Tuesday, May 3, 2011

PTS : Fenomena Masyarakat Membaca

Hari ini jika kita pergi ke kedai buku, MPH misalnya, pasti banyak terdapat buku yang ditulis menggunakan bahasa Melayu. Hal ini agak berbeza jika dibandingkan 15 tahun dahulu, dimana kita boleh katakan agar sukar untuk menemui buku yang ditulis dalam BM. Bukannya tidak ada, ada, cuma pilihan dan keadaannya fizikal buku tidak menarik.

Suatu masa dahulu, jika kita membeli buku hanya bersandarkan kepada kulit luar buku, maka kita akan dikatakan bukan pembaca yang sebenar. Sesuailah kata perpatah ini "don't judge the book by its cover". Namun, hari ini agaknya mungkin perpatah itu tidak digunakan lagi. Sebabnya pembaca tahu menilai buku, dan sudah semestinya buku yang hendak dibeli, dibaca terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan membelinya.

Kecualilah jika buku dijual di kedai buku yang masih mengamalkan dasar 'tutup pintu' yakni membungkus buku sambil meletakan tanda "Buku Untuk Dijual, Bukan Dibaca". Sekali pandang ayat tersebut memang mengambarkan tuan punya kedai berkenaan bukanlah kaki buku atau pembaca buku, namun, sekadar seorang yang menceburi bidang menjual buku.

Cerita pasal buku yang banyak dijual sekarang ini memang sesuatu yang mengiurkan. Acapkali jika berkunjung ke MPH di Kuching, walau tanpa perancangan atau niat pada awalnya, hasilnya tetap sama; pasti akan ada buku yang akan dibeli. Tulisan ini bukan bertujuan penulis untuk memberitahu dirinya suka membaca. Tidak sama sekali.

Tetapi, yang penulis hendak tekankan ialah kebanyakan buku yang dijual sekarang memang mudah dan memberikan banyak ilmu pengetahun kepada yang membacanya. Olahan ayat dan tarikan dalam bentuk ayat isi yang disampaikan penulis (mungkin juga yang telah diperbetulkan oleh editor) amat menarik sekali.

Bila bercakap mengenai buku yang menarik, luar dan dalam, agaknya masyarakat pembaca buku Melayu pasti akan bersetuju dengan saya bahawa buku keluaran pihak PTS memang menjadi pilihan dan ada tarikan yang tersendiri.

Tulisan ini bukan untuk mengiklankan PTS, namun adalah realiti buku-buku terbitan pihak PTS telah menyumbang kepada minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Sebagai contoh, jika dahulu di kedai buku ternama atau gah, buku BM hanya terselit bercampur dengan buku BI. Hal ini menimbulkan kesimpulan buku BM kurang diterbitkan, atau kedai tidak membeli buku BM (walhal ada penerbit yang telah lama menerbitkan buku BM).

Buku terbitan PTS juga bila kita baca dan amati (hampir kesemuanya himpunan buku yang penulis miliki) isi kandungannya jelas dan terarah kepada tajuk buku yang kita beli. Penyampaian hanya bercerita sekitar ilmu yang berkaitan tajuk. Dan paling menarik ada fakta dan maklumat rujukan diselitkan, lengkap dengan penerangan tajuk dan sebagainya.

Jika berkunjung di kedai MPH The Spring, misalnya, bukan satu yang pelik jika di rak-rak buku PTS, terdapat banyak pembaca yang menatap buku PTS. Keghairahan ini diserikan lagi dengan pemandangan budak-budak yang turut sama membaca buku keluaran penerbitan PTS.

Penulis percaya, fenomena buku PTS telah menjadi pioner kemunculan buku-buku BM lain di kedai buku mewah. Penulis berkata demikian kerana hanya selepas kejayaan PTS, pertambahan dan pertumbuhan penerbit buku BM boleh diumpakan seperti tumbuh cendawan selepas hujan.

Namun, yang menarik ialah PTS tidak kalah dalam persaingan tersebut, malah semakin ligat dan rancak bersaing. Tidak kurang ada juga yang mengatakan buku PTS penyeri buku BM di pasaran. Tanpa adaanya buku PTS, agaknya seri jualan buku BM pasti akan merudum.

Bila bilangan penerbit bertambah, jangkaan awal penulis PTS akan mengalami persaingan. Sebaliknya tidak. Penulis tidak melihat angka dan data, memadai melihat realiti di kedai-kedai buku bilangan buku yang dibeli kebanyakannya keluaran PTS.

Penulis pernah bertanya kepada beberapa orang pelanggan kenapa membeli buku terbitan PTS. Antara jawapan yang penulis suka dengar ialah gaya penulisan jelas dan terang. Bila penulis tanya kenapa buku penerbitan lain tidak jelas dan terang ke, pelanggan itu menjawab reka letak dan reka huruf PTS kemas, dan ayat tidak panjang berjela-jela.

Penulis menulis post ini sekembali dari kedai MPH The Spring. Berkunjung ke sana semata-mata mahu membeli buku 11 Teori dan Prinsip Motivasi di Tempat Kerja. Walaupun tujuan asal hanya membeli buku ini sahaja, namun tarikan, seolah magnet buku PTS ini telah mendorong penulis membeli beberapa buah buku lain iaitu 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah, Menjadi Pemimpin Super, Urus Bisnis Dengan Google dan Pemimpin 360 Darjah.

Dan sepekara lagi yang menjadi bualan kalangan penulis ialah, alangkah indah dan bahagianya jika buku mereka diterbitkan oleh PTS. sampai begitu sekali yang kerap penulis dengar....Itulah PTS, hasil kebijaksanaan dan gabungan dua orang yang wajar diberi penghargaan dan pengiktirafan kerana telah mencetus fenomena baharu dalam dunia buku di Malaysia, yakni kegilaan dan minat untukmembaca, lagi dan lagi.

1 comment:

kedai said...

Dapatkan buku-buku yang berkualiti di kedai buku onlie:
http://www.kedaibuku.biz/