Bukan hendak menentang, malah juak sekali untuk derhaka. Namun, bandar Sibu yang baru sahaja jatuh ke tangan pembangkang, boleh dikatakan sudah menunjukkan taringnya...Buktinya, luahan seperti yang disiarkan dalam akhbar Utusan Borneo ini, yang sumber beritanya dipetik oleh BERNAMA.
Yang peliknya belum kedengaran lagi suara YB kawasan Sibu berhubung perkara ini. Mudah-mudahan hal ini diberi perhatian sebelum lebih banyak pihak tidak berpuas hati, dan seterusnya makan hati...
Pemimpin masyarakat Bumiputera tersinggung dengan rancangan Gabungan Persatuan Cina (UCA) Bahagian Sibu untuk mencari nama baru dalam bahasa Cina bagi bandar itu.
Laporan muka depan akhbar Utusan Borneo memetik pemimpin mereka Temenggong Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohammad sebagai berkata masyarakat Bumiputera tidak puas dengan tindakan sesetengah pihak yang menimbulkan pelbagai isu sensitif kebelakangan ini.
“Hormatilah sikit kami dan jangan lukakan perasaan kami.
“Kami sudah berada di sini sejak lama dulu. Kami tak mahu Sibu menjadi kampung halaman nombor dua kami,” katanya.
Beliau membuat kenyataan itu semalam bersama Pemamca Sharifah Mariam dan Temenggong Sir Adrian Ringgau serta Pemanca Wilfred Kiroh dari masyarakat Iban, Penghulu Shari Ubu dari masyarakat Melanau dan beberapa pemimpin lain.
Baru-baru ini, presiden UCA Datuk Lau Nai Hoh mencadangkan agar Sibu diberi nama baru kerana dalam bahasa Cina, perkataan “Sibu” disebut sebagai “Shi Wu”, sedangkan “Wu” dalam bahasa itu bermaksud “ahli sihir wanita”.
Wan Hamid berkata sepatutnya masyarakat Bumiputera diajak berunding terlebih dahulu tentang rancangan untuk membuat sebarang perubahan, terutama yang melibatkan hak bersama.
“Malangnya, kami tak pernah diajak berunding. Kami bukan menentang kerajaan atau mana-mana dasarnya.
“Tapi, apabila timbul isu sensitif mengenai gereja, kuil, masjid atau tanah perkuburan, kami harap kami diajak berunding untuk mendapatkan pandangan kami,” katanya.
Wan Hamid juga melahirkan rasa terkilan beliau kerana banyak jalan di sini ditukar nama, tanpa mendapat pandangan masyarakat Bumiputera terlebih dahulu.
Beliau berkata masyarakat di sini telah melahirkan banyak pejuang kemerdekaan dan anti penjajah seperti Rentap, Saweng, Tun Jugah, Temenggong Koh, Kendawang, Rosli Dhoby, Awang Ramli Amit, Bujang Suntong dan Morshidi Sidek, yang sanggup mengorbankan jiwa dan raga demi memelihara kedaulatan tanah air.
“Mungkin sudah sampai masanya seorang Bumiputera kembali menerajui Majlis Perbandaran Sibu agar hak masyarakat dapat dijaga dengan lebih baik,” katanya. — Bernama
No comments:
Post a Comment