Beberapa jam tadi penulis dijemput untuk hadir ke majlis pelancaran buku oleh salah seorang penulis yang dikenali di Sarawak, Abdillah S.M. Orangnya agak berusia, namun minatnya terhadap seni tidak pernah sepi. Abdillah S.M atau lebih dikenali sebagai abg dillah, memang dilahirkan sebagai anak seni. Beliau boleh menulis puisi, mendeklamasi puisi, melukis, mengubah lagu dan berdrama. Yang menariknya majlis perasmian pelancaran buku pada malam tersebut ialah buku kumpulan puisi pertama yang beliau sendiri usaha terbitkan.
Kumpulan puisi dengan tajuk “Antropologi II” memauatkan 97 buah puisi, dan diterbitkan oleh Mutiara Bimasakti Publishing. Dalam kalangan penulis di Sarawak, tidak banyak yang mampu berbuat demikian lantaran kos untuk mencetak buku adalah tinggi. Ada segelintir yang mungkin mempunyai “klik” yang bagus dengan orang atasan maka dapatlah menerbitkan buku sendiri dengan tajaan. Disebalik penerbitan buku oleh Abg Dillah, ada suatu yang lain penulis “tabik” kepada Abg Dillah.
Beliau tidak pernah putus asa dalam berkarya atau meneruskan usaha seninya walaupun pelbagai dugaan dan cerita yang kerap didengar berkaitannya. Sebagai orang yang lebih awal menyumbang kepada kemeriahan perkembangan sastera di Sarawak, penulis menghormatinya, walaupun ada ketikanya mungkin rakan-rakan penulis tidak spendapat dengannya.
Walau bagaimanapun, selama mengenali beliau, penulis tidak ada masalah berurusan dengan beliau, malah kekadang bila kami bertemu banyak isu berkaitan sastera kami bualkan. Di Sarawak, selain DBP, penulis di Sarawak hanya bergantung kepada “ehsan” penerbit lain yang ada di Semenanjung untuk menerbitkan karya mereka. Dalam pada itu juga, bukan suatu yang luar biasa bila mendengar cerita ada penulis dari Sarawak, menjadi mangsa putar-belit penerbit swasta dari Semenanjung berkaitan hakcipta dan royalti. Satu sebab mungkin hal ini berlaku ialah keyiadaan pengetahuan berkaitan hak cipta atau ilmu penerbitan tu sendiri dalam kalangan penulis di Sarawak, walau mungkin tidak semuanya.
Namun, demi menjaga aib dan nama, cerita sebenar tidak didedahkan kepada khalayak. Penulis mengetahui hal ini melalui “cerita di atas cerita”. Berbalik kepada cerita Abg Dillah tadi, penulis mengulangi “tabik” kepada usaha beliau menerbitkan buku menggunakan duit poket sendiri. Setiap tahun selama ini, banyak kalangan penulis di Sarawak khsusnya, menghantar manuskrip untuk menerbitan novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, atau antologi cerpen mahupun puisi kepada pihak DBP.
Daripada apa yang penulis diberitahu, DBP menjadi tumpuan penulis di Sarawak kerana hanya penerbit DBP yang diketahui meletakkan nilai sastera itu lebih tinggi berbanding nilai wang ringgit. Tidak kepada penerbitan swasta, yang tidak lari daripada meletakkan keuntungan sasaran utama. Inilah realiti kehidupan hari ini, dan hal ini sukar untuk diatasi kecuali dengan kesedaran ilmu dalam masyarakat kita sendiri.
Khabarnya, selepas Abg Dillah, akan ramai lagi penulis akan menerbitan buku secara persendirian. Mungkin ini akan menjadi ikutan selepas ini, walaupun ada juga kedengaran suara nakal dalam kelangan penulis sendiri tidak “memperakukan” penerbitan seperti DBP. Persoalannya apa salah DBP? Dan sampai bila mereka harus bersikap begitu? Penulis sendiri mengetahui jawpannya.
Buku Abg Dillah dijual RM10.00 senaskah. Dengan tajuknya Antropologi II, kumpulan puisi bewarna hijau lumut itu turut memuatkan puisi beliau yang terawal yang disiarkan dalam majalah Dewan Sastera pada bulan Setember 1977, yang bertajuk ‘Identiti’.
Kepada yang berminat untuk memilikinya bolehlah emel kepada penulis (sekadar membantu rakan penulis) atau menghubungi penerbitan buku itu sendiri, oppss…, tidak ditulis atau ada nombor telefon pihak penerbit pada buku…Sila emel kepada saya jika berminat….Laman sesawang abg dillah berkaitan majlis di atas boleh dilihat di sini, http://dillsm.blogspot.com/
1 comment:
Tahniah, atas ulasan berimbang sudara.
Post a Comment