Monday, May 19, 2008

Riwayat Politik Mahathir

TUN Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri yang keempat pada 1981 dan memimpin Malaysia sehingga Oktober 2003, menjadikan beliau adalah orang paling lama menjawat jawatan tersebut.

Pada Pilihan Raya Ketiga dalam tahun 1964, Dr. Mahathir, seorang doktor perubatan, dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Setar selepas menewaskan calon Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dengan majoriti sebanyak 60.2%.

Beliau menjadi ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno pada tahun 1965. Dalam Pilihan Raya 1969, beliau ditewaskan oleh calon Pas, Haji Yusoff Rawa, dengan perbezaan 989 undi, selepas mengumumkan bahawa beliau tidak memerlukan undi-undi orang Cina untuk mencapai kerusinya.

Berikutan peristiwa 13 Mei 1969, Dr. Mahathir dipecat daripada Umno pada tahun 1969 selepas pengedaran umum surat terbuka beliau kepada Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri pertama Malaysia).

Bagaimanapun beliau diterima kembali menjadi ahli Umno pada 7 Mac 1972.
Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Hussein Onn pada Jun 1981. Kemudian sebagai Presiden Umno sehingga beliau bersara.

Pada tahun 1987, Dr. Mahathir menghadapi cabaran sengit dalam pemilihan parti tetapi berjaya menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah yang berganding dengan Tun Musa Hitam (bertanding jawatan Timbalan Presiden). Susulan pemilihan itu, kes tersebut dibawa ke mahkamah dan Umno diharamkan pada tahun 1988. Umno Baru ditubuhkan susulan itu.

Tun Musa meletakkan jawatan sebagai Timbalan Dr. Mahathir pada tahun 1986. Kedudukannya digantikan oleh Tun Ghafar Baba yang ditewaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1993. Anwar dipecat pada tahun 1998. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1999.

Pada 31 Oktober, 2003, Dr. Mahathir mengumumkan untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan semua jawatannya dalam Umno serta menamakan timbalannya ketika itu, Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai pengganti.

Setahun selepas melepaskan jawatan, Dr. Mahathir mengecam kepimpinan Abdullah sehingga membawa kepada pertemuan bersemuka tertutup. Dr. Mahathir lantang bersuara, mengecam Abdullah sehingga 17 Mei lalu ketika pertemuan di Johor Bharu.

No comments: