Wednesday, June 17, 2009

PEKASA Kuasa Dua

Beberapa hari yang lalu telah berlangsung Mesyuarat Agung Ke-4 Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA). Alhamdulillah, semuanya berlangsung dalam suasana yang harmoni dan waras walaupun beberapa hari sebelum itu dikhabarkan terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menghantar pesanan ringkas (sms) yang mengelirukan dengan mengatakan bahawa mesyuarat tersebut ditunda pada tarikh yang lain.

Pada saya, adalah asam garam dalam sebuah persatuan atau kepimpinan bila berlaku bermacam-macam hal yang pada kita luar biasa sifatnya, tapi tidak kepada golongan yang faham akan realiti hal seperti itu. Bila ada permasalahan, itulah tanda adanya kehidupan di sekeliling kita, dan "kehidupan" seperti itulah yang akan mendewasakan dan memberikan pengalaman kepada kita.

Semua hal ini ada diceritakan secara berseni dan berfakta dalam buku Choosing Caviility oleh Dr. P.M. Forni. Berbalik kepada cerita PEKASA, amat besar tanggungjawab yang harus PEKASA lakukan sekarang. Saya berkata begini kerana dalam suasana isu bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik yang belum muktamad sehingga sekarang seolah terbentuk dua kumpulan dalam kalangan rakyat Malaysia, dan di Sarawak hal ini tidak terkecuali.

Kumpulan pertama menyokong usaha ini dan kelompok kedua pula ialah membantah. Akhirnya, ada pihak beranggapan bahawa yang menyokong pemansuhan pengunaan BI untuk subjek tersebut adalah golongan fanatik bahasa dan menentangnya pula dilabel sebagai tidak memahami budaya bangsa.

Bukan tujuan saya untuk menjelaskan kenapa dan mengapa hal ini berlaku, cuma yang amat penting sekarang itulah tempias yang PEKASA akan hadapi dalam realiti sekarang. Amat banyak harapan yang disandarkan kepada PEKASA dalam membudayakan ilmu dalam kalangan penulis Sarawak, khususnya. Insya-Allah, dengan kerjasama dan sokongan semua kepimpinan baharu PEKASA yang terdiri hampir semuanya golongan muda, maka diharap impian itu akan menjadi kenyataan.

Kata-kata Sukarno berkaitan golongan muda terlalu kerap untuk diungkap di sini. Saya hanya ingin mengajak pembaca berfikir sejenak, jika kuasa besar seperti Amerika Syarikat, mengambil langkah berani memberi tanggungjawab kepada golongan muda dalam banyak hal berkaitan negara dan kepimpinannya, maka seharusnya itu berlaku juga di negara kita. Beri peluang kepada golongan muda memulakan, gagal, bangun dari kegagalan, dan memperolehi pengalaman daripadanya. Insya-Allah berkat belajar daripada pengalaman, semuanya akan menjadi mudah, dan itulah yang ditegaskan oleh baginda Saidina Ali r.a dan diakui benar oleh bijak pandai kemudiannya seperti Einstien dan Thomas Edison.

Jadi, yang harus dilakukan sekarang ialah merancang, berkerjasama dan terus fokus kepada program yang terancang. Mudah-mudahan usaha ini akan dipermudahkan...Amin.

2 comments:

Farmilla Hamdi said...

Tahniah kerana mahu bersama-sama dalam mewarnakan sifat "PEKASA" dalam arus sastera. Apapun orang kata, yang penting niat kita...

Zaid@Zaidel said...

PEKASA sudah ada warna yang tersendiri, cuma terpulang kepada ahli seterusnya untuk mencorakkan warna seterusnya atau warna-warni.