Friday, November 27, 2015

Aku Menulis Petang Jumaat 27 November 2015


Alhamdulillah, aku baru menulis semula dalam blog ini yang hampir setahun dibiarkan sendirian. Saat mulai menulis, banyak perkara yang ingin disampaikan. Terfikir dan terimaginasi kononnya untuk membuat kepada beberapa bahagian.

Bahagian PERTAMA, kononnya isu samasa utama di dalam negeri.
Bahagian KEDUA, kononnya isu semasa utama di dalam negara.
Bahagian KETIGA, kononnya isu semasa utama di dunia.

Wow! Banyak rupanya angan-angan petang ini untuk ku tulis. Namun, apa pulangan yang aku dapat setelah berjaya menulis kesemuanya dalam blog ini? Kepuasan? Mungkin, ya kepuasan. Kepuasan yang mungkin seperti di alami oleh Adolf Hitler yang berjaya merancang perjalanan sulitnya sehingga sampai ke benua Amerika Selatan, untuk menyelamat nyawa dan idealoginya.

Atau juga kepuasan seperti mana Gerorge Bush berjaya menipu dunia dengan menuduh pelbagai dakwaan kononnya arwah Saddam Hussien menyimpan, menyembunyikan senjata pemusnah yang merbahaya, dan boleh mendatangkan ketidakstabilan keamanan dunia.

Hebat! Seluruh dunia dan PBB berjaya ditipu oleh George Bush. Contoh kejayaan Bush dalam menipu ini tidak pernah dikatakan bersalah oleh dunia. Maka demikianlah perjalanan dunia. Yang berkuasa akan terus berkuasa. Tiada undang-undang manusia yang mampu menganggu gugat.

Pada sesi dunia yang lain pula, seorang yang berusia 59 tahun yang miskin, dan akhirnya setelah tidak ada usaha yang lain, terpaksa mencuri setin susu untuk keperluan cucunya yang hendak menyusu. Malang nasibnya ditangkap oleh pihak kedai dan didakwa, seterusnya dijatuhi hukuman penjara 2 bulan.

Oppsss...Aku terlupa akan anganku berhubung tiga bahagian di atas tadi. Ya, alunan muzik Gia Gutawa yang aku dengar sambil melihat ombak Laut Cina Selatan di Damai Beach Resort, pada petang ini amat mengasyikkan sekali. Sesekali agak lucu juga bila membayangkan ombak menghempas pantai, seolah kecewa - laksana seorang yang kecewa. Yang jelas memang ketetapan alam untuk ombak menghempas pantai sama ada anda suka atau sebaliknya.

Dalam konteks pantai di Damai ini, aku suka bila ombak menghenpas pantai dengan harapan batu-batu yang terdapat di gigi pantai akan terbenam, dan tidak menganggu urusan mandiku merasai nikmat laut air masin.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa batu-batu yang bertaburan di sekitar Kampung Santubung dan Damai Beach Resort ini, aku umpamakan organ dalaman Puteri Gunung Santubong dan Puteri Gunung Sejinjang, pada saat mereka dikatakan bergaduh. Maka yang menang berkuasa maka jadilah Gunung Santubong.

Adapun batu-batu yang terdapat di seluruh bahagian tersebut adalah terhasil akibat kecederaan pergaduhan dua dewa gunung tersebut. Itulah yang selalu diceritakan oleh orang tua-tua kepada kanak-kanak pada masa dahulu.

Hari ini, kanak-kanak akan menghabiskan masa dengan bermain gadjet yang entah apa-apa. Kemajuan? Penguasaaan teknologi maklumat? Itulah yang dikatakan. Entah apa-apa. Dengan pelbagai dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan, dan dengan pelbagai harapan dilaksanakan pegawai kerajaan, serta dengan pelbagai idea yang tidak diselaraskan maka timbul pelbagai keadah yang pelbagai yang akhirnya membuat masyarakat aka generasi di tanah air tercinta menjadi bahan eksperiman aka tikus putih bahan uji kaji.

Oh ya, aku terlupa. Sekejap tadi ada menerima tweet daripada Perdana Menteri yang mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar Tingkatan 5 yang membunuh diri kerana tidak dapat menjawab soalan SPM.

Aku pun berdukacita juga, sambil merenung jauh keindahan alam kenapa sampai begitu sekali? Tidak ada apa yang kurang dalam negara bernama Malaysia ini. Semuanya sudah ada dan disediakan. Jabatan Kebajikan Masyarakat ada, Kaunslor untuk memberikan khidmat kaunsling pun ada di sekolah-sekolah. Jika ditanya salah siapa hal begini berlaku, adakah pihak yang akan tambil mengaku? Atau, jawapan yang akan diberikan itulah adalah takdir - ketetapan Tuhan.

Biarkan Si Luncai Terjun dengan Labunya...ungkapan yang terkenal dalam cerita Si Luncai. Tv di bilik masih menayangkan drma cerita Korea. Sambil sesekali aku merenung minah-minah salleh yang gembira berada di gigi pantai, lantas timbul persoalan dalam diri aku - "Berapakah agaknya wang yang dilaburkan oleh minah-minah Salleh berkenaan untuk datang ke sini?"

Tengah hari tadi aku bertegur sapa dengan salah seorang mereka. Katanya mereka berasal dari UK, dan datang ke sini kebetulan selepas melancong di Indonesia. Mereka ke sini melalui Pontianak, dan terbang ke Kuching.

Ini antara jawapan kepada beberapa persoalan yang aku dapat daripada Lisa (yang mengaku berusia 22) tahun. Aku terjemahkan kepada bahasa Melayu sebab tujuan aku menulis bukan untuk dibaca oleh orang putih pun hahahaha....

"Kami suka Borneo sebab alamnya yang masih hijau, dan kos murah."

"Wang yang aku gunakan untuk melancong diberikan oleh ayahku, dan sebahagian wang tersebut aku gunakan untuk menyumbang kepada pertubuhan amal yang aku jumpa disetiap tempat aku pergi melancong."

"Ayahku seorang arkitek, ibuku seorang guru."

"Jemput datang ke rumah kami, dan aku akan pastikan berikan layanan terbaik kepada awak," Ujar beliau kepada aku. Wow! Bilalah aku mampu untuk ke UK.

Untuk makluman semua, kos tambang kapal terbang ke UK jika menggunakan penerbangan MAS, ialah sekitar tiga rubu lebih. Yang menariknya, jika menaiki penerbangan MAS maka dapatlah merasai keindahan dan kehebatan pesawat Airbus A380. Jika mahu penerbangan yang agak murah, maka gunalah Oman Air atau Turkish Airlines. Maka dapatlah murah sedikit yang tetap mahal kepada yang yang mengumpul duit.

Minah-minah Salleh tersebut ternyata gembira berada di bumi kita sebab sebagai pelancong itulah yang mereka rasai. Dari satu segi mereka benar-benar menikmati percutian mereka. Insya-Allah, Ahad ini aku menunggu mereka untuk berkunjung ke rumahku - menikmati hidangan terkenal penduduk Taman Matang Jaya - Cucur Pusuk dan Cucur Udang.

Azan sudah berkumandang. Aku tangguh dahulu penulisan kali ini. Selamat Membaca hihihihi...

Kebolehpasaran, Menerapkan nilai intelektual dan sokongan masyarakat : Buku

Industri penulisan mampu setanding negara maju jika banyak buku diterbitkan, kata Zahid 
Malaysia mampu setanding negara-negara maju dalam industri penulisan jika lebih banyak buku intelektual diterbitkan dan lebih ramai penulis tempatan bertaraf dunia dikenali dan diiktiraf.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata adalah penting untuk terus kekal relevan dalam industri ini kerana negara masih kekurangan penerbitan buku berbanding dengan negara lain.
"Mengikut standard Unesco, penerbitan buku mestilah pada kadar 1% untuk setiap sejuta penduduk iaitu 1,000 buku (diterbitkan). Tetapi di Malaysia, cuma 15,000 buku diterbitkan untuk 27 juta penduduk Malaysia.
"Jadi penerbitan buku di negara ini sangat kurang. Kebolehmampuan  membeli buku kini bukan di tahap sepatutnya. Harus tanya pada para sarjana, adakah buku yang diterbitkan mempunyai kualiti tinggi, mengikut cita rasa pembaca dan boleh diterjemah di peringkat antarabangsa?
"Janganlah jadi juara kampung... jangan jadi jumud... duduk dalam kepompong lama. Nilai kebolehpasaran perlu ada dalam setiap buku yang diterbitkan," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Buku Negara yang turut dihadiri Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara, Hassan Hamzah di Kuala Lumpur, malam tadi.
Mengulas lanjut, Zahid berkata kebolehpasaran sesuatu karya atau buku memerlukan kualiti isi kandungan yang menerapkan nilai intelektual, mendapat sokongan dan dukungan masyarakat selain suntikan kewangan daripada kerajaan.
Menurutnya, 3 perkara ini penting untuk mewujudkan kesinambungan antara penulis, penerbit dan kerajaan selain merungkai situasi permintaan dan penawaran yang kerap kali berubah dan tidak stabil ini.
Selain itu katanya, penggiat industri buku juga perlu menggunakan kecanggihan teknologi seperti e-Book untuk terus kekal relevan dalam pasaran selain memasarkan bahan bacaan sedia ada seperti jurnal dan buku-buku ilmiah.
"Kita perlu cita-cita besar dan kekal relevan kerana pada 2057 genap 100 tahun kita merdeka. Kita mesti sediakan tokoh-tokoh penulis dan penerbit di peringkat antarabangsa. Kita harus sediakan prasarana supaya kita tidak ketinggalan," katanya.
Dalam ucapannya juga, Zahid menggesa para sarjana menghasilkan lebih banyak buku intelektual yang mempunyai kajian impirikal yang sahih untuk memastikan ia berjaya dipasarkan dan mendapat sambutan pembaca tempatan dan antarabangsa.
Pada akhir majlis, timbalan perdana menteri kemudian menyampaikan anugerah kepada beberapa tokoh penulisan dan penerbit terkenal mengikut kategori antaranya Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas (Tokoh Buku Negara), Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Khim (Tokoh Sejarawan), Prof Emeritus Dr Hashim Musa (Tokoh Linguistik) dan Prof Madya Dr Lim Swee Tin (Anugerah Perdana Aminuddin Baki). – Bernama, 27 November, 2015.