Thursday, April 30, 2009

Pidato Piala Ratu?

Hari ini dan semalam saya telah diminta untuk menjadi hakim Pertandingan Pidato Piala Diraja. Sekolah-Sekolah Menangah. Secara jujurnya saya memang suka melihat dan terlibat dalam aktiviti yang saya rangkumkan sebagai perucapan awam ini. Sama ada bahas, debat, pidato mahupun forum, sememangnya saya senang untuk turut serta dalam kelompok ini kerana pada saya ini adalah majlis ilmu, perbincangan dan bertukar pandangan.


Pada zaman persekolahan dahulu, sama ada di menengah rendah mahupun menengah atas, sudah menjadi kelaziman bahawa seorang Ketua Pengawas akan memberikan ucapan kepada sekalian para pelajar. Hal inilah yang mendidik saya sehingga sekarang untuk berani berucap di khalayak ramai. Dengan adanya ijazah sarjana muda komunikasi, dan pengalaman sebagai wartawan, gabungan kedua ilmu dan pengalaman ini banyak membentuk jati diri dan pemikiran sehinggalah ke hari ini. Alhamdulillah.


Namun kali ini dalam kapasiti yang lain, saya telah diminta untuk menjadi hakim pertandingan. Bukan mudah untuk menjadi hakim yang akan memilih hanya seorang untuk mewakili peringkat negeri. Bila menjadi hakim dan mengadili sebanyak 32 orang peserta, maka pelbagailah gelagat yang dilihat. Pidato kali ini yang dibahagikan kepada dua bahagian, segmen pidato berpandukan tajuk yang sudah disediakan, dan satu lagi segmen pidato spontan dimana peserta dikehendaki berpidato berdasarkan tajuk yang mereka pilih sebelum naik ke pentas.


Saya amat tertarik dengan pidato spontan kerana pada saya disitulah terserlah bakat sebenar seorang pemidato. Disitulah terserlahnya sejauah mana seorang pemidato itu banyak membaca dan menghuraikan hasil pembacaan selama ini.


Wacana tentang kecerdasan telah mengalami perkembangan yang luar biasa, dan titik perubahan yang menarik. Selama ini kita hanya mendengar kecerdasan intelektual atau Intelligence Quotient (IQ) sebagai penentu kecerdasan seseorang. Persepsi masyarakat bahawa seseorang yang mempunyai IQ yang tinggi memiliki masa depan yang cerah, serta berpotensi untuk berjaya dalam hidup. Ujian IQ dianggap sebagai kayu ukur yang mutlak dan diyakini.


Namun sekitar tahun 1990-an, Daniel Goleman, ahli psikologi dan bekas wartawan sains bagi akhbar New York Times membuat penemuan tentang kecerdasan emosi atau Emotional Quotient (EQ). EQ merupakan kemahiran dan kebolehan untuk mengawasi diri sendiri, juga orang lain dari segi emosi, dan dapat membezakan perasaan dengan emosi serta boleh menggunakan kemahiran ini untuk merangsang pemikiran dan tindakan.


Dalam alaf baharu ini pula wujud sesuatu yang dinamakan sebagai kecerdasan spiritual atau Spritual Quotient (SQ). SQ ditampilkan sebagai insan kreatif yang dapat mengubah peraturan dan juga mengubah keadaan. Manusia menyelami SQ supaya kreatif, fleksibel dan berwawasan kerana ini berkait langsung dengan masalah sebenar yang sering menyertai psikologi kehidupan manusia.


Untuk melahirkan modal remaja insan kelas pertama, ketiga-tiga elemen IQ, EQ dan SQ perlu dimiliki dengan seimbang. Apa-apa kejayaan yang ingin dicapai haruslah bersumberkan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Setiap remaja perlu menambahkan ilmu pengetahuan melalui pelbagai wacana untuk menjanakan idea dan membentuk pendapat sendiri. Rajin berbincang dan bertukar-tukar pandangan boleh melatih remaja untuk bersedia mengutarakan idea, berkongsi pengalaman secara berhadapan dan interaktif.


Selesai sahaja keputusan diumumkan, saya berfikir sejenak, kenapa rata-rata pemenang kali ini semuanya kaum Hawa? Adakah kebolehan pidato ini dalam kalangan kaum Adam mulai merudum? Bila bertanya pendapat dengan "hakim-hakim" yang lain, mereka menjelaskan bahawa itulah realiti sekarang dan kami sebagai hakim haruslah menerima realiti tersebut.

Ingin saya kongsikan bersama di sini, bila dilihat dari segi pemarkahan, sememangnya pemodato kaum Adam "kurang" berbanding kaum Hawa. Kepada pemidato yang telah disitiharkan sebagai Juara Pemidato, tahniah saya ucapkan. Insya-Allah, kita akan bertemu semula...

No comments: