Thursday, September 4, 2008

Belansungkawa A.Samad Ismail

A. Samad Ismail 1924-2008

Al Fatihah.

Pak Samad telah kembali ke rahmatullah pada jam 5.58 petang tadi di Hospital Pantai Kuala Lumpur. Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumahnya di No 2 Jalan 16/7C, Petaling Jaya dan akan dikebumikan pada hari esok, selepas solat Jumaat.

A. Samad Ismail dilahirkan di Singapura pada 18 April 1924. Beliau lulus Senior Cambridge pada tahun 1940. Mula berkhidmat dengan Utusan Melayu pada tahun 1941 ketika berusia 16 tahun sebagai pelatih tanpa gaji. Kemudian beliau diberikan gaji RM10.00 sebulan dan akhirnya dinaikkan RM30.00 sebulan. Beliau bekerja di bawah kepimpinan Bapa Wartawan Melayu, Abdul Rahim Kajai. Pada masa pendudukan Jepun, Samad terus berkhidmat di bawah Abdul Rahim Kajai dan Ishak Haji Mohamad sebagai Penolong Pengarang Utusan Melayu. Apabila Utusan Melayu ditukar menjadi Berita Malai dalam huruf roman, Samad kekal dengan jawatannya sebagai Penolong Pengarang. Sekitar tahun 1944/45 beliau dilantik sebagai Pengarang Berita Malai apabila Ishak Haji Mohamad berhenti menjadi Pengarang akhbar tersebut.

Apabila Jepun menyerah diri pada tahun 1945 dan British kembali memerintah, Samad ditahan di dalam penjara atas tuduhan menghasut rakyat semasa pendudukan Jepun. Beliau kemudiannya dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan "hasutan" tetapi dibebaskan oleh mahkamah. Setelah dibebaskan daripada penjara pada tahun 1946, beliau kembali berkhidmat di Utusan Melayu pada tahun 1946 sebagai Penolong Pengarang di bawah Yusof Ishak, bekas Presiden Republik Singapura. Pada tahun 1951, Samad ditangkap oleh British di bawah Undang-undang Darurat tetapi dibebaskan pada tahun 1953. Beliau kemudiannya berkhidmat semula dengan Utusan Melayu sehingga tahun 1958. Pada tahun 1958 beliau berkhidmat dengan Straits Times Singapura dengan memegang jawatan sebagai Pengarang Berita Harian. Kemudiannya pada tahun 1972, Samad dilantik sebagai Timbalan Ketua Kumpulan Pengarang di New Straits Times. Pada tahun 1976 beliau ditangkap di bawah Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri dan hanya dibebaskan pada tahun 1981. Pada tahun 1982, beliau dipanggil semula oleh New Straits Times untuk menjadi Penasihat Sidang Pengarang sehingga persaraannya pada tahun 1987.

POLITIK

Dalam bidang politik, Samad menjadi pengikut Ibrahim Haji Yaakob dan Ishak Haji Mohamad dalam Kesatuan Melayu Muda dan pertubuhan KERIS semasa pendudukan Jepun. Menjelang Jepun menyerah diri pada tahun 1945, Samad menjadi utusan/wakil KERIS ke Kongres Melayu Kuala Lumpur yang dikatakan diadakan oleh Ibrahim Yaakob untuk memproklamir kemerdekaan untuk Malaya. Samad bersama Aziz Ishak, bekas Menteri Pertanian dalam Kerajaan Perikatan Tunku Abdul Rahman, telah menubuhkan Gerakan Angkatan Muda (GERAM), yang menjadi anggota Pusat Tenaga Rakyat, iaitu satu gabungan parti-parti radikal Melayu yang menentang gagasan Malayan Union.

Samad bersama Ishak Haji Mohamad dan Ahmad Boestamam menjadi wakil PUTERA menggubal Perlembagaan Rakyat (Peoples' Constitution), sebagai alternatif kepada Federation Agreement yang digubal oleh British dan UMNO.

Pada tahun 1954, Samad bersama Lee Kuan Yew, menaja Peoples' Action Party di Singapura. Pada tahun 1958, beliau berhenti daripada parti tersebut untuk menjadi anggota UMNO Singapura sebagai Pengerusi Tetap.

SASTERA

Samad mula menulis cerpen semasa pendudukan Jepun. Antara novel-novel yang dihasilkannya dalam tahun enam puluhan ialah: Patah Sayap Terbang Jua, Hussein Zed, Kail Panjang Sejengkal, Orang Jauh, Tembok Tidak Tinggi, Detik-detik Cemas, Menimba Yang Jernih. Di antara antoloji cerpen Samad ialah Mastura, dan Temasya Tinta. Samad juga menulis buku tentang kewartawanan dan penulisan, iaitu Kursus Wartawan , dan Mengasah Bakat.


PENGANUGERAHAN
1968 - Anugerah bintang "Johan Mangku Negara" (JMN) daripada Yang di-Pertuan Agong.
1976 - Anugerah "Pejuang Bahasa" daripada Kerajaan Persekutuan.
1987 - Anugerah "Doktor Persuratan" daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.
1988 -

Anugerah "Tokoh Wartawan Negara" daripada Malaysian Press Institute.


Sumber: http://www.penerbit.usm.my/pen2006/SSU/ASIbm.html

No comments: