Pada minggu ini juga, kerajaan, melalui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin , telah mengumumkan keputusan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012.
Tun Dr. Mahathir, seperti dilaporkan Malaysiakini, merupakan orang pertama yang memberi respon berhubung perkara tersebut. Seperti dijangkakan, Tun memang agak marah dengan keputusan kerajaan memansuhkan dasar tersebut. Kemarahan Tun turut dijelmakan dalam bentuk mengadakan undian pada blog beliau.
Di pihak kerajaan pula, sebaik mengumumkan akan memansuhkan dasar tersebut, telah mengumumkan beberapa strategi lain bagi meningkatkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris disekolah. Sejumlah RM5 billion diperuntukkan bagi tujuan tersebut, seperti diberitahu oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi di parlimen, baru-baru ini. Selain itu, tambah Dr. Mohd Puad, sejumlah 13,933 orang guru Bahasa Inggeris akan diambil bagi meningkatkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah.
Dasar PPSMI, mula diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir pada tahu 2003. Ketika mula diperkenalkan, memang banyak pihak yang menentang dasar tersebut, cuma tidak adalah sampai ke tahap mengadakan demontrasi. Mungkin disebabkan masyarakat pada ketika itu sedar bahawa kekuatan politik UMNO amat kukuh, sehingga tidak berani ada pihak yang mempertikaikannya
Walaupun terdapat beberapa kerat kepimpinan UMNO sendiri menyuarakan kesan jangka panjang kepada tamadun bangsa Melayu berhubung pelaksanaan dasar tersebut, namun tidak ada "kuat" sehingga mendorong Tun Mahathir memansuhkan dasar tersebut. Menurut seorang rakan yang akrab dengan UMNO memberitahu, pada satu sesi Tun Mahathir dengan para akademik berhubung sesi soal jawab sebelum pelaksaan dasar tersebut pada tahun 2003, tidak ada seoarang pun ahli akademik yang dapat berhujah secara bernas mematikan hujah Tun Mahathir, kenapa dasar itu tidak harus dilaksanakan. Tidak pasti penulis kebenaran cerita tersebut. Yang jelas rakan tersebut ialah orang kuat UMNO dan amat rapat dengan "otai" UMNO.
Bahang PPSMI masih lagi terasa. Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said, mempertikaikan kenapa perlu menunggu sehingga 2012 untuk mansuhkan dasar tersebut? Beliau juga menyoal kenapa sewaktu dasar tersebut diperkenalkan pada 2003 dahulu, tidak pun menunggu kajian dan sebagainya?
Penulis tidak layak untuk mengulas semua hal tersebut. Apa yang penulis nak luahan dalam blog ini ialah, penulis nak tahu berapa jumlah telah kerajaan peruntukkan untuk pastikan anak-anak Malaysia menguasai Bahasa Melayu dengan betul? Mungkin ada yang akan berkata, semua rakyat Malaysai sudah boleh bertutur dalam Bahasa Melayu. Persoalannya sekarang taraf bahasa yang seperti apa? Bahasa rojak atau bahasa selanga? Realitinya itulah yang berlaku. Lihat di mana-mana jua liputan majlis yang melibatkan pemimpin negara, adakah Bahasa Melayu digunakan?
Itu belum lagi bila kita rincikan hal berkaitan pengasingan pelajar aliran sains dan sastera. Isu ini seharusnya dilihat juga oleh pihak Kementerian Pelajaran memandangkan tujuan utama bahasa dan aspek budaya ialah membentuk tamadun bangsa Malaysia. Apa gunanya sistem pembelajaran yang masih mengasingkan nilai IQ, EQ dan SQ, jika objektif utama dalam pembelajaran ialah untuk membentuk individu yang berkualiti dalam semua aspek?
Dalam isu Bahasa Melayu, misalnya, pembelajaran subjek sastera menjadi hambar lantaran guru sastera (sebahagiannya) yang tidak mengetahui atau memