Artikel 19 yang termuat
dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 menyebut bahawa kebebasan
bersuara atau ekspresi sangat penting kerana ia memperkasakan individu dan
komuniti yang bebas dan demokratik. Malah kebebasan bersuara adalah asas
untuk melindungi serta mempertahankan belahan atau aspek hak asasi manusia yang
lain.
Oleh kerana kebebasan
bersuara ini boleh dikekang, maka aspek-aspek hak asasi manusia yang lain
seperti kebebasan beragama atau berkepercayaan juga tidak dapat dinyatakan
dengan lancar. Ia juga dibimbangi membawa kepada cengkaman lebih keras
dan permulaan kepada segala kuku besi.
Pada tahun 2012,
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah melancarkan UN Plan of Action on the Safety of
Journalists and the Issue of Impunity yang menekankan supaya negara dan masyarakat sivil bertindak
melindungi jurnalis dari sebarang kekerasan termasuklah pembunuhan, penculikan
dan gangguan suasana bekerja mereka.
Adalah penting untuk
diingatkan bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga telah menerima pakai
Deklarasi Windhoek 1991 dan dijadikan kempen utama oleh UNESCO selama dua puluh
tahun kini. Deklarasi tersebut menekankan supaya kerajaan memberikan ruang
penuh untuk kebebasan media, bahkan menyediakan persekitaran yang pluralistik
untuk media.
Ini bermaksud Deklarasi
tersebut menuntut supaya disediakan satu persekitaran media yang bebas dari cengkaman
kerajaan, serta kawalan politik mahupun ekonomi. Lanskap pluralistik
yang dimaksudkan dalam Deklarasi ini pula meminta kerajaan menyediakan platform
seberapa banyak mungkin untuk komuniti media tanpa mengehad, atau menyekat
mereka.
Deklarasi Windhoek
tersebut hari ini turut merangkumi media cetak, penyiaran, bahkan media
digital. Malahan ia turut melindungi kebebasan bersuara melalui telefon tangan,
Internet, satelit atau dalam erti kata lain, apa sahaja jenis komunikasi.
Deklarasi ini sejajar
dengan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948; serta resolusi UN
Commission on Human Rights 2005/81; dan resolusi Majlis Keselamatan 1738 pada
tahun 2006.
Masyarakat yang sihat
dan matang adalah masyarakat yang beroleh semua sumber maklumat. Deklarasi
ini menunjukkan isu kebebasan media menjadi satu bahagian paling sensitif dan
fundamental yang melibatkan badan-badan kerajaan, sektor swasta, masyarakat
sivil, pengamal media dan setiap pengguna media.
No comments:
Post a Comment