Wednesday, August 19, 2009

Al-Fatihah : Belangsungkawa Ibuku...

Ibu menghembus nafasnya 25 minit yang lalu. Mungkin sudah takdir, bahawa dia menunggu aku sebelum melepaskan nyawanya. Aku sememangnya rapat dengan ibu. Apa-apa jua hal berkaitan aku, kerja, peribada dan segalanya aku akan memberitahu kepada ibu. Mungkin itu sudah menjadi resam anak lelaki dengan seorang ibu.

Pagi tadi, selepas sahaja subuh aku seperti biasa menjenguk ibuku. Pada masa itu ibu seperti biasa menyediakan sarapan untuk ayahku yang walaupun sudah lama menikmati pencen, namun masih bekerja disebabkan displin dalam hidupnya. Barangkali, itulah kesan jika terlalu lama bekerja sebagai pasukan beruniform.

Ibuku, seperti juga rakan sebayanya yang lain, menghidap penyakit kencing manis. Satu istilah yang pada pendapat aku glamour atau dikenali oleh semua lapisan masyarakat. Ibuku amat berdisplin dalam menunaikan tanggungjawabnya untuk memperolehi kesihatan yang sebaiknya untuk dirinya. Setiap hari, ibuku akan memakan pil yang dibekalkan oleh poliklinik kerajaan, Kekadang, aku sendiri menjadi insaf bila melihat ibuku makan pil dalam kuantiti yang banyak. Namun, ibuku selalu memberitahu, itulah arahan yang tertera pada setiap ubatan yang dibekalkan, dan mesti dimakan setiap hari.

Walaupun menanggung sakit, ibuku tidak pernah menjadikan itu alasan untuk tidak bersosial dengan jiran setempat. Ibuku amat aktif dalam kumpulan zikir marhaban di tempatku. Malah, dalam bidang politik, ibuku juga merupakan seorang setiausaha bahagian wanita sebuah parti politik! Menurut ibuku, dia dipilih kerana kaum wanita ditempat kami hanya mengenalinya, berbanding calon lain yang bertanding. Itu sahaja yang menyebabkan ibuku dipilih menjadi Setiausaha Cawangan.

Bukan untuk dibanggakan, tapi itulah ibu. Tangannya amat ringan untuk memberi pertolongan tanpa mengira bangsa atau agama. Ditempat ibu tinggal, penduduknya adalah berbilang kaum. Persekitaran rumah kami misalnya, disebelah kirinya berbangsa Iban, dihadapannya pula berbangsa Cina, dikanannya pula Bidayuh dan dibelakang rumah kami pula Cina. Namun pada ibuku, itu semua rakannya.

Aku masih ingat lagi setiap hari, terutamanya pada sebalah pagi dalam jam 1030 keatas, ibuku kerap kulihat bersembang dengan jiran-jirannya itu. Memang hubungan mereka akrab. Malah pernah satu peristiwa, jiran Cina belakang rumahku, bermalam di rumah ibu lantaran suaminya mabuk lantaran kecewa kalah berjudi. Hal itu berlaku selepas seminggu anknya berkahwin.

Akrabnya hubungan ibu dengan jiran-jiranku tidak terbatas semasa mereka, malah berkembang sehingga ke peringkat ahli keluarga jiran kami. Suatu ketika, jiran kami yang berbangsa Bidayuh, di pelawa oleh emak kepada jiran kami ke dusun duriannya di Serian, untuk menikmati musim durian. Pada sebelah petangnya bila ibu pulang ke rumah, aku dapati ada tiga guni durian di rumah. Baunya, usah diceritakan.

Dalam menggangotai kumpulan zikir marhaban pula, ibu dan sekumpulan jiran wanita yang lain telah membentuk kumpulan zikir marhaban yang mantap. Hasil usaha dan perngorbanan mereka, kumpulan itu kini dikenali dan disegani. Beberapa bulan sebelum kehadiran Ramadhan tahun ini, kumpulan ibuku menyertai pertadingan zikir marhaban bagi ketagori wanita. Kumpulan ibuku mendapat kumpulan ketiga pada majlis tersebut.

Yang jelas, ibuku seronok setiap kali menyertai pertandingan, walaupun dalam keadaan beliau yang uzur. Sebagai anak, memang aku kerap juga menasihati ibuku agar berehat. Namun, ibuku seperti biasa dengan caranya tidak akan menjadikan sakit sebagai alasan. Paling mengejutkan aku ialah bila ibu terus diarah menjalani pembedahan membuang katarak pada mata kirinya. Pada awalnya, aku yang menguruskan semua itu. Pada sesi perjumpaan kedua, aku menyuruh adikku membawa ibu ke Hospital Pakar untuk temu janji biasa. Namun, sesampai ke hospital, adikku memberitahu bahawa ibuku diarah untuk menjalani pembedahan memandangkan tekanan darahnya pada masa itu normal, dan sekaligus pihak doktor bersetuju untuk terus menjalankan pembedahan membuang katarak berkenaan.

Ibuku dengan selamba memberitahuku pada sebelah petangnya bahawa dia dahpun menjalani pembedahan membuat ketarak. Padaku, itu suatu yang mengejutkan. Namun itulah kekuatan ibuku.

Sejak pembedahan itulah ibuku, kerap mengalami pening kepala, dan batuk. Hal ini berlanjutan selama dua minggu. Kami sekeluarga berikhtiar pergi ke hampir semua klinik atas permintaan ibuku, agar penyakit batuknya itu dapat hilang segera. Menurut ibuku, batuk menyebabkan dirinya menjadi lelah dan keletihan. Sekaligus menyebabkan kesakitan pada matanya yang baru sahaja menjalani pembedahan.

Beberapa minggu, ibuku memang nampak risau dengan batuk yang dialaminya. Memang nampak kesakitan pada ibu akibat batuk. Sampai satu tahap, ibuku mengajak aku pergi ke klinik yang mana doktornya sudah hampir tiga tahun bersara. Kami sekeluarga memahami kesakitan ibu akibat batuk tersebut.

Sememangnya bila kita batuk, yang amat sakit ialah di bahagian kepada dan perut. Dengan keadaan fizikal ibu yang kecil dan sederhana, dan kesakitan akibat pembedahan mata, kehadiran batuk benar-benar membuat ibu keletihan. Mungkin disebabkan kerisauan dengan dengan batuknya itu, kandungan gula pada darah ibu meningkat naik. Aku diberitahu oleh seorang sahabat yang juga seorang doktor, kandungan darah pada pesakit kencing manis atau darah tinggi, boleh meningkat naik jika mengalami kerisauan.

Aku yakin ibu pun mengalami keadaan yang sama. Sehari sebelum pemergiannya, aku turut membawa ibu ke klinik, dan bila diperiksa paras gula dalam badan ibu amat tinggi. Doktor mencadangkan ibu ke hospital. Namun ibu memberitahuku dia tak mahu ke hospital. Aku dan adik beradik lain menjadi serba salah dengan keputusan ibu. Disebabkan tiada apa-apa yang ketara pada ibu, kami akur dengan keputusan ibu tidak ke hospital. Sebaliknya ibu terus makan dan menelan ubat yang doktor berikan.

Pagi itu, sebelum aku keluar pergi bekerja, aku menjenguk ibuku. Dengan wajah yang menahan sakit, ibuku memberitahuku bahawa terasa seluruh badannya lemah. Namun pada masa yang saya, ibuku baru sahaja selesai menyediakan sarapan pagi buat ayahku, dan dia baru sahaja selesai mandi. AKu tidak mensyaki apa-apa dan terus memberitahu ibuku, bahawa selepas ke pejabat kelak aku akan membawanya ke hospsital.

Namun sudah menjadi suratan. Kembalinya aku ke rumah ibu, ibu masih sempat memberikan senyuman terakhirnya kepadaku. Dalam sedih aku bersyukr kerana ibu meninggal dengan aman dalam dakapanku. Semoga Allah sentiasa merahmati-Nya, seperti dia merahmati aku dan adik-beradik aku yang lain sekaliannya...amin...

Sebagai anak, aku pasrah dengan pemergian ibu tercinta yang seolah sudah mengetahui akan pemergiannya. Sebagai anak juga, aku bersyukur kerana semua urusan berkaitan ibu dapat kami uruskan dengan lancarnya pada hari ini. Cuma aku sedikit terganggu kerana tidak dapat untuk mengimamkan jenazah ibu lantaran abangku sudah memanggil iman di kawasan kami untuk berbuat demikian. Tidak mans rasanya jika aku tampil ke hadapan walhal iman sudah bersedia untuk melaksanakan tanggungjawabnya.

Hari ini dan seterusnya, aku tiada lagi seorang yang bergelar ibu dalam hidupku. Semoga Allah sentiasa membimbingku dalam perjalanan yang masih jauh ini.

"Ya Allah, ampunkanlah dosanya, rahmatilah dia, sejahterakanlah dia dan maafkanlah, muliakanlah tempat persinggahannya, luaskanlah alam kuburnya. Bersihkanlah dia daripada dosa sebagaiman bersihnya kain putih daripada kotoran. Tempatkanlan dia ke syurga firdaus-Mu, dan hindarilah dia daripada azab kubur, fitnahnya dan azab dripada-Mu. Tiada daya dan daya upaya kami melainkan berterusan memohon dan meminta kepada-Mu, wahai Tuhan Yang Maha pengasih Lagi Maha Penyayang...., Amin"

[Ibu selamat dikebumikan selepas Azan Asar, setelah menghembus nafas terakhir pada jam 1005 pagi]

1 comment:

setiakasih said...

untukmu sobat:

kulihat ke langit jingga
kulihat burung-burung terbang pulang ke sarang
kulihat pohon-pohon gemalai di tiup angin petang
kulihat tupai melompat dari dahan ke dahan
kulihat juga kuntuman-kuntuman bunga dan tanah merah basah
pusara bondaku
kulihat aku dalam biasan air pandan wangi yang kugenggam dari tadi

tidak mahu berganjak aku dari sini
menemanimu
bondaku
kecintaanku

kepergiaanmu
membekas di hamparan perasaan kelelakian anakmu
aku sunyi, bonda....
tanpa belaian mesramu
rajuk tangismu

tapi ibu usah bimbang
bonda tidakkan kubiarkan sunyi
kan kudendangkan zikir tahmid
alunan yassin
setiap kali setelah aku bersujud kepada Yang Empunya Diri

pabila kulangkah tujuh
rasaku mahu berpaling
kembali kepadamu
namun
hidup perlu diteruskan
demi janji kepadamu
demi janji kepada Tuhan
aku tahu bonda akan bahagia di sana
aku mendoakanmu
keabadianNya

Percayalah
dari air pandan wangi dan mawar desa yang kusiram di pusaramu
akan bercambahlah benih-benih subur
dan setiap helai daunnya
akan mendoakan kesejahteraanmu
akan memohon rahmat kepadaNya
untuk bonda...

Bonda
Kasihmu kan kubawa sampai ke syurga
sungguh aku cinta bonda..



setiakasih