Bayi 'dedah' komplot ibu klon
HULU LANGAT - Kisah kelahiran bayi, Mohd. Daniel Haikal tanpa disangka telah membongkar penipuan seorang wanita warga Indonesia yang selama ini hidup menggunakan kad pengenalan ibunya, Norsheda Bajuri, 35, sejak 14 tahun lalu.
Ia bermula apabila Haikal yang dilahirkan 3 April lalu tidak boleh didaftarkan namanya setelah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kajang menemui rekod 'ibu' bayi itu baru sahaja melahirkan anak pada Disember 2007.
JPN sendiri tidak tahu puncanya memberitahu akan menyiasat masalah itu yang bakal mengambil masa sehingga enam bulan.
Hendak jadi cerita, kata Norsheda, tiga hari selepas Haikal dilahirkan, beliau telah menerima penyata Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dengan rekod caruman bulanan sedangkan beliau sendiri sudah lama tidak bekerja.
Bingung dengan apa yang berlaku, seorang saudaranya telah menghubungi KWSP dan akhirnya mereka berjaya mengesan seorang lagi 'Norsheda' yang didakwa mempunyai kad pengenalan sama dengannya.
Satu pertemuan diatur bagi menemukan kedua-dua wanita itu yang akhirnya warga Indonesia itu mengaku telah mencuri kad pengenalan mangsa.
"Saya tergamam kerana wanita itu kami kenal malah suaminya sendiri mengakui telah tertipu.
"Dia telah mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan tersebut, semua menggunakan identiti saya sejak 14 tahun lalu," kata Norsheda yang turut ditemani suaminya, Mohd. Raji Haris, 40, pada pertemuan tersebut.
Siasatan mendapati kad pengenalan itu terpapar gambar wanita itu tetapi beralamat di Terengganu.
"Saya yakin ada sindiket telah menukar gambarnya pada kad pengenalan saya," tambahnya.
Norsheda kemudian membuat laporan di Balai Polis Kajang sambil menyerahkan kad pengenalan yang selama ini dipegang oleh wanita itu.
Menurut Norsheda, wanita itu pernah menumpang di rumahnya kerana tiada tempat tinggal kira-kira 14 tahun lalu dan kemudian menghilangkan diri bersama kad pengenalan dan sepasang baju kurung miliknya.
|
|
"Macam mana dengan hak saya sebagai rakyat Malaysia, sekarang anak saya tidak boleh didaftarkan kenapa perlu saya berdiam diri dan melupakan apa yang berlaku," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Mohd. Shakarudin Che Mood mengesahkan menerima laporan Norsheda mengenai kes itu dan siasatan sedang dijalankan.
.....................................................................................................Penipuan sering terjadi dan bagi mereka yang pendek akal pasti akan sentiasa menjadi mangsa. Dalam kes di atas, asalkan dapat hidup di Malaysia, apa sahaja yang dapat dilakukan janji dapat hidup di Malaysia. Wajar cerita di atas mendapat renungan warga Malaysia.
No comments:
Post a Comment