Monday, April 21, 2008

Poligami?


Ini adalah jawapan yang diberikan kepada seorang hamba Allah yang pernah meminta nasihat sebelum ini. Mungkin wajar direnung dan sehingga ke tarikh ini sudah 3 tahun nasihat ini disimpan dan sekarang mereka bahagia. Mudahan rahmat Allah sentiasa bersama mereka, Amin.
.........................................................................................................................................................................

Sememangnya sebahagian besar isteri tidak rela berkongsi suami, namun pada masa sama isteri juga tiada banyak ruang untuk mengelak perkara itu terjadi, jika suami serius untuk ‘menambah cawangan’.

Nampaknya, mungkin sudah tertulis dalam suratan takdir yang puan termasuk dalam golongan isteri yang kini berdepan kemungkinan berkongsi suami dengan wanita lain.

Nasihat saya, puan perlu memandang jauh ke depan, bukan setakat kehidupan kita sekarang, tapi sehingga ke alam kehidupan kita yang hakiki di akhirat. Oleh itu, tidak dapat tidak, kita kena kembali kepada ajaran Islam.

Apabila Allah mengizinkan poligami, kita perlu yakin tentu ia sebenarnya memberi kebaikan kepada manusia, bukan kemudaratan sebagaimana gambaran yang wujud pada masa ini.

Masalah atau pandangan negatif terhadap poligami wujud bukan kerana sistem yang diizinkan Allah itu tidak baik, tapi ia disebabkan kelemahan pengamal poligami pada hari ini, tidak kira suami mahupun isteri yang terbabit.

Justeru, saya tidak mahu puan membuat keputusan menolak terus sistem poligami hanya berdasarkan tanggapan, sedangkan puan tidak cukup faham apa sebenarnya poligami.

Sehubungan itu, saya cadangkan puan bersikap adil dengan cuba ‘menggali’ maklumat mengenai poligami. Cari buku atau kitab agama atau tanya pakar untuk tujuan itu.

Saya percaya selepas berbuat demikian, puan akan mendapati kehidupan poligami bukan semuanya buruk, tetapi ada banyak juga kebaikannya. Jikapun kebaikan atau manfaat itu mungkin tidak puan peroleh dalam kehidupan sekarang, ia pasti dapat puan nikmati dalam kehidupan di akhirat.

Mudah-mudahan dengan memahami hakikat itu, puan lebih rasional membuat keputusan mengenai masalah yang puan hadapi sekarang.

Seperkara lagi, saya melihat ada kejujuran dalam diri suami puan apabila dia berterus terang dan memperkenalkan calon isteri keduanya kepada puan. Calon isteri kedua suami puan juga nampaknya ada sikap terpuji kerana berani berterus terang mengenai kesediaannya menjadi madu puan.

Bagi saya, ini semua satu petunjuk positif untuk memungkinkan puan, suami dan bakal madu puan membina kehidupan berpoligami yang aman damai.

Namun, jika hati puan masih tidak dapat menerima kehidupan berpoligami, saya berharap puan tidak menjadi seperti segelintir isteri yang sanggup pejam mata biarpun suami berzina dengan wanita lain hanya kerana tidak mahu dimadukan.

Seperkara lagi, adakah keengganan puan berpoligami bermaksud puan sanggup meminta cerai daripada suami? Jawapannya terletak pada puan, cuma satu persoalan penting yang perlu puan jawab ialah adakah puan pasti, dengan bercerai hidup puan lebih bahagia berbanding sekarang?

2 comments:

Anonymous said...

Ungkapan kata bisa meredakan perasaan...Bingkisan madah penuh kelembutan dapat menenangkan hati...Hanya alunan ayat-ayat suci mampu menguatkan jiwa dan menjadi pegangan dalam mencari sinar cahaya di akhir zaman ini...

Anonymous said...

Menarik dan seimbang pandangan saudara.

Ingin saya memberi sedikit pendapat saya di sini.

Dalam hal seperti ini, selain menggunakan akal saya juga akan mendengar suara hati.

Poligami ada tempatnya. Ianya bergantung pada niat. Misalnya, pada zaman dahulu kala, sekiranya seorang lelaki benar-benar atas rasa belas kasihan terhadap seorang wanita yang hilang suami, salah satu cara kebajikan wanita itu terjaga adalah sekiranya lelaki itu mengkahwini wanita itu. Pada waktu itu, wanita yang janda dianggap tidak sesuai, dan juga sewaktu itu, 'there is no real rule of law' -- mana-mana lelaki boleh melakukan sesuatu kepada seorang wanita seperti wanita itu sesuatu objek, dan tiada saluran yang khas untuk wanita itu mencari keadilan. Oleh kerana ini, adalah diterima seorang lelaki yang mampu menjaga wanita ini dan mungkin anak-anaknya untuk menerima wanita ini dibawah sayap rumahtangga, agar tidak diganggu atau dikaitkan dengan stigma buruk.

Namun harus diingat, bahawa seorang isteri sukar menerima seorang wanita lain sebagai isteri kedua. Ini tabii, semulajadi. Kali ini cuba ikut suara hati. Kesian isteri pertama yang menyayangi dan disayangi. Untuk setiap insan biar ada seorang sahaja insan yang lain baginya.

Pada zaman sekarang, ramai lelaki ingin mengambil seorang isteri kedua (atau ketiga dan sebagainya) untuk niat yang lain. Niatnya tidak semestinya atas rasa belas kasihan atau keadilan semata-mata. Saudara sebagai seorang lelaki sudah tentu faham syahwat nafsu yang menakluk hati lelaki.

Pada pendapat saya, ini antara niat utama lelaki zaman sekarang untuk berkahwin dua. Niat tersirat adalah untuk memuaskan nafsu. Kerana ingin melakukannya secara halal atau sah, alasan tersurat, iaitu ingin menjaga kebajikan seorang wanita janda dan sebagainya digunakan untuk kahwin.

Ini tidak adil pada isteri pertama. Kesian isteri pertama dan anak-anaknya. Cuba kita lihat dari persepsi isteri ini.

Lelaki harus lebih beriman, bertaqwa, dan mengawal diri dan lebih memahami dasar dan tabii hidup ini. Usah kita menyakiti atau menyusahkan kaum wanita yang lemah dan berhati lembut. Saya mengajak kaum lelaki ini memupuk kesetiaan dan menyemai rasa kasih sayang yang sebenar di hati. Sekiranya ada masalah tertentu antara suami dan isteri, ianya boleh dibincang sesama diri atau dengan kaunselor, misalnya.

Begitulah secebis pandangan saya. Terima kasih untuk ruang perbincangan ini, saudara.

Sekian.