Apabila
menyebut tentang kediktatoran dan sifat-sifatnya, antara yang terawal muncul
dalam minda sesetengah orang ialah gambaran sebuah pemerintahan mutlak yang
berlandaskan pandangan seseorang individu, ataupun beberapa individu tertentu
dan tidak terikat dengan perlembagaan mahupun peraturan. Pemerintah
diktator lazimnya akan menuju ke arah kezaliman kerana sesebuah kuasa dan
pemerintahan mutlak seringkali akan menjadi korup dengan mutlak.
Namun demikian perbincangan mengenai kediktatoran sentiasa terhenti sekadar
sifat "pemimpin diktator" sambil dilupakan perihal kediktatoran yang
wujud dalam diri sesetengah masyarakat dan individu. Saya melihat,
kewujudan pemimpin diktator dan zalim tidak sunyi daripada kewujudan awal
sebuah masyarakat yang diktator. Justeru, sebuah pemerintahan diktator
hanya bisa dijatuhkan sekiranya dijalankan aktiviti merawat masyarakat yang
diktator.
Masyarakat diktator
Masyarakat diktator yang saya maksudkan ialah sebuah masyarakat
individualistik, tamak dan beragama dan berideologi demi kepentingan.
Mereka hidup dalam keadaan senang, justeru tiada apa yang perlu diperjuangkan
sekalipun pemerintahan di hadapannya mencanggahi demokrasi dan mencabuli
hak-hak rakyat sendiri. Respon mereka terhadap sesebuah pemerintahan
despotik ialah "asalkan bukan aku dan keluargaku".
Sekiranya sesebuah pemerintahan diktator mahu menentukan cara pemerintahan,
undang-undang dan sebagainya menurut kepala mereka semata-mata, masyarakat
diktator juga berkongsi sikap sedemikian. Sekiranya mereka majoriti,
mereka mahu menentukan cara berpakaian, mazhab dan agama golongan lain dengan
kekuasaan ataupun kekuatan yang dimiliki. Pokoknya, masyarakat diktator
ingin menentukan semua perkara.
Menurut masyarakat diktator, kelompok minoriti ataupun the other mestilah
mengikuti apa yang mereka yakini sekalipun dalam masa yang sama, mereka sendiri
tidak gemar jika kehidupan mereka dikawal dan ditentukan oleh orang lain.
Justeru dalam hubungan antara kaum dan agama, ruang publik tidak digunakan
untuk menyelesaikan perselisihan dan perbezaan, sebaliknya pengharaman buku,
serbuan dan undang-undang dianggap sebagai solusi. Anggapan mereka,
gunung yang tinggi hanya boleh didaki menerusi laluan yang diambil kelompoknya,
adapun laluan lain tidak diizinkan lantaran berslogankan, "Kami benar,
kalian sesat." Lantas, demokrasi yang asalnya mahu menjatuhkan
kezaliman dan kediktatoran, telah mencetuskan tirani majoriti ke atas kaum
minoriti.
Kalaupun masyarakat diktator melaungkan slogan kebebasan bersuara, syaratnya
suara itu menyebelahi mereka. Jika tidak, orang yang bersuara itu akan
dilabel sebagai jumud, tradisional, sesat, "liberal" ataupun
kafir. Mereka mahu berkata-kata tetapi enggan mendengar, mereka mahu
bebas tetapi enggan membebaskan. Justeru, individualistik menjadi sangat
cocok dengan kewujudan masyarakat diktator, sikap individualistik itu
menyebabkan kewujudan masyarakat pluralistik langsung tidak diendahkan, apatah
lagi dihargai. Barangkali inilah yang dinamakan sebagai dogmatic mind
sebagaimana dinyatakan oleh Prof Dr Tariq Ramadan:
"The dogmatic mind
displays, moreover, one further characteristic. It would be a mistake to
think that it accepts the existence of only one point of view: the dogmatic
mind is a binary mind. Whilst it states that its truth is the only truth,
that its Way is exclusive and that its universal is the only universal, that is
because it stipulates - at the same time - that anything that does not partake
of that truth, that path and that universal is, at best, absolutely 'other'
and, at worst, culpably mistaken."
(Minda dogmatik memperlihatkan satu lagi ciri. Adalah suatu kesalahan
untuk mengandaikan bahawa ia hanya menerima kewujudan hanya satu pandang arah:
minda dogmatik itu adalah satu minda binari. Manakala ia menyatakan
bahawa kebenarannya itu adalah satu-satunya kebenaran, jalannya pula begitu
ekslusif dan universalnya hanyalah ia satu-satunya, kerana ia mengandaikan -
pada masa yang sama - sesuatu yang tidak mengikuti kebenaran tersebut, jalan
itu dan universal itu, paling tidak, sesuatu yang sama sekali “lain’ dan lebih
parah, sesuatu yang salah). (1)
Al-Kawakibi,
kediktatoran dan ilmu
Seorang tokoh intelektual Muslim terkenal khasnya pada era kolonial, Abdul
Rahman al-Kawakibi (1849-1902) semasa mengulas perihal kediktatoran telah
memetik beberapa kata-kata, antaranya ialah:
"Kediktatoran merupakan musuh kebenaran, musuh kebebasan dan merupakan
pembunuh kedua-duanya. Kebenaran merupakan bapa kepada manusia, sementara
kebebasan pula ibu mereka. Rakyat merupakan anak-anak yatim yang tidur
dan tidak mengetahui apa-apa, sementara para ilmuan pula merupakan saudara
mereka yang bijaksana. Sekiranya mereka (golongan berilmu) mengejutkan
rakyat, pasti rakyat akan bergerak aktif. Adapun jika para ilmuan
meninggalkan mereka, mereka akan kekal sebagaimana sebelumnya, lantas akan
bersambung tidur mereka (rakyat) dengan kematian." (2)
Abd al-Rahman
al-Kawakibi
Kenyataan tersebut wujud dalam buku terkenalnya berjudul Tobai' al-Istibdad wa Masori' al-Isti'bad (Tabiat-tabiat Kediktatoran dan
Kematian Perhambaan). Menurutnya lagi, antara kediktatoran yang paling
hodoh ialah kediktatoran kejahilan ke atas ilmu dan kediktatoran nafsu ke atas
akal (rasional). (3) Al-Kawakibi mengulang-ulang hubungan antara ilmu dan akal
dalam menangani kediktatoran, membayangkan betapa sesebuah masyarakat yang
diperintah oleh kuasa yang diktator sebenarnya disebabkan sikap mereka
menyerahkan akal kepada pihak pemerintah sehingga diperbodohkan, selain ketidak
upayaan mereka bertindak ke atas projek pembodohan yang sedang ditimpakan ke
atas mereka.
Selain itu, al-Kawakibi menegaskan:
"Para
ilmuan menggesa kepada pencerahan akal, sementara golongan diktator gigih
berusaha memadamkan cahaya pencerahan itu. Dua golongan ini (para ilmuan
dan pemerintah diktator) saling menarik orang ramai, siapakah orang ramai
itu? Mereka merupakan golongan yang apabila jahil, mereka menjadi takut,
apabila takut, mereka menyerah (kepada diktator). Sebagaimana mereka
merupakan golongan yang apabila berpengetahuan, mereka berkata-kata, dan
apabila mereka berkata-kata, mereka melaksana."(4)
Kaum yang jahil pasti akan memberi keuntungan kepada pemerintah yang
diktator. Justeru sekalipun sesebuah pemerintah diktator memberi ruang
demokrasi menerusi pilihanraya yang diadakan beberapa tahun sekali, ruang
kebebasan memilih itu ibarat debu-debu yang berterbangan kerana masyarakat
terus bodoh dan diperbodohkan.
Apa guna kaum yang dibutakan diberi pilihan membuat penghakiman terhadap
perkara yang memerlukan penglihatan yang tajam? Apa yang boleh
dibanggakan jika kaum yang dipekakkan diberi pilihan membuat penghakiman
terhadap sesuatu yang memerlukan pendengaran yang teliti. Oleh yang
demikian, kediktatoran pemerintahan sememangnya berasal dari sifat-sifat
kediktatoran yang wujud pada sesebuah masyarakat. Adapun antara penawar
kepada kediktatoran itu ialah rawatan terhadap masyarakat, salah satunya yang
penting ialah menerusi medan pendidikan.
