Thursday, November 6, 2008

Obama, Sejarah AS

Senator Barack Obama dari Parti Demokrat, mencatat sejarah menjadi lelaki kulit hitam pertama terpilih sebagai Presiden Amerika Syarikat selepas mengalahkan Senator John McCain dari Parti Republikan. "Disebabkan apa yang kita lakukan hari ini, pada pilihan raya ini dan saat penentuan ini, perubahan berlaku di Amerika," demikian menurut Obama ketika memberitahu 240,000 penyokong beliau dalam satu rapat di Grant Park, Chicago.

"Jika ada orang yang masih meragukan bahawa Amerika adalah tempat di mana semua perkara boleh berlaku, yang masih mempersoalkan sama ada impian pengasas negara ini masih segar, malam ini anda memperolehi jawapannya,' tegas Obama dipetik melalui CNN.

Obama, 47 tahun, yang bakal mengangkat sumpah jawatan pada sebagai presiden ke-44 Amerika pada 20 Januari depan, berkata beliau perlukan masa buat memulihkan imej Amerika di mata dunia. Cabaran utama termasuk krisis kewangan sedunia, peperangan di Afghanistan dan Iraq serta program nuklear Iran.

"Sewaktu meraikan kemenangan, kita tahu cabaran hari esok paling berat dalam hidup kita - dua peperangan, bumi yang terancam, dan krisis kewangan paling teruk dalam tempoh satu abad," tegas beliau.

Obama mencapai kemenangan besar dalam undian Dewan Pemilih dengan mendapat 349 undi berbanding McCain yang mendapat 162 undi. Seorang calon perlu mendapat 270 daripada 538 undi Dewan Pemilih untuk menjadi presiden. Dari segi undi popular pula, Encik Obama mendapat 52.3 peratus berbanding McCain yang mendapat 46.5 peratus. Kemenangan Obama semalam digandingi kemenangan besar Parti Demokrat dalam kedua- dua dewan Kongres.

Keputusan sehingga akhbar ini dicetak semalam, menurut Associated Press, Parti Demokrat menguasai 251 kerusi Dewan Perwakilan berbanding 172 bagi Parti Republikan. Di Dewan Senat pula ia menguasai 54 kerusi berbanding 40 yang dimenangi Parti Republikan. Keputusan itu bermakna Obama akan menjadi presiden paling berpengaruh kerana pentadbirannya kini menguasai Kongres, sekali gus menjamin semua rancangan pembaharuan beliau tidak tergendala. Kemenangan Obama itu dialu-alukan di seluruh Amerika Syarikat, malah turut diraikan di serata dunia.

Tiga slogan yang kerap di ucap Obama ketika berucap pada ucapan sulung selepas kemenangan beliau ialah ;
Change
Yes, we can!
"I will listen especially to those who disagree with me."

No comments: