Saturday, April 30, 2011

Bila Kejora & Bintang Bersatu

Aku menulis malam ini kerana hujan begitu lebat di luar sana. Entah, sejak Rabu lalu, malamku terasa singkat sekali. Usai tanggungjawabku sebagai hamba, laptop ini menjadi teman karib untuk ku luahkan semuanya. Ternyata, setiap saat kehidupan yang dilalui tidak akan bermakna tanpa kita memperoleh sesuatu pengajaran atau ilmu darinya. Alhamdulillah, aku tergolong dalam kelompok yang menghargai akan saat dalam kehidupan.

Dalam pada aku terus menaip ini, Kucing kesayanganku, Mr. Ozel duduk disebelahku sambil membersihkan dirinya. Mr. Ozel, sememangnya menjadi Kucing kesayangan kami. Siapa sangka Kucing dizaman ini tidur malamnya bersama tuannya di atas tilam yang sama. Teruskan membersihkan dirimu Mr. Ozel.

Aku bukan menulis untuk bercerita mengenai Mr. Ozel. Demi keselamatan Kucing kesayanganku itu, biarlah semuanya menjadi rahsia. Kekadang masyarakat tidak sedar, tanpa mereka sedar rupanya mereka sendiri yang mendedahkan semua butiran keselamatan mengenai diri mereka. Lantas, hal yang demikian menjadi idaman penjenayah yang terus mengambil peluang emas itu untuk mencari keuntungan.

Pada saat ini aku masih terkejut dan terkilan dengan apa yang sedang berlaku dalam negaraku yang bernama Malaysia. Seolah tidak ada lagi yang menjadi lebih utama berbanding isu video seks. Aku menjadi sakit hati dan kerap kali bertanya secara monolog, "Kemanakah perginya nilai kesusilaan penerbit berita hinggakan hal berkaitan seks menjadi isu utama dalam berita utama pada waktu perdana?".

Sebagai pembaca atau penonton berita, kami memehami jika isu yang menjadi keutamaan pihak media ialah yang menarik perhatian masyarakat, dan soal seks sudah semestinya. Apatah lagi jika dikatakan ada kaitan dengan ahli politik tersohor dalam negara. Namun, yang dikesalkan ialah apabila isu seks dijadikan santapan hampir setiap hari, dan diberi perhatian yang teramat tinggi seoalah ianya menjadi isu yang amat penting dalam negara yang mengaku sebagai sebuah negara Islam.

Amat memalukan bila isu berkenaan diberi keutamaan dan diagung-agungkan hingga sampai ke tahap yang memualkan. Terkini, bersumpah laknat, seolah menjadi budaya dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Hampir-hampir juga aku ingin menyoalkan apakah fungsi pihak jabatan agama dlam hal ini? Kenapa senyap dan tidak memberikan kenyataan yang boleh menyatupadukan masyarakat Islam di Malaysia yang sememangnya sudah berpuak-puak lantaran perbezaan politik?

Bayangkan, jika sifat bersumpah menjadi ikutan dan budaya baharu dalam masyarakat Melayu Islam, apakah maknanya lagi adanya Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil? Bayangkanlah dalam setiap perbicaraan yang Melayu Islam mahu membela dirinya dengan bersumpah laknat jika menipu atau mengadakan cerita dan sebaliknya. Nescaya boleh porak-poranda masyarakat Melayu Islam di Malaysia.

Bila emosi dan fahaman kecetekan dalam ilmu agama dijadikan nas untuk bertindak, sama ertinya kita mewujudkan fahaman taksud dalam beragama kepada masyarakat. Mungkin itu yang akan berlaku jika hal sekarang ini tidak diatasi sekarang. Kerajaan, sebagai payung rakyat harus bertindak mengekang isu ini daripada berterusan memainkan emosi masyarakat Melayu yang berpuak-puak ketika ini agar tidak wujud kebimbangan kita terhadap apa-apa yang mungkin berlaku.

Hari ini terlalu banyak ketidak telusan yang berlaku. Isu kesetiaan masyarakat Cina, kelemahan ekonomi Melayu, permintaan tu dan ni masyarakat India. Dan hal ini belum lagi mengambilkira pemintaan atau tuntutan beberapa isu yang berlaku di Sabah dan Sarawak. Banyak lagi isu sosial lain yang tidak menjadi perhatian pihak media. Jika adapaun yang diberi perhatian, boleh dikatakan hanya 10 peratus sahaja. Keadaan ini menyebabkan masyarakat mulai mempersoalkan, kenapa dan mengapa.

Inilah situasi Kejora dan Bintang dalam drama siri siaran di Astro. Pembaca meramalkan bahawa apabila Kejora dan Bintang bersatu, maka akan selesai banyak masalah. Realitinya adalah sebaliknya. Itu juga yang masyarakat fikirkan berkaitan hal yang berlaku sekarang. Dengan kuasa yanga da pada Melayu Islam, adakah mereka tidak mampu untuk mengatasi masalah yang wujud sekarang dengan sebaiknya? Semoga Allah melindungi negaraku daripada malapetaka yang tidak diduga, Amin.

No comments: