Menurut pensyarah itu, didapati ternakan yang disembelih secara komersial adalah kerbau yang selalu dirujuk sebagai Indian Beef. Ini bermakna daging import dari India yang dinikmati oleh kebanyakan rakyat kita sejak sekian lama adalah kerbau dan bukannya lembu.
Berdasarkan kajiannya juga, ramai pengguna tidak mengetahui tentang perkara itu. Di India, kerbau digunakan untuk mengusahakan tanaman sawah iaitu membajak dan pelbagai kegunaan lain. Kerbau yang masih muda digunakan untuk bekerja dan yang melebihi lima tahun atau dianggap tua, dijadikan daging eksport.
''Cuba kita bayangkan, yang kita makan sudahlah daging kerbau, malah tua pula," katanya sambil menunjukkan lampiran kajian daging kerbau tua amat kurang khasiatnya, apatah lagi jika dibandingkan dengan daging lembu import dan tempatan yang lebih berkhasiat.
Penulis meneruskan lagi pembacaan dan menurut pensyarah tersebut bahawa banyak negara termasuk Indonesia telah lama melarang import daging kerbau. Negara itu cuma mengimport daging berkualiti dari Australia.
Yang mengejutkan ialah jawapan persoalan mengapa Malaysia mengimport daging kerbau dari India. Jawapannya - harga lebih murah.
Nampaknya faktor harga murah dijadikan kewajaran bagi lambakan daging kerbau di negara ini. Pertanyaan Awang lagi, mengapa hal ini tidak diberi penekanan kepada kerajaan, jawapannya - tidak mungkin berkesan. Pensyarah itu mendakwa bisnes daging import terutama kerbau, sudah dikuasai kartel bukan Melayu. Itulah realitinya, makanan halal untuk Islam dikuasai bukan Islam.
Penulis sekadar lontarkan isu ini untuk renungan semua demi kepentingan bersama. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu menjelaskan kedudukan sebenar. Jika apa yang disampaikan ini salah dan tidak tepat, harap perbetulkan. Tetapi yang lebih penting ialah persoalan berkaitan keselamatan makanan (food security) yang merupakan antara tonggak utama dalam pertahanan menyeluruh sesebuah negara. Penternakan lembu dan kambing tempatan perlu diperhebatkan sebagaimana yang dibuktikan menerusi kejayaan Thailand.
Industri penternakan termasuk yang diusahakan oleh penduduk kampung boleh mendapat manfaat. Potensinya amat besar tetapi usaha yang ditampilkan nampak terhad. Kita tidak bersungguh-sungguh kerana lebih ghairah mengimport ternakan luar sehinggakan daging kerbaupun digambarkan sebagai lembu. Sebenarnya banyak lagi persoalan yang melingkari isu-isu penternakan. Agaknya apa lagi yang kita tidak tahu dan tidak diberitahu...
No comments:
Post a Comment