Bila bercakap soal politik sekarang, pasti banyak senario yang terbayang di benak pemikiran kita. Rekod luar biasa politik yang berlaku di Perak, masih menjadi perhatian banyak pihak. Walaupun, penganalisis mungkin sudah kehabisan idea untuk mengulas atau memberikan pandangan berhubung apa-apa yang telah berlaku, namun politik di Perek tetap akan menjadi tumpuan utama politikus. Hal ini kerana telah tercatat sejarah pada politik di negeri Perak.
Terkini isu dalaman politik PAS dan perkembangan berhubung pilihan raya di Penanti, menjadi bualan banyak pihak. Tidak kurang juga kononnya khabar angin mengatakan bahawa UMNO dan PAS sedang berbincang untuk menubuhkan kerajaan bersama. Tidak dapat tidak, sama ada rakyat suka atau tidak, cerita berkaitan politik pasti akan sentiasa menghiasi dada akhbar, skrin tv dan di corong radio. Bila sudah muak dan loya dengan cerita politik tanah air, maka tidak hairanlah ada sesetengah pihak yang tidak mahu ambil tahu perkembangan politik tanah air.
Yang mereka harapkan ialah, sama ada barisan kepimpinan yang diterajui wakil Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, tanggungjawab kepada rakyat mestilah diutamakan. Laksanakan dan tunaikan semuanya program yang membantu rakyat, tanpa memilih rakyat sama ada penyokong kerajaan ataupun pembangkang. Politik secara idealnya seharusnya membahagiakan semua orang, dan bukan melaga-lagakan.
Hal inilah yang diharapkan rakyat dan seterusnya rakyat mengharapkan di “rethinking kan” semula amalan politik. Agenda politik dalam Pelan Integriti Nasional (PIN) adalah bertujuan untuk mengekalkan keluhuran Perlembagaan dan sistem politik negara yang berasaskan demokrasi, yakni yang menggabungkan institusi Raja berperlembagaan dan pemerintahan berparti; mengekalkan kedaulatan dan meningkatkan keutuhan institusi Parlimen sebagai penggubal undang-undang yang luhur; mengamalkan politik yang berintegriti serta pengembangan budaya politik yang sihat, beretika, matang dan demokratik mengikut acuan sendiri; dan memantapkan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan good governance.
Dalam zaman teknologi maklumat semudah ABC berita diperoleh, cerita politik yang meloyakan hanya membuahkan kerisauan masyarakat berhubung apakah ahli politik ada memikirkan perancangan jangka panjang untuk kebaikan rakyat, atau hanya merancang kedudukan politik mereka sendiri menjadi lebih mantap dan selesa?
Memetik kata seorang ahli politik tanah air (namanya sengaja tidak disiarkan sebab bukan untuk publisiti pun…), ilmu, hikmah dan bakti perlulah dijadikan asas dan pedoman kepada semua ahli politik demi memastikan kebahagiaan dinikmati oleh semua…
No comments:
Post a Comment