Penulis sendiri tidak terkecuali daripada mainan fitnah manusia, walhal siapalah penulis, bukan "orang besar" mahupun "somebody" yang berkuasa. Penulis percaya kepada qada dan qadar dalam menjalani hidup seharian, bersama-sama ilmu dan pengalaman hidup yang lalu. Cuma kekadang pelik bila mendengar cerita berkaitan fitnah ini kerana manusia lebih cepat mempercayainya berbanding menyiasat kebenarannya terlebih dahulu. Itulah persoalan penulis, kenapa manusia cepat mempercayai fitnah berbanding untuk menyiasat atau mengetahui akan hal sebenar terlebih dahulu.
Tidak kurang juga yang akan berkata, jika tiada angin, pasti daun tidak akan berterbangan. Dalam zaman teknologi maklumat yang pesat membangun sekarang mungkin perpatah tersebut sudah tidak releven lagi. Sebabnya, jika tiada angin sekalipun, zaman hari ini kita sudah memiliki kipas angin atau 'aircon'. Sudah pastinya daun akan berterbangan jika kipas dihidupkan!
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.
Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak, dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.
Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar. Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.
Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah. Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Justeru penulis berpendapat, selagi ada mulut dan boleh bercakap, fitnah tetap akan berlaku walau apa-apa jua sekalipun usaha kita untuk menggelakkannya. Manusia pastinya suka jika melihat orang yang difitnah menanggung kesusahan dan kepayahan. Dalam satu kes yang penulis baca dalam majalah 'Perempuan' sebelum ini, perkahwinan berusia 20 tahun akhirnya berakhir dengan penceraian lantaran fitnah yang tidak benar disebarkan oleh kawan kepada isteri sendiri yang mendakwa suaminya curang.
Paling sedih dalam kes mangsa fitnah tersebut, kawannya mereka fitnah sehingga suami isteri terbabit menjatuhkan talak tiga ke atas isterinya. Sudah jatuh ditimpa tangga, isteri tersebut ditalakkan, dan hak penjagaan anak diberikan kepada suaminya. Dan klimaks kisah tersebut apabila kawan itu sendiri yang mengawini bekas suami kawannya. Itulah kisah fitnah.
Penulis beranggapan dalam suasana manusia sekarang yang kerap dikatakan menghidapi penyakit "PHD", maka untuk menangani fitnah pastinya sukar. Menggelak perkara yang menjerumus kepada fitnah pun akan mewujudkan juga cerita fitnah ini. Cara erbaik untuk individu mengatasinya ialah dengan menerima qada dan qadar dalam hidup, menerima hakikat setiap yang hidup ada baik dan buruknya (Tuhan Maha Adil), dan terus bertanya kepada orang yang difitnah itu sebagai jalan terakhir untuk mengesahkan maklumat fitnah yang disebarkan. Seterusnya bersabar dan bertawak kepadaNYA. Hanya kita sendiri yang mengetahui sama ada kita difitnah atau sebaliknya. Yakinlah bahawa setiap yang berlaku kepada kita ada hikmahnya, dan berpeganglah kepada prinsip tersebut. Dalam keadaan yang sama tidak banyak yang boleh kita usahakan melainkan berdoa dan mengadu kepadaNYA. Setebal kamus sekalipun hujah atau penjelasan kita lakukan untuk atasi fitnah, tidak akan dapat menyelesaikan keadaan, selagi manusia jahil menggunakan akal dan mengusai mulut.
Selagi mulut boleh bercakap, fitnah tidak akan berhenti.
1 comment:
Bunyi ustaz jak hehehehe
Post a Comment