Sunday, December 5, 2010

Yang Baik dan Yang Buruk

Saya akamt meminati segelintir tulisan beberapa orang "otai" wartawan. Antaranya Datuk A.kadir Jassin. Dilampirkan bersama-sama ini tulisn terkini beliau yang saya harap dapat membuka minda kita semua.

Untuk membaca blog beliau, silalah ke alamat ini, http://kadirjasin.blogspot.com/
PEMBAHAS OKJ, dalam komen posting berjudul “Pertanian dan Makanan Maha Penting”, antara lain, berkata: “Terharu dan sedih pulak (sic) rasanya bila Dato’ asyik menceritakan kebaikan projek-projek kerajaan akhir-akhir ini.”

Terima kasih. Kalau saudara berasa terharu dan sedih, itu hak saudara. Tetapi bagi saya mudah saja. Yang baik saya puji yang buruk saya tentang. Lagipun, saya memang berminat terhadap pertanian dan pelaburan. Menggalakkan pertanian dan mewujudkan skim amanah untuk Bumiputera adalah baik. Jadi saya puji.

Tetapi membazirkan duit rakyat jelata dengan berbelanja boros seperti mengubahsuai kediaman rasmi, pejabat, pergi ke luar negara untuk tujuan-tujuan riadah dan buat majlis besar-besaran saya tentang.

Apatah lagi di saat-saat rakyat jelata dibebankan dengan kenaikan harga barang-barang seperti petrol, gas masak dan gula mulai semalam. Apa pun alasan kerajaan, bebannya tetap akan dirasakan oleh pengguna.

Sdr OKJ, kalau sayalah Perdana Menteri saudara, saya akan tanggungkan dulu perbelanjaan yang tak mendesak macam mengubahsuai kediaman rasmi, pejabat, pergi ke luar negara untuk tujuan-tujuan riadah dan buat majlis besar-besaran.

Saya akan alihkannya kepada projek-projek hidup mati macam mengubati pesakit kronik, membuat pembedahan plastik budak sekolah yang disimbah cuka oleh bapa yang durjana dan membantu mangsa banjir.

RM65 juta mengubahsuai kediaman rasmi atau pergi ke pertunjukan fesyen bukanlah perbelanjaan hidup mati. Lainlah kalau pakai duit sendiri. Itu pun tak kena juga. Orang akan tanya dari mana dapat banyak duit atau siapa taja?

Saya ingin menarik perhatian saudara OKJ kepada nasihat Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, ketika mempertahankan kenaikan harga bahan-bahan petroleum pada tahun 2006 supaya rakyat jelata mengubah gaya hidup.

Oleh kerana Saudara OKJ agak kritikal terhadap sesiapa saja yang mengkritik kerajaan Barisan Nasional, saya harap saudara boleh membantu saya memperjelaskan keadaan sebenar mengenai cadangan memperuntukkan RM65 juta bagi mengubahsuai Seri Perdana pada tempoh 2011-2012 seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong (DAP) baru-baru ini.

Saya mengkritik Abdullah Ahmad Badawi apabila dilaporkan di Parlimen yang pengubahsuaian Seri Perdana ketika beliau menjadi Perdana Menteri menelan belanja RM15 juta. RM65 juta berbanding RM15 juta sangatlah besar perbezaannya.

Saya tidak putus-putus mengingatkan pemilih (yakni pengundi) dan yang dipilih (Wakil Rakyat) bahawa yang kita pilih adalah mereka. Kita tidak pilih anak-bini, suku-sakat, kroni dan sahabat mereka.

Saya ingin menarik perhatian saudara OKJ kepada jawapan Perdana Menteri terhadap soalan Liew mengenai “bilangan kakitangan kontrak dan tetap, peruntukan tetap, peruntukan kunjungan luar negeri dan kemudahan lain yang diperuntukkan untuk Isteri Perdana Menteri dari tahun 2000 hingga 2010.”

Berikut jawapan Mohd Najib: “Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, tidak ada kakitangan tetap dan kontrak yang diperuntukkan khusus untuk isteri YAB Perdana Menteri.

“Pegawai-pegawai daripada Pejabat YAB Perdana Menteri dari semasa ke semasa membantu isteri Perdana Menteri dalam menjalankan tugas-tugas rasmi beliau.

“Kerajaan tidak menyediakan peruntukan tetap atau peruntukan kunjungan luar negeri tahunan secara khusus kepada Isteri Perdana Menteri.

“Walau bagaimanapun, Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237) berkenaan Elaun-Elaun dan Keistimewaan-Keistimewaan bagi Perdana Menteri menyatakan bahawa isteri kepada Perdana Menteri yang mengiringi Perdana Menteri semasa lawatan rasmi atau semasa membuat lawatan rasmi secara bersendirian ke luar negara atau dalam negeri adalah layak menerima dan menuntut perbelanjaan seperti kelayakan tambang, elaun makan, penginapan, elaun sara hidup dan elaun pakaian panas.”

Jadi, tidak perlulah saudara OKJ “emo” kerana saya mengiktiraf (memuji) kebaikan Ekspo Maha dan Skim Amanah Hartanah Bumiputera dalam blog ini. Yang baik akan saya puji dan yang buruk akan tetap saya kritik.

No comments: