Friday, January 28, 2011

ISU INTERLOK: Tanda Aras Tahap Ilmu di Malaysia

Hari ini Jumaat, 28 Januari 2011. Semalam, seperti diduga berdasarkan suasana landskap yang berlaku sejak beberapa bulan lau, maka TPM pun mengeluarkan kenyataannya bahawa Novel Interlok kekal digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.

Penulis yakin isu yang hendak diselamatkan dalam isu Interlok ialah sensitiviti perkauman. Malaysia sememangnya mempunyai pelbagai suku kaum yang pelbagai dan bewarna-warni. Di Sarawak sahaja terdapat lebih 27 etnik. Belum lagi suku kaum yang terdapat di negeri Sabah. Di Semenanjung, tiga kaum yang terbesar ialah Melayu, Cina dan India.

Bila mengimbas zaman kanak-kanak dahulu, penulis dibesarkan dalam kelompok masyarakat yang berbilang kaum. Penulis bermain bersama-sama rakan yang berbangsa Iban, Bidayuh, Cina dan Melayu. Alhamdulillah, walau berbeza agama, hasil bimbingan ibu-bapa dan peranan guru yang ketika itu mengajar subjek Tatarakyat, pergaulan kami tidak kekok. Malah tidak timbul isu geli sama ada makanan itu halal atau haram sebab rakan yang berbeza agama itu dan ahli keluarga memahami akan kewajipan bagi seorang muslim makan dan minum benda yang halal.

Alhamdulillah, sehingga saat ini kami masih bergaul dan berkawan walau persekitaran hari ini seolah sensitif dan masing-masing kaum berebut mengambil tempat, dan menonjolkan diri. Antara kedudukan politik dan keharmonian masyarkat, mungkin itu yang difikirkan oleh sesiapa jua yang duduk di kerusi tampuk pemerinatahan. Benar, sesiapa jua sekalipun akan dilema untuk memutuskan atau membuat keputusan berhubung solan yang melibatkan sensitiviti perkauman. Menjadi pemimpin di negara yang berbilang kaum penduduknya, memang suatu yang meresahkan. Hatta di negara yang hanya dua kaum sahaja itu pun sudah cukup meresahkan kepasa sang pemimpin.

Namun, dalam banyak hal yang penulis perhatikan sehingga ke usia sekarang, banyak perkara yang berlaku tidak diselesaikan dengan cara sebaiknya dan tidak menjadikan ilmu sebagai pegangan.Kes Interlok ialah apa yang boleh dilabelkan sebagai campurtangan kerajaan dalam mengubah fakta. Adakah ini bermakna jika selepas ini sesiapa sahaja yang berkuasa dan tidak puas hati dengan fakta yang benar, maka buku yang diterbitkan itu akan dipinda?

Adakah adalah kerana hendak menjaga hati atau sensitiviti sesuatu kaum semudah itu fakta sejarah dalam negara hendak di ubah? Penulis dalam perbincangan dengan rakan-rakan lain turut menerima hentaman daripada kekawan sendiri. Mereka berkata, apa perlu penulis sibuk berhujah dan menyuarakan pandangan berhubung isu Interlok, walhal isu tersebut tidak dirasai langsung di Sarawak.

Jawapan penulis mudah sahaja, ini bukan soal Interlok. Sekarang ini adalah persoalan berkaitan ilmu. Bayangkan jika fakta sebenar berkaitan sejarah, hanya kerana tuntutan satu pihak, maka pihak kerajaan mengubah atau memindanya, maka tidak mustahil jika selepas ini akan banyak lagi buku ilmiah akan menjadi mangsanya. Akibatnya generasi akan datang menjadi haru-biri tanpa mengenali identiti diri.

Dalam kes Interlok, apa-apa pun hujan pihak kerajaan, bukan bermaksud penulis menentang keputusan kerajaan, tetapi realitinya memeng tidak tepat. Bayangkanlah satu tarikh pada 5000 tahun akan datang, kaum melayu tidak puas hati dengan gambar masyarakat melayu yang diambil sekitar tahun 1800, maka dengan hujah yang sama, sensitiviti, maka pemimpin menukar gambar tersebut dengan menunjukkan gambar orang melayu bepakaian kemas, lengkap dengan kasut dan sebagainya, agar Melayu tidak dianggap ketinggalan dans sebagainya. Begtu juga kaum dan suku kaum lain.

Justeru, soal seperti inilah yang menimbulkan keraguan dan kebinbangan penulis. Interlok adalah karya kreatif, dan itu pun menjadi mangsa keadaan. Apatah lagi karya ilmiah. Amat menyedihkan bila kerajaan terlalu mudah dan simple mengambil keputusan begitu.

Bercakap soal kasta, filem Tamil Made In India sampai ke hari ini masih memaparkan soal kasta. Secara jujur kekadang penulis menjadi keliru, walau masyarakat India Malaysia dari segi sejarahnya memang berasal dari tanah India, realitinya India yang berada di Malaysia sekarang ialah masyarakat India Malaysia. Generasi yang ada di Malaysia sekarang ialah generasi India Malaysia, dan tiada kaitan lagi dengan India di negara India. Semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum menerima seadanya masyarakat India sebagai saudara mereka yang bersama-sama rakyat Malaysia.

Persoalannya kenapa hal berkaitan India di Tanah India perlu juga di bawa ke Malaysia? Ada juga saranan selepas ini agar  penulis buku sejarah perlu sensitivi dengan soal berkaitan perkauman. Adakah ini juga bermaksud penulis buku sejarah hanya memaparkan yang baik sahaja, dan menyisih kebenaran yang pahit untuk ditelan? Memetik kata Tun Dr. Mahathir,

“Jika semua yang sensitif kepada kaum-kaum di Malaysia ditapis, maka tidak ada pelajaran yang akan diperoleh penuntut,".

Hal inilah yang perlu diambilkira oleh kerajaan, dan bukannya secara mudah mengambil keputusan meminda. Akhir sekali suka penulis memetik tulisan Dato A.kadir Jasin, "Secara peribadi, sebagai penulis, saya lebih rela karya saya dibakar dan dinyahkan daripada persada ilmu dan kecendekiawanan hambar daripada disunting dan dipinda kerana KONONNYA menyentuh dan menyinggung sensitiviti kaum tertentu.

Kalau karya Sasterawan Negara seperti Abdullah Hussain pun tidak selamat daripada interpretasi tohor dan gunting para penapis makan gaji, maka karya siapa lagi akan selamat?

Inilah kesimpulan yang boleh kita katakan berhubung tahap penguasaan ilmu di Malaysia.

No comments: