Setelah novel Shit, karya Datuk Shahnon Ahmad, kita tidak lagi dihidangkan dengan kontroversi, khususnya berkaitan dalam bidang sastera. Benarlah kata bijak pandai, untuk mengangkat suatu bidang itu perlu ada kontroversi. Bila ada perdebatan maka publisitinya lebih luas. Malah, individu yang tidak berminat dalam bidang sastera sekali pun tetap akan cuba mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku. Disebabkan sifat ingin tahu jugalah maka novel Shit dikatakan diulang-ulang cetak banyak kalinya.
PADA tahun 1840 esei The Defence of Poetry karya penyair Britain, Percy Bysse Shelly diterbitkan. Hal ini berlaku hanya selepas 14 tahun kematiannya. Tidak ada apa-apa yang menarik tentang artikel tersebut. Namun, inti pati esei tersebut ialah menolak pandangan sempit Thomas Love Peacock, seorang lagi pengarang kreatif negara itu. Beliau antara lain menganggap puisi dan semua genre sastera tidak lagi relevan dengan perkembangan sains dan teknologi yang berkembang di Eropah selepas Revolusi Industri.
Shelly menegaskan, puisi dan semua karya kreatif manusia merupakan bukti kebijaksanaan imaginatif yang mengatasi keupayaan analitikal seseorang. Di beberapa negara Eropah terutama Jerman pada penghujung abad ke-18 pula, kaum Romantik mengutarakan bahawa seni dan sastera sebagai jalan keluar daripada krisis modenis. Ini lebih jauh mengatasi kepentingan falsafah dan sains.
Karya-karya sastera akan mengubah segala kekusutan akibat empirisisme tersebut menjadi keindahan dan membawa kepada cara berfikir fungsional. Seni dan sastera itu sendiri menurut Francis Bacon adalah pintu keluar perpecahan kreatif dan intelektual manusia moden, pendapat yang turut diakui oleh Frederich Hegel, Frederich Schlegel dan Joseph Schelling. Apa sebenarnya yang boleh kita simpulkan daripada pertembungan idealisme antara Shelly dan Peacock? Adakah ia hanya sekadar pertentangan pendapat atau pandangan semata-mata? Kesimpulan yang paling mudah dan ringkas ialah betapa pentingnya sastera sebagai medium untuk mengimbangi empirisisme dan pelbagai gejala negatif dalam masyarakat.
No comments:
Post a Comment