Hukum alam dan perubahan
Sebagaimana kertas tidak akan basah selagi tidak dicurahkan air, demikian juga
sekalian perubahan lain yang tidak akan berjaya selagi tidak dijalankan usaha
untuk mengubahnya. Seorang tokoh ilmuan terkenal dari Turki, Fethullah
Gulen menyatakan:
("Islam considers a
society to be composed of conscious individuals equipped with free will and
having responsibility toward both themselves and others. Islam goes a step
further by adding a cosmic dimension. It sees humanity as the 'motor' of
history, contrary to fatalistic approaches of some of the nineteenth century
Western philosophies of history such as dialectical materialism and
historicism. Just as every individual's will and behavior determine the
outcome of his or her life in this world and in the hereafter, a society's
progress or decline is determined by the will, worldview, and lifestyle of its
inhabitants. The Koran (13:11) says: "God will not change the state of a
people unless they change themselves (with respect to their beliefs, worldview,
and lifestyle.") (5)
(Islam menganggap sesuatu masyarakat itu terdiri daripada manusia yang sedar
yang dipersiapkan dengan pilihan sendiri dan mempunyai tanggungjawab terhadap
diri mereka dan orang lain. Islam melangkah setapak lagi dengan
menambahkan dimensi kosmik. Ia melihat kemanusiaan sebagai
"motor" yang menggerakkan sejarah. Hal ini bertentangan dengan
pendekatan fatalis sesetengah falsafah sejarah Barat abad ke-19 seperti
materialis dialektik dan historisisme. Sepertimana kehendak dan kelakuan
seseorang individu itu akan menatijahkan hasil kehidupannya di dunia ini maupun
di hari akhirat, kemajuan dan kemunduran sesuatu masyarakat itu ditentukan oleh
kehendak, pandangan sarwa dan gaya hidup umat itu sendiri. Al Qur’an (13:
11) menyebutkan: "Sesungguhnya Tuhan tidak akan merubah nasib sesuatu kaum
sehingga kaum itu sendiri merubah apa yang ada dalam dirinya (berupa keyakinan,
pandangan sarwa dan gaya hidup)"
Inilah rahsia perubahan sosial zaman berzaman, perjuangan yang kental dan
berterusan akhirnya pasti melahirkan kemenangan. Dalam merawat penyakit
masyarakat diktator, menarik jika kita bisa melihat pandangan Dr Jasser Auda
yang mengulas perihal revolusi Arab dan perubahan dan pengorbanan masyarakat,
menurutnya:
"Bahawa manusia atau rakyat telah mengubah apa yang ada pada diri mereka
bersama-sama revolusi dan merobohkan banteng ketakutan, lantas Allah SWT
menghilangkan ketakutan daripada hidup mereka. Mereka melempar di
medan-medan revolusi pemisahan, individualistik, perbalahan, penguasaan, hasutan
(pihak pemerintah), kekerasan dan tamak. Kemudian Allah mengubah keadaan
mereka dan membaiki menerusi revolusi setiap keburukan yang menular dalam
masyarakat, bahkan (Dia) menjatuhkan pemimpin pemerintah yang rosak." (6)
Mesir telah sekian lama melalui pengalaman getir dan menyeksakan di bawah
pemerintahan yang korup dan despotik. Setelah sekian lama para ilmuan dan
aktivis politik di sana menyeru kepada perubahan demi menentang kezaliman
kediktatoran, mereka hanya berjaya melakukannya setelah sanggup membuang sikap
individualistik, tamak, dan berkepentingan dan menuju ke Medan Tahrir hingga
ada nyawa-nyawa yang terkorban. Demikian juga dengan kejatuhan Ben Ali di
Tunisia, menerusi pengorbanan dan kesungguhan rakyatnya untuk "mengubah
takdir" yang sekian lama dikenakan oleh pemerintah dan konco-konco mereka.
Pendidikan demokratik
Mengulang kembali pandangan al-Kawakibi di atas berkenaan pertembungan antara
sang diktator dan ilmuan dalam menarik masyarakat, jelas bahawa ilmu menjadi
tulang belakang kepada kewujudan kediktatoran dalam pemerintahan, sementara
masyarakat menjadi penentu kepada kekalnya kediktatoran sesuatu pemerintahan
ataupun robohnya kediktatoran tersebut. Sekiranya masyarakat jahil, maka
mereka akan takut, kemudian setelah takut mereka akan menyerah kepada
kekuasaan. Sebaliknya jika masyarakat berpengetahuan, mereka akan
berkata-kata, kemudian setelah berkata-kata mereka akan melaksana.
Dalam mengkritik sistem pendidikan dunia Arab yang bermasalah dalam membentuk
masyarakat yang sedar dan berperanan, Prof Dr Louay Safi menjelaskan:
"We talk about wealth
but we do not talk about the responsibility of creating job opportunities for
others. When we talk about authority we do not link it to the social duty
to improve the social structure, it's always linked to the glory of one
person. And our Arab societies should solve this problem. Of course
this was the basis of the political corruption, this strong linkage of the
glory of the person, to the authority - and talk about heroes, how to worship
them, this is the problem, this is what led to the corruption also."
(7)
(Kita bercakap tentang kekayaan tetapi kita tidak bercakap tentang
tanggungjawab mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain. Apabila kita
bercakap tentang kekuasaan, kita tidak mengaitkannya dengan tugas sosial untuk
meningkatkan struktur sosial, ia sentiasa dikaitkan dengan kehebatan
seseorang. Masyarakat Arab kita mesti menyelesaikan masalah ini. Sudah
tentu ini merupakan asas kepada korupsi dalam politik, perhubungan yang kuat
antara kehebatan manusia dengan kekuasaan - dan bercakap tentang
pahlawan-pahlawan, bagaimana mahu menyembah mereka, inilah masalahnya, ini juga
yang membawa kepada korupsi.)
Menerusi perbincangan ini juga, kita akan melihat kepentingan kaum intelektual
dan berilmu menggerakkan masyarakat menuju sedar dan bertanggungjawab.
Jika para ilmuan juga bersifat individualistik, maka sudah pasti masyarakat
diktator akan terus wujud dan perubahan sosial dan projek pembangunan manusia
dan negara akan tergendala.
Masyarakat mesti turut dididik dengan persoalan kedaulatan undang-undang,
hak-hak kewarganegaraan dan kesamarataannya, dialog antara kaum dan agama,
kebebasan berkeyakinan dan menghormati kaum minoriti. Tanggungjawab
pendidikan ini sudah tentu tidak akan berjaya dipikul oleh sebuah pemerintahan
yang diktator, justeru para pendidik, ilmuan dan organisasi sosial patut
memainkan peranan dalam membentuk masyarakat sivil sama ada menerusi forum,
seminar, tetaer jalanan, filem atau apa-apa sahaja mekanisme yang relevan.
Pantulan dan Kesimpulan
Kebebasan merupakan antara syarat dalam merawat masyarakat diktator.
Masyarakat mestilah bebas daripada tekanan, paksaan dan campur tangan pihak
lain dalam membuat pilihan dan keputusan. Kalau keputusan dan pilihan
yang baik belum tentu diperoleh jika kebebasan dikurniakan, keputusan dan
pilihan yang tidak baik pasti akan diperoleh jika kebebasan tidak
dikurniakan. Tokoh revolusi Perancis, Jean-Jacques Rosseau (1712-1778)
yang dikenali sebagai salah seorang intelektual yang berperanan besar dalam
masyarakat pada zamannya menulis dalam bukunya bertajuk The Social Contract:
"To renounce liberty
is to renounce being a man, to surrender the rights of humanity and even its
duties. For him who renounces everything no indemnity is possible. Such a
renunciation is incompatible with man's nature; to remove all liberty from his
will is to remove all morality from his acts." (8)
(Untuk menolak kebebasan bererti untuk menolak menjadi manusia, menyerahkan
hak-hak dan tanggungjawab kemanusiaan. Untuk mereka yang menolak segalanya
tiada penebusan yang mungkin. Penolakan sebegitu adalah tidak selari dengan
fitrah manusia; untuk membuang segala kebebasan dari kemahuannya bererti
membuang segala moral daripada tindakannya.)
Al-Kawakibi sewaktu ditanya mengapakah Allah menguji hamba-hamba-Nya dengan
para diktator? Beliau menjawab:
"Sesungguhnya Allah Maha Adil tidak menzalimi seorang pun. Maka seseorang
diktator tidak akan menguasai melainkan ke atas golongan diktator. Sekiranya
orang yang bertanya itu memandang dengan pandangan orang bijaksana dan
mendalam, setiap individu dari kalangan tawanan kediktatoran merupakan diktator
terhadap dirinya. Sekiranya dia mampu, dia akan menjadikan isterinya,
keluarganya, kabilahnya, kaumnya dan setiap orang, sehinggalah Tuhannya yang
menciptakannya, pengikut kepada pandangan dan tindakannya." (9)
Masyarakat merupakan himpunan pelbagai jenis manusia, oleh yang demikian jika
kita ingin mengubah masyarakat, manusia haruslah menjadi individu pertama yang
wajib diubah. Sifat individualistik mestilah digantikan dengan sifat
saling cakna dan sedar sementara sifat redha dengan kesusahan dan kezaliman
mesti diubah dengan kesungguhan dalam "mengubah takdir".
Segala-galanya bermula dengan diri manusia dalam menjadi manusia yang bernilai
dan seterusnya ahli masyarakat sivil dan warganegara yang bertanggungjawab
serta demokratik.
*Marwan Bukhari belajar di Kuliah Syariah di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.