Sunday, December 5, 2010

HPPS SUATU TITIK ELIPSIS


(Rencana ini sudah terbit dlam YIIB 15 November 2010 dalam akhbar Utusan Borneo)

“Seorang penulis perlu
mempelbagaikan karya atau penerbitannya
kerana bidang itu merupakan wadah berkesan
dalam mengembangkan pemikiran bangsa”.
                                                          Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Haji Satem.
Nombor yang masih dianggap misteri dan unik oleh pakar matematik ialah nombor 19. Meskipun Pythagoras, Euler dan Gauss telah lama cuba menyelesaikan dan memikirkan untuk mencari jawapan kepada persoalan ini, namun sehingga kini persoalan itu  belum terjawab. Dr. Peter Plichta, ahli kimia dan matematik dari Jerman berpendapat bahawa tanpa angka 19, matematik tidak akan wujud dan kiraan tidak akan menjadi tepat. Angka 19 tahun sudah menandakan kedewasaan seseorang. Jika seorang anak berusia 19 tahun, maka sudah dikatakan akil baligh. Undang-undang di Malaysia menetapkan umur 18 tahun ke bawah ditakrifkan sebagai kanak-kanak. Berusia 19 tahun, digelar orang dewasa atau belia.
          Sudah 19 tahun usia skim yang diberi nama Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (HPPS), yang merupakan salah satu daripada projek yang diusahakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, untuk memajukan bidang penulisan karya sastera kreatif dan non-kreatif dalam bahasa Melayu di Sarawak.
          Ringkasnya, jika boleh dikatakan bahawa setiap penerima bagi kategori HPPS, yakni puisi, cerpen dan esei kritikan merupakan hasil karya yang terbaik setiap tahun, hasil karya penulis Sarawak. Jika dinilai dari segi kualiti, sudah semestinya inilah yang terbaik kalangan yang baik. Hanya lima orang sahaja akan dipilih oleh panel penilai bagi menerima setiap kategori yang akan diisytiharkan sebagai penerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak.
          Skim yang diperkenalkan pada tahun 1991 dengan tujuan menggalakkan penulis Sarawak, dan mereka yang bermastautin di Sarawak supaya lebih giat dan aktif menghasilkan karya termasuk cerpen, puisi dan esei kritikan yang bermutu tinggi. Di bawah skim berkenaan, semua karya penulis yang tersiar dalam pelbagai media etak seperti majalah, surat khabar, risalah jabatan dan penerbitan dalaman sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan sepanjang tahun berkenaan diberi peluang untuk dinilai oleh tokoh-tokoh penulis tanah air bagi memilih karya yang dianggap lebih bermutu.
          Malah penulis seperti Saiee Idris, pernah melabelkan Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (HPPS), setara dan sepadan dengan Hadiah Sastera Perdana di peringkat Kebangsaan, sekalipun upacara dan istiadat dalam majlis penyampaiannya tidaklah semeriah dan semewah majlis Hadiah Sastera Perdana.
          Sekali gus ini bermakna mereka yang menerima hadiah di bawah skim ini adalah penerima pengiktirafan bagi pencapaian mereka dalam bidang penulisan. Ini juga bermakna karya yang diperakui layak menerima hadiah itu adalah karya yang bermutu.
          Istilah menang dalam sastera bukanlah seperti menang dalam acara-acara sukan. Sayembara sastera juga bukanlah seperti acara lumba lari 100 meter. Pemenang tempat pertama yang mendahului dengan kelebihan 0.01 saat ialah juara yang dijulang - sekali gus mengetepikan pemenang tempat kedua, ketiga dan seterusnya.
          Keistimewaan HPPS ialah pengiktirafan kepada karya yang diberikan hadiah. Dalam sastera, kedudukan menang atau kalah sesuatu yang subjektif. Hakikatnya, setiap karya yang terpilih untuk di senarai pendek merupakan karya yang diiktiraf. Proses saringan pastinya bukanlah mudah.
          Tahun 2010 merupakan tahun ke-19 HPPS berada di pentas sastera negeri Sarawak. Umum mengetahui bahawa HPPS merupakan hadiah sastera tempatan yang konsisten. Tarafnya majlisnya boleh dikatakan kedua selepas Majlis Anugerah Penyampaian Sastera negeri Sarawak. Setiap tahun, peminat sastera berdebar menantikan keputusannya.
          Di peringkat DBP Cawangan Sarawak, penerbitan berkala Yang Indah Itu Bahasa (YIIB) yang disiarkan pada setiap hari Isnin dalam akhbar Utusan Borneo, sering kali menjadi penantian karyawan di Sarawak bagi memastikan sama ada karya mereka disiarkan atau sebaliknya.
          Walaupun pemilihan karya untuk dinilai untuk HPPS tidak terbatas kepada penerbitan dalam wadah penerbitan DBP Cawangan Sarawak sahaja, namun YIIB tetap menjadi pilihan utama karyawan Sarawak untuk menghantar karya mereka.
          Apabila kita memperkatakan kesusasteraan, hal itu tidak dapat dipisahkan daripada manusia dan masyarakat. Berertinya sastera kerana adanya hubungan ini. Erti kesusasteraan kepada kehidupan manusia dilihat daripada dua pandangan, iaitu pandangan yang lama dan yang baharu, sesuai dengan hakikat sastera itu sendiri yang berkembang dari segi bentuk, jenis, dan fungsinya. Sastera juga berkembang mengikut perubahan zaman dan tuntutannya dan keadaan ini memberikan kesan terhadap erti sastera kepada kehidupan manusia.
          Dalam masyarakat yang berasaskan sains dan teknologi seperti Malaysia, kehadiran sastera masih sangat bererti. Tanpa sastera, masyarakat maju kehilangan satu unsur penting kehidupannya. Hakikat ini ditegaskan oleh John Naisbitt (1999) yang mengatakan bahawa ada teknologi (high tech) yang memabukkan manusia kerana mencengkam semangat manusia dan meningkatkan pencarian manusia tentang makna atau kepastian. Hasilnya, manusia berada dalam keadaan yang kompleks dan sering pula terperangkap dengan hubungan yang bersifat paradoksikal antara teknologi dengan usaha mencari makna.
          Sehubungan dengan itu, Naisbitt menyarankan manusia agar mencari teknologi yang memelihara kemanusiaan dan menolak teknologi yang merosakkan atau mengganggu kemanusiaan. Beliau menyarankan manusia melihat seni, cerita, drama, agama, alam semula jadi, dan masa sebagai aspek yang penting. Yang disebutkannya sebagai high touch itu perlu sangat kepada kehidupan manusia yang mementingkan sains dan teknologi. Di sini nyata sastera dapat dikelaskan sebagai high touch yang perlu dalam kehidupan masyarakat maju, seperti masyarakat di Malaysia. Bagaimanakah sastera dapat bererti sebagai high touch seperti yang dimaksudkan oleh Naisbitt? Sastera bukan sekadar bahan bacaan, tetapi lebih daripada itu.
          Shahnon Ahmad (1991) menegaskan bahawa sastera sebagai seismograf kehidupan, iaitu sastera bukan sahaja mencatatkan tetapi menganalisis perihal manusia dan masyarakat. Melalui sastera, banyak yang dapat dipelajari. Bagi Shahnon, sastera sangat diperlukan untuk melengkapkan nilai sesuatu masyarakat. Melalui sastera, masyarakat juga dapat mempelajari sejarahnya untuk memperbaik kehidupan mereka.

           
Aristotle meletakkan sastera lebih utama berbanding dengan sejarah kerana sastera dapat meramalkan masa hadapan masyarakat itu. Sastera mampu menembusi batas kemungkinan. Kemungkinan sastera melihat masa hadapan masyarakat ada hubungannya dengan keupayaan sastera untuk memberikan kebijaksanaan kepada pembacanya dengan membawa pembaca melihat dirinya dan persekitarannya.

           
Menurut A. Samad Said (1998), melalui sastera ditemui unsur moral, keindahan, hati nurani, keadilan, ketakwaan, kebijaksanaan, dan tazkirah dan disampaikan secara sederhana, tetapi amat berkesan di jiwa.
          Usman Awang (1995) menulis bahawa sastera meliputi semua aspek kehidupan manusia secara meluas. Sastera ialah satu bentuk seni yang menggunakan bahasa. Melalui bahasa, keperihalan manusia dan kemanusiaan dibangunkan dengan penuh kesedaran tentang mesej dan keindahan. Laras bahasa sastera berbeza daripada laras bahasa harian dan sains. Pemilihan kata yang teliti, unsur bunyi yang dijaga rapi, dan irama yang tersusun indah membawa pembaca menikmati bahasa sastera. Mesej yang disampaikan dengan bahasa yang terpilih memberikan kekuatan keindahan kepada karya sastera dan menyuburkan penghayatan pembaca. Unsur denotasi dan konotasi membawa bahasa sastera ke lembah ketaksaan dan ketaksaan ini mengundang pentafsiran yang memberikan ruang kepada pembaca untuk membina imaginasi dan korelasi bagi mendapat satu mesej mental dan imej ini muncul bersama dengan rangsangan emosi. Ekoran itu, pembaca menikmati satu pengalaman estetik yang memberikan nikmat yang tersendiri. Melalui bahasa, sastera dikarang dan digubah menjadi seni yang indah. Melalui bahasa yang terpilih, sastera menggambarkan kehidupan manusia yang halus dan dipersembahkan secara yang paling indah.
          Sastera dapat menjadikan pembaca memahami kehidupan dengan lebih berfalsafah, iaitu dapat menerima keperihalan tentang manusia dan masyarakat yang kadangkala sukar untuk dimengertikan oleh fikiran rasional. Sememangnya kehidupan manusia ini penuh dengan kemungkinan yang tidak terduga dan sastera mampu menjelaskannya. Pengarang ialah manusia kreatif yang memiliki kemampuan berfikir, berimaginasi, dan berbahasa untuk menghasilkan karya, sama ada puisi, novel, cerpen, ataupun drama. Manusia dan masyarakatnya ialah bahan mentah yang sangat penting kepada pengarang. Keperihalan manusia dan masyarakat menjadi ilham kepada pengarang untuk berkarya. Maka, karya dilihat sebagai cermin masyarakat yang melalui proses pemilihan, pentafsiran, dan penilaian pengarangnya. Lantaran itu, karya sastera sangat menarik untuk dibaca bukan sangat hanya itu cermin kehidupan, tetapi juga sebagai pandangan alternatif kepada apa-apa yang kita lihat dan fikirkan tentang manusia dan masyarakatnya.
          Sastera membawa dunia baharu kepada pembaca dan dunia ini memperkaya pembaca dalam konteks emosi dan intelek. Sastera berupaya memberikan pendidikan kepada emosi dan intelek pembaca. Pendidikan yang mampu dibawa oleh sastera ialah satu pengertian lama tentang erti sastera, tetapi masih relevan erti sastera kepada kehidupan manusia. Masyarakat yang maju ialah masyarakat yang mampu berfikir tentang kehidupan dan sastera bererti kerana memiliki kemampuan ini.
          Lantaran itu jugalah HPPS diadakan untuk memanfaatkan untuk memupuk dan menghargai kegiatan penulisan sastera kreatif supaya kegiatan sastera terus berkembang dan bermutu.
          Namun setelah 19 tahun penganjurannya ada, ada baiknya darjat HPPS diangkat ke tahap yang lebih tinggi,  agar dapat mengisi kepompong dalam penganjuran Anugerah Sastera kebangsaan Negeri Sarawak. Umumnya, bukan menjadi isu lagi kalangan karyawan Sarawak, siapa yang lebih layak untuk menerima kategori anugerah yang disediakan dalam majlis penyampaian Anugerah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak (ASKNS).
          Persoalan berhubung tiada penerima yang layak dan pelbagai hujah yang berkaitan sudah menjadi tabo setiap kali menjelangnya ASKNS. Penulis yakin karyawan Sarawak pastinya bersetuju dengan kenyataan bahawa penganjuran dan kewujudan skim seperti HPPS adalah untuk memastikan ASKNS sentiasa ada penerimanya.
          Dan bila keadaan ini berlaku sekali gus menunjukkan bahawa berlakunya “pengembangan” dalam usaha memartabatkan kesusasteraan di peringkat negeri. Kalangan pemerhati perkembangan kesusasteraan di negeri ini sering beranggapan bila tiada yang layak untuk menerima ASKNS, bermakna tiada perkembangan dari segi kualiti dan tahap karya sastera. Justeru dikatakan tiada yang layak menerima hadiah yang berprestij yang ditetapkan dalam enam kategori ASKNS.
          Jika dilihat kalangan penerima HPPS dan ASKNS, penerimanya boleh dikatakan hampir  (walau tidak 100 peratus sama) adalah wajah yang sama. Justeru jika Teori          Perkembangan Kognitif boleh digunakan dalam menilai situasi ini, bermakna tahap perkembangan karyawan di Sarawak belum berkembang, atau belum mencapai tahap kebangsaan. Adakah kita boleh menerima hakikat ini?
          Bagaimanakah kita melihat sesuatu karya sastera? Bagaimana kita menilai sesuatu karya itu sebagai karya sastera, ataupun semuanya yang dikatakan hasil penulisan itu adalah karya sastera–perkataan sastera itu sendiri datang dari citra yang bermaksud hasil penulisan maka bolehkah kita merumuskan semuanya hasil penulisan itu adalah karya sastera?
          Boleh saja untuk bersetuju atau tidak bersetuju. Akan tetapi kita tahu manusia berkeupayaan memberi makna. Menuangkan makna kepada satu perkataan. Agar maksud dari perkataan itu menjadi besar dan membina erti. Kita ambil saja perkataan ‘sastera’ itu sebagai contoh. Boleh saja maknanya hanya secara literal; apa-apa saja hasil penulisan, ataupun sastera yang sudah ‘diberatkan’ dengan makna yang pelbagai; sastera itu harus ada estetika, bermoral, ada unsur perlawanan ataupun sebaliknya.
          Secara keseluruhannya, kepelbagaian isu dan kemeriahan dalam edisi pertandingan atau sayembara dalam jurus sastera menjadi aset berguna untuk faedah sastera itu sendiri. Tidak mustahil kemeriahan ini akan mengundang masyarakat untuk mendekati sastera.
Justeru, penganjuran HPPS pada hakikatnya telah mencapai kehendak karyawan Sarawak dalam berkarya. Cumanya, perlu ada kesinambungan secara kolektif dalam berkarya. Setiap anugerah yang diadakan, bermaksud untuk mencari penerimanya. Jika HPPS ada penerimanya, sudah pastinya akan member kesan kepada penerimaan ASKNS pula. Kepada semua penerima HPPS baru ini, tahniah diucapkan dan semoga kejayaan anda semua berkembang ke tahap seterusnya.

No comments: