Thursday, December 1, 2011

Bila Hak disekat...


Kali terakhir saya mengemaskini blog ini ialah pada awal September. Dan sekarang ialah awal Disember. Dalam tempoh 30 hari lagi, tahun 2011 akan berakhir dan kita akan menyambut tahun baharu 2012.

Terlalu banyak hendak ditulis bila hendak menulis. Rasa itu semestinya pernah dirasai oleh semua yang menulis.  Berdasarkan dengan apa yang dibaca dan peristiwa yang berlaku di persekitaran, saya menjadi terikut sama untuk menyuarakan beberapa perkara yang seharusnya rakyat Malaysia wajar fahami dan maklumi.

Sebelum itu, saya ingin berkongsi satu cerita berkaitan pengalaman menonton cerita hindi bertajuk  My Name Is Khan. Mungkin saya agak ketinggalan jauh untuk menyaksikan DVD tersebut kerana cerita tersebut sudah amat lama ditayangan di pawagam dan dijual di pasaran. Malah jika saya membeli DVD yang cetak rompak, sudah semestinya saya akan mendapat harga yang murah. 

Namun, saya memilih membeli DVD yang asli atau ori, dengan maksud untuk melihat gambar yang berkualiti tinggi pada skrin LED, dan juga menikmati kualiti bunyi yang sebaiknya. Ternayata cerita itu menarik dan banyak pengajaran dan mesej yang disampaikan untuk direnungi bersama.

Jika pembaca hendak mengetahui selanjutnya jalan cerita tersebut, silalah membeli DVD yang dijual hanya RM21.22, di kedai Speedy Video.

Beberapa hari ini juga, kecoh di alam maya berkaitan keputusan kerajaan yang tergesa-gesa meluluskan Rang Undang-Undang Perhimpunan Awam 2011. Secara peribadi, saya berpendapat tidak perlulah kerajaan yang menguasai  parlimen membuat keputusan tergesa-gesa hanya untuk melaksanakan peraturan yang rata-ratanya seluruh komoniti rakyat tidak menyukainya. Orang yang arif dalam selok belok undang-undang, Majlis Peguam, turut sama mengadakan bantahan idak bersetuju dengan Rang Undang-Undang Perhimpunan Awam 2011.

Rentetan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini bersemangat untuk menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri, atau lebih glamour dengan nama ISA, maka tindakan kerajaan berkobar-kobar untuk meluluskan rang undang-undang berkenaan adalah tanda yang bertentangan.

Jika kita renung sejarah dunia, perhimpunan awam adalah senjata terakhir yang digunakan oleh rakyat untuk menyuarakan mereka terhadap bantahan berhubung apa-apa jua tindakan kerajaan yang pada penilaian rakyat tidak betul, tepat atau releven.

Hingga ke saat ini, perhimpunan awam masih diperaktikkan oleh rakyat di London untuk menyuarakan bantahan kepada kerajaan, selepas beberapa hasil perbincangan tidak berjaya.
Dalam kes di Malaysia, pada penilaian saya, adalah satu kesilapan besar bila kerajaan meluluskan rang undang-undang tersebut. Keadaan ini seolah kerajaan sudah terdesak untuk mempertahankan apa-apa yang tidak betul, yang menyebabkan rakyat bangun membuat bantahan.

Mungkin dalam soal keselamatan, jika wujud provokasi maka akan dijangka berlaku sesuatu yang tidak diingini. Rakyat perlu diberi peluang untuk bersuara, jika pemimpin yang mereka lantik tidak mampu bersuara, maka apa lagi pilihan rakyat?

Ada banyak sebab kenapa pemimpin tidak berani bersuara, walhal mereka dipilih oleh rakyat. Antaranya semua mengetahui bahawa bimbang tidak dipilih lagi sebagai ADUN atau AHLI PARLIMEN pada penggal seterusnya.

Jika pemimpin rakyat melaksanakan kehendak rakyat, saya yakin tidak akan wujud apa yang dinamakan perhimpunan awam. Rakyat menentang kerana menuntut penjelasan. Dan seperkara yang kita alpa ialah kita tidak diberitahu dimanakah saluran yang sebenarnya. 

Hal yang paling ketara, misalnya, ialah bila berlaku tuntutan keperluan kebajikan rakyat, sudah dilapor kepada pihak JKM, tetapi tetap berbulan-bulan juga tidak ada perkembangan selanjutnya. Bila si permohon bertanya, masih dikatakan bersabar, dan seterusnya bila minta pertolongan Yang Berhormat, juga dikatakan salah guna kedudukan. Lantas si pemohon terus menjadi mangsa keadaan, dibiarkan sahaja sampailah jika pihak media mengetengahkan isu berkaitan di kaca televisyen, maka barulah akan ada tindakan secepat kilat. Itupun selepas diarah oleh pihak menteri. Beginilah contohnya apa yang telah berlaku. Masih belum terjawab lagi persoalan saya terdahulu tadi, dimanakah saluran yang sebenarnya?

Tuntutan baru rakyat pada zaman teknologi yang canggih ini tidak boleh disekat dengan mewujudkan peraturan yang tidak memberi ruang kepada rakyat bersuara. 

Fasal 10 dalam  Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan jelas tertera bahawa  warga negara diberi hak untuk berhimpun.  Perlembagaan adalah  dokumen induk untuk rujukan wujud disesebuah negara bangsa. Tanpa perlembagaan tidak mungkin negara bangsa dapat diwujudkan. Kalau  negara itu sebuah rumah  maka perlembagaan ini adalah tiang seri yang menupang tegak terdirinya sebuah rumah.

Justeru rang undang-undang perhimpuan aman walau pun jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, yang  telah diluluskan, dilihat oleh rakyat sebagai strategi untuk menyekat rakyat berkumpul bagi menyuarakan ketidakpuasahan mereka. Hal ini juga dilihat oleh pihak pembangkang sebagai senjata paling mudah untuk kerajaan mengawasi pihak pembangkang dan pihak yang cuba menentang kerajaan. 

Kerugian jangka panjang bila kerajaan melaksanakan peraturan ini dan menguatkuasakannya ialah generasi muda milihat ini sebagai sekatan oleh pihak kerajaan yang melanggar hak asasi mereka untuk bersuara. Pada masa yang sama, parti kerajaan yang memerintah dikehendaki oleh Perdana Menteri sebagai pati yang mendakap demokrasi.

Yang kita tidak mahu ialah bila rakyat kerap disekat, dibimbangi rakyat akan memikirkan cara yang lebih agresif. Yang akhirnya akan meruntuhkan kerajaan yang sedia ada. Pengajaran telah berlaku jika kita renung di Mesir dan Libya, bila semua dikonkong oleh parti pemerintah.

Saya amat mengharapkan bila sesuatu yang telah diluluskan oleh kerajaan, boleh diubah semula pada masa terdekat. Ingin saya tegaskan sekali lagi, dengan memetik DVD yang saya telah ceritakan seperti di atas tadi, nama saya zaid zaidel, dan saya bukan anti kerajaan Barisan Nasional atau UMNO.

No comments: