Satu peristiwa yang paling
penting yang telah tercetus di dunia Islam pada tahun belakangan tidak lain
daripada Musim Semi Arab atau apa yang diungkapkan sebagai Kebangkitan Arab
oleh Profesor Tariq Ramadan dalam bukunya yang terbaru.
Ramai yang curiga dengan
kebangkitan Arab. Bagi Barat, kekhuatirannya adalah ia mungkin membawa
terobosan kepada Revolusi Islam. Kebangkitan ini akan menurut jejak
revolusi Iran yang berwatak demagog, ganas, keras pendirian, perluasan dan
paling penting anti-Barat.
Sebaliknya, ramai
aktivis Islam di seluruh dunia, Parti Islam SeMalaysia (PAS) tanpa kecuali,
bersukacita menyambut kebangkitan ini. Bagi mereka, sesungguhnya ini adalah
permulaan ke arah kebangkitan Islam semula, untuk menundukkan seluruh dunia
dengan sistem Khalifah.
Bagi ramai kelompok Islamis
yang telah lama mendambakan Negara Islam yang teokratik, slogan al-Islam
huwa al-hal (Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah) di mana
pemerintahan akan dibimbing oleh wahyu telah menjadi agenda yang dominan dalam
wacana Islam, sejak zaman Sayyid Qutb.
Justeru, diskusi teokratik
ini di mana konsep vilayat-e-faqih atau Penentuan oleh Kelompok Faqih
dan dikenal sebagai Kepimpinan Ulama’ di negara kita dianggap sebagai
penyelesaian kepada umat Muslim walaupun nyata bahawa ketidakadilan akan lahir
sebaik teori tersebut digunakan dengan semberono dan tanpa kritis.
Urusan peribadi rakyat akan
beralih menjadi urusan negara dan kerajaan mempunyai hak untuk menegak dan
menguatkuasa agama. Hal ini adalah ide keseluruhan yang mengakari konsep Negara
Islam selain daripada melaksanakan Hudud dan Syari‘ah.
Walaupun terdapat persamaan
antara Musim Semi Arab dan Revolusi Iran, wujud juga perbezaan yang
fundamental. Mereka berkongsi kualiti menjadi revolusi nasional di mana rakyat
dari pelbagai latar – agama, sekularis, kiri, lelaki dan wanita, kelas
pertengahan, kelas pekerja – semuanya berpatisipasi. Kedua-dua gerakan
bertujuan menyingkirkan rejim autokratik yang didukung barat; keduanya
berhasrat menubuhkan kerajaan demokratik yang akan menjamin maruah bangsa dan
individu, keadilan sosial dan kebebasan politik dipertahan.
Tetapi hari ini, pemberontakan
Mesir sebagai suatu contoh adalah berlainan. Ia bukan berpijak pada aspirasi
nasionalis, anti-imperialis, atau kebangkitan dunia-ketiga. Revolusi ini
sebagian besarnya bersifat sivil, aman, dan pertunjukan nekad daripada mood
para penunjuk perasaan dan tuntutan mereka lebih mengingatkan kepada revolusi
demokratik di tengah dan timur Eropah pada 1989.
Tambahan lagi, amatlah
signifikan bahawa tiada satu organisasi, ideologi, atau personaliti; apatah
lagi yang bernama pemimpin Islam – seperti Ayatollah – yang menuntun
kebangkitan ini. Sebaliknya, pergolakan yang monumental ini tercipta daripada
pergerakan badan sivil dan politik dengan afiliasi agama, sekular dan politik
yang rencam, dan “kepimpinan” yang kolektif.
Malah, terdapat indikasi
bahawa seluruh rantau sedang mengalami peralihan dalam politik agama. Di
Tunisia ekoran daripada revolusi yang telah menumbangkan rejim Zine El Abidine
Ben-Ali, kumpulan Islam terbesar adalah en-Nahdah, yang diwakili oleh
Rachid Ghannouchi. En-Nahdah bukan parti Islam dan tidak bercita-cita
merampas kuasa dan menegakkan Negara Islam. Bagaimanapun ia berhasrat untuk
memugar Muslim yang solih dalam pemerintahan yang demokratik.
Rachid Ghannouchi telah
jelas menolak Khilafah Islam dengan mengutamakan demokrasi berparlimen, dan
gerakan en-Nahdah-nya komited kepada keadilan sosial, demokrasi pelbagai
parti dan pluralisme agama.
Model Kerajaan Islam parti
Tunisia en-Nahdah, parti golongan muda Ikhwan al-MusliminMesir, dan
angkatan reformis Iran dan projek kumpulan lain adalah lebih mirip kepada parti
AKP di Turki, yang telah memerintah negara tersebut sejak November 2002. Parti
Islam ini telah – di tengah kontroversi politik yang intens dan berterusan –
melaksanakan reformasi yang penting yang mempunyai kesan demokratik yang umum.
Dalam pasca-Islamis Timur
Tengah yang baru ini, pergerakan yang popular dan dominan memasang karakter
pasca-nasional, pasca-ideologis, sivil, dan demokratis. Gerakan hijau Iran,
revolusi Tunisia, dan kebangkitan Mesir mewakili gerakan popular daripada
period pasca-Islamis ini. Mereka berusaha untuk mencapai keadilan sosial, harga
diri, dan bentuk kerajaan demokratis yang dapat melindungi hak-hak rakyat yang
fundamental.
No comments:
Post a Comment