Sunday, June 17, 2012

Masa Untuk Dijual!


Kita sering diberitahu atau mendengar ayat yang berbunyi “Masa Itu Emas”. Malangnya ayat tersebut hanya sedap didengar oleh telinga. Tidak lebih daripada itu. Kalau kita hendak tahu sama ada seseorang atau sesuatu bangsa itu cekap atau maju, malas atau rajin, kita lihat pada setakat manakah mereka menghormati atau patuh kepada masa dan cekap menguruskan masa dalam kehidupan dan kegiatan mereka. 

Nilai masa bagi orang yang sibuk, rajin dan cekap disamakan dengan nilai emas. Mereka sentiasa mengejar masa. Masa tidak menunggu mereka. Bagi orang yang malas atau tidak cekap, masa dilihat sebagai angin yang lalu: Dipegang tak dapat, dibiarkan lepas. Mereka menganggap masa boleh menunggu mereka. Orang yang sibuk selalu berkata, mereka ada masa. Orang yang malas selalu berkata, mereka tidak ada masa.

Dalam Islam orang yang menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dianggap orang itu beriman dan beruntung. Dalam Surah Al-'Asar, Allah berfirman: Demi Masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati untuk menetapi kesabaran. Surah ini mengingatkan manusia bahawa jika mereka tidak menggunakan masa dengan sebaik-baiknya, mereka akan rugi.

Masa banyak terbuang atau dibazirkan melalui pelbagai kegiatan yang tidak produktif dan tidak cekap. Orang yang tidak cekap sering membazirkan masa, tetapi mereka tidak menyedarinya. Kerja yang dapat diselesaikan dalam masa satu jam diselesaikan dalam tempoh yang panjang, mungkin berjam-jam lamanya, boleh jadi juga sampai dua tiga hari baru siap. Itu pun belum tentu hasilnya bermutu.

Di pejabat kerajaan, cuba kita kaji berapa banyakkah kerja produktif yang dilakukan berbanding kerja yang membazir, dan berapa banyak masa terbuang melalui kegiatan yang tidak produktif, yakni yang tidak menghasilkan apa-apa yang dapat dinilai dari segi sumbangannya kepada kecekapan dan keberkesanan prestasi organisasi itu kepada masyarakat atau dalam pasaran yang kompetitif. Orang selalu tidak dapat membezakan antara kerja dengan kegiatan. Kegiatan bukan kerja dalam erti katanya yang sebenarnya berdasarkan ilmu pengurusan. Kegiatan selalunya bersifat 'pesta-pestaan', hasilnya tidak dapat diberikan nilai yang konkrit.

Sipakah yang harus dipersalahkan dengan pembaziran masa ini? Jawapannya ada pada diri kita sendiri, yang tidak sedar-sedar walaupun rumah kata pergi, kubur menjemput ke mari...


No comments: