Ini
adalah tulisan Tun Dr. Mahathir, bekas Perdana Menteri Malaysia, yang telah
melalui banyak pengalaman dalam dalam mentadbir Negara. Saya petik tulisan ini,
dan siarkan di blog ini kerana ada memang semakin jelas dalam masyarakat kita
hal yang diberitahukan ini seolah kronik berlaku kepada masyarakat kita.
Mungkin ada yang berbeza pendapat, dan yang jelas kita mempunyai matlamat hidup
yang perlu dilaksanakan. Untuk membaca catatan asal sila ke http://chedet.cc/
1. Filem
dan T.V. cerita yang paling popular di kalangan orang Melayu ialah berkenaan
dengan hantu, pelesit, orang halus dan berbagai-bagai makhluk ghaib. Mereka
bukan sahaja suka lihat dan dengar cerita-cerita berkenaan makhluk ghaib ini
tetapi mereka amat mempercayai adanya makhluk ini dan kuasa luar biasa mereka
ke atas manusia. Mereka diberi kuasa yang kadang-kadang menyamai Tuhan yang
mereka sembah. Mereka mencari jalan supaya dilindungi dari makhluk ghaib. Dalam
usaha ini mereka kerap mengguna doa dari agama Islam yang mereka anuti.
Walaupun mereka percaya Allah S.W.T. boleh melindungi mereka tetapi kepercayaan
bahawa makhluk ini juga memiliki kuasa ke atas mereka bertentangan dengan
ajaran Islam yang menekankan bahawa hanya Allah S.W.T sahaja yang berkuasa ke
atas segala-gala yang ada di dunia dan akhirat.
2.
Kerana percaya akan kuasa makhluk ghaib ini mereka sering mengadakan acara yang
dicampur aduk dengan agama yang kononnya boleh melindungi mereka daripada
diserang oleh hantu jembalang dan orang halus.
3. Dalam
Al-Quran tidak ada disebut berkenaan hantu dan orang halus. Yang disebut dalam
al-Quran ialah shaitan, iblis dan jin yang suka memesongkan orang Islam
daripada membuat suruhan Allah S.W.T. Iblis dan shaitan boleh disangkal dengan
membaca ayat-ayat tertentu yang boleh mengukuhkan semula iman dan pegangan
kepada ajaran Islam.
4. Di masa-masa yang lampau ini kita dapati ramai yang berusaha
untuk melindungi pejabat dan hospital Kerajaan dari hantu dan orang halus.
Acara ini termasuklah menanam telor, menyimbah air dan membaca doa-doa tertentu
yang telah dikenalpasti oleh bomoh-bomoh. Ada juga yang menanam botol air di
sudut-sudut tertentu bangunan berkenaan.
5. Yang anehnya Mat Saleh yang tidak percaya kepada hantu dan orang halus ini tidak dikacau oleh makhluk-makhluk ini. Mereka tidak perlu jampi dan simbah air di keliling bangunan-bangunan mereka.
6. Saya
ingin tahu dari ulama-ulama akan kebenaran adanya hantu dan orang halus ini.
Dari mana mereka datang. Apakah kedudukan mereka dalam agama Islam. Jika kita
percaya mereka berkuasa dan kita perlu layan mereka jika ingin selamat, apakah
tidak kita memperduakan Allah S.W.T. atau memberi kuasa kepada yang lain dari
Allah yang kita sembah?
7. Saya
percaya akan kejahatan manusia dan betapa ganasnya mereka. Tetapi saya tidak
percaya dan tidak takut kepada orang halus atau lain-lain makhluk ghaib. Saya
juga tidak percaya ada cara untuk jadi kebal dari tikaman dan peluru.
8.
Dengan kenyataan ini akan adalah percubaan oleh orang tertentu dengan “ilmu
ghaib” mereka untuk mengajar saya. Saya cuma akan menuntut pertolongan dari
Allah S.W.T terhadap orang seperti ini.
No comments:
Post a Comment