang lain, menghidap penyakit kencing manis. Satu istilah yang pada pendapat aku glamour atau dikenali oleh semua lapisan masyarakat. Ibuku amat berdisplin dalam menunaikan tanggungjawabnya untuk memperolehi kesihatan yang sebaiknya untuk dirinya. Setiap hari, ibuku akan memakan pil yang dibekalkan oleh poliklinik kerajaan, Kekadang, aku sendiri menjadi insaf bila melihat ibuku makan pil dalam kuantiti yang banyak. Namun, ibuku selalu memberitahu, itulah arahan yang tertera pada setiap ubatan yang dibekalkan, dan mesti dimakan setiap hari.

Walaupun menanggung sakit, ibuku tidak pernah menjadikan itu alasan untuk tidak bersosial dengan jiran setempat. Ibuku amat aktif dalam kumpulan zikir marhaban di tempatku. Malah, dalam bidang politik, ibuku juga merupakan seorang setiausaha bahagian wanita sebuah parti politik! Menurut ibuku, dia dipilih kerana kaum wanita ditempat kami hanya mengenalinya, berbanding calon lain yang bertanding. Itu sahaja yang menyebabkan ibuku dipilih menjadi Setiausaha Cawangan.

Bukan untuk dibanggakan, tapi itulah ibu. Tangannya amat ringan untuk memberi pertolongan tanpa mengira bangsa atau agama. Ditempat ibu tinggal, penduduknya adalah berbilang kaum. Persekitaran rumah kami misalnya, disebelah kirinya berbangsa Iban, dihadapannya pula berbangsa Cina, dikanannya pula Bidayuh dan dibelakang rumah kami pula Cina. Namun pada ibuku, itu semua rakannya.

Aku masih ingat lagi setiap hari, terutamanya pada sebalah pagi dalam jam 1030 keatas, ibuku kerap kulihat bersembang dengan jiran-jirannya itu. Memang hubungan mereka akrab. Malah pernah satu peristiwa, jiran Cina belakang rumahku, bermalam di rumah ibu lantaran suaminya mabuk lantaran kecewa kalah berjudi. Hal itu berlaku selepas seminggu anknya berkahwin.

Akrabnya hubungan ibu dengan jiran-jiranku tidak terbatas semasa mereka, malah berkembang sehingga ke peringkat ahli keluarga jiran kami. Suatu ketika, jiran kami yang berbangsa Bidayuh, di pelawa oleh emak kepada jiran kami ke dusun duriannya di Serian, untuk menikmati musim durian. Pada sebelah petangnya bila ibu pulang ke rumah, aku dapati ada tiga guni durian di rumah. Baunya, usah diceritakan.

Dalam menggangotai kumpulan zikir marhaban pula, ibu dan sekumpulan jiran wanita yang lain telah membentuk kumpulan zikir marhaban yang mantap. Hasil usaha dan perngorbanan mereka, kumpulan itu kini dikenali dan disegani. Beberapa bulan sebelum kehadiran Ramadhan tahun ini, kumpulan ibuku menyertai pertadingan zikir marhaban bagi ketagori wanita. Kumpulan ibuku mendapat kumpulan ketiga pada majlis tersebut.

Yang jelas, ibuku seronok setiap kali menyertai pertandingan, walaupun dalam keadaan beliau yang uzur. Sebagai anak, memang aku kerap juga menasihati ibuku agar berehat. Namun, ibuku seperti biasa dengan caranya tidak akan menjadikan sakit sebagai alasan. Paling mengejutkan aku ialah bila ibu terus diarah menjalani pembedahan membuang katarak pada mata kirinya. Pada awalnya, aku yang menguruskan semua itu. Pada sesi perjumpaan kedua, aku menyuruh adikku membawa ibu ke Hospital Pakar untuk temu janji biasa. Namun, sesampai ke hospital, adikku memberitahu bahawa ibuku diarah untuk menjalani pembedahan memandangkan tekanan darahnya pada masa itu normal, dan sekaligus pihak doktor bersetuju untuk terus menjalankan pembedahan membuang katarak berkenaan.

Ibuku dengan selamba memberitahuku pada sebelah petangnya bahawa dia dahpun menjalani pembedahan membuat ketarak. Padaku, itu suatu yang mengejutkan. Namun itulah kekuatan ibuku.

Sejak pembedahan itulah ibuku, kerap mengalami pening kepala, dan batuk. Hal ini berlanjutan selama dua minggu. Kami sekeluarga berikhtiar pergi ke hampir semua klinik atas permintaan ibuku, agar penyakit batuknya itu dapat hilang segera. Menurut ibuku, batuk menyebabkan dirinya menjadi lelah dan keletihan. Sekaligus menyebabkan kesakitan pada matanya yang baru sahaja menjalani pembedahan.

Beberapa minggu, ibuku memang nampak risau dengan batuk yang dialaminya. Memang nampak kesakitan pada ibu akibat batuk. Sampai satu tahap, ibuku mengajak aku pergi ke klinik yang mana doktornya sudah hampir tiga tahun bersara. Kami sekeluarga memahami kesakitan ibu akibat batuk tersebut.

Sememangnya bila kita batuk, yang amat sakit ialah di bahagian kepada dan perut. Dengan keadaan fizikal ibu yang kecil dan sederhana, dan kesakitan akibat pembedahan mata, kehadiran batuk benar-benar membuat ibu keletihan. Mungkin disebabkan kerisauan dengan dengan batuknya itu, kandungan gula pada darah ibu meningkat naik. Aku diberitahu oleh seorang sahabat yang juga seorang doktor, kandungan darah pada pesakit kencing manis atau darah tinggi, boleh meningkat naik jika mengalami kerisauan.

Aku yakin ibu pun mengalami keadaan yang sama. Sehari sebelum pemergiannya, aku turut membawa ibu ke klinik, dan bila diperiksa paras gula dalam badan ibu amat tinggi. Doktor mencadangkan ibu ke hospital. Namun ibu memberitahuku dia tak mahu ke hospital. Aku dan adik beradik lain menjadi serba salah dengan keputusan ibu. Disebabkan tiada apa-apa yang ketara pada ibu, kami akur dengan keputusan ibu tidak ke hospital. Sebaliknya ibu terus makan dan menelan ubat yang doktor berikan.

Pagi itu, sebelum aku keluar pergi bekerja, aku menjenguk ibuku. Dengan wajah yang menahan sakit, ibuku memberitahuku bahawa terasa seluruh badannya lemah. Namun pada masa yang saya, ibuku baru sahaja selesai menyediakan sarapan pagi buat ayahku, dan dia baru sahaja selesai mandi. AKu tidak mensyaki apa-apa dan terus memberitahu ibuku, bahawa selepas ke pejabat kelak aku akan membawanya ke hospsital.

Namun sudah menjadi suratan. Kembalinya aku ke rumah ibu, ibu masih sempat memberikan senyuman terakhirnya kepadaku. Dalam sedih aku bersyukr kerana ibu meninggal dengan aman dalam dakapanku. Semoga Allah sentiasa merahmati-Nya, seperti dia merahmati aku dan adik-beradik aku yang lain sekaliannya...amin...

Sebagai anak, aku pasrah dengan pemergian ibu tercinta yang seolah sudah mengetahui akan pemergiannya. Sebagai anak juga, aku bersyukur kerana semua urusan berkaitan ibu dapat kami uruskan dengan lancarnya pada hari ini. Cuma aku sedikit terganggu kerana tidak dapat untuk mengimamkan jenazah ibu lantaran abangku sudah memanggil iman di kawasan kami untuk berbuat demikian. Tidak mans rasanya jika aku tampil ke hadapan walhal iman sudah bersedia untuk melaksanakan tanggungjawabnya.

Hari ini dan seterusnya, aku tiada lagi seorang yang bergelar ibu dalam hidupku. Semoga Allah sentiasa membimbingku dalam perjalanan yang masih jauh ini.

"Ya Allah, ampunkanlah dosanya, rahmatilah dia, sejahterakanlah dia dan maafkanlah, muliakanlah tempat persinggahannya, luaskanlah alam kuburnya. Bersihkanlah dia daripada dosa sebagaiman bersihnya kain putih daripada kotoran. Tempatkanlan dia ke syurga firdaus-Mu, dan hindarilah dia daripada azab kubur, fitnahnya dan azab dripada-Mu. Tiada daya dan daya upaya kami melainkan berterusan memohon dan meminta kepada-Mu, wahai Tuhan Yang Maha pengasih Lagi Maha Penyayang...., Amin"

[Ibu selamat dikebumikan selepas Azan Asar, setelah menghembus nafas terakhir pada jam 1005 pagi]

Tuesday, August 18, 2009

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang @ Calang-calang?

Dalam kalangan kakitangan awam, beberapa bulan lagi maka akan menjelanglah apa yang disambut sebagai Hari Kualiti. kebiasaannya, serentak dengan tarikh tersebut turut diadakan pelbagai aktiviti lain. Antaranya penyampaian Anugerah Cemerlang dan sebagainya. Bercerita mengenai Anugerah Cemerlang, suatu ketika dahulu pernah menjadi kontroversi apabila bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir, memberikan penyapu kepada wakil majlis perbendaharaan kerana dikatakan kurang meningkat dari segi kutipan cukai dalam kawasan tadbirannya.

Itu cerita lama. Yang hendak sampaikan disini ialah sampai bilakah prosedur pemilihan penerima Anugerah Cemerlang dalam perkhidmatan awam terus menjadi bualan dan usikan nakal dalam kalangan kakitangan awam sendiri? Saya utarakan persoalan ini kerana seolah menjadi resam dalam banyak agensi kerajaan pemilihan penerima adalah terdiri daripada kalangan kakitangan awam yang rapat dengan boss. Dalam erti kata lain, walau kurang kerjanya, tapi sebab banyak ampunya maka dia akan layak. Ada juga cerita-cerita yang disampaikan, anugerah tersebut merupakan satu pusingan. Setiap orang akan menerimanya walau tidak layak sekalipun. Hanya menunggu saat dan gilirannya.

Jika beginilah keadannya, maka dimanakah nilai atau taraf Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tersebut? Walaupun musim anugerah tersebut belum lagi bermula, saya hanya terlintas menulis hal ini kerana sebagai manusia biasa, jika individu tersebut memang layak menerimanya, maka dia sendiri yang mengetahui bahawa dia layak menerima, dan jika sebaliknya juga, dia sendiri juga yang mengetahuinya...

Monday, August 17, 2009

Falasi...

"Tidak seorang pun dipandang yatim kerana hanya kematian ayah atau baondanya, tetapi yang benar-benar dipandang yatim ialah mereka yang tidak berilmu dan tidak beradab."
(Iman Syafei)

Menurut seorang bekas guru, untuk memantapkan lagi ilmu yang ada pada diri, caranya ialah dengan menulis dan menyemarkan hasil tulisan tersebut untuk ditatap orang lain. Pada pendapat saya, jika kita menulis dan berkongsi hasil tulisan kita, maka itulah yang juga dinamakan amal jariah yang sentiasa berkekalan dan ganjarannya adalah seperti air yang mengalir.

Namun, tetap ada syaratnya. Antaranya ialah jika menulis maka tulislah perkara yang baik dan memberi manfaat kepada masyarakat. Bukan mengupat atau menghentam peribadi individu tertentu. Tidak dinafikan media baharu sekarang mengajak masyarakat agar cepat bertindak, dan cepat membuat keputusan. Namun, lantaran maklumat yang terlalu banyak, menimbulkan masalah pula dalam membuat keputusan. Pada masa yang tertentu, masyarakat jadi "bingung" dalam membuat keputusan yang penting dalam hidup mereka sendiri lantaran ledakan maklumat yang terlalu banyak, dan melimpah ruah.

Dilema ini merupakan tekanan terbaharu yang dialami, khususnya kepada penduduk yang tinggal dalam bandar. Namun, tidak banyak yang ingin mengambil peluang ini untuk memberikan tunjuk ajar atau bimbingan. Inilah tanda keruntuhan zaman yang ketara berlaku pada hari ini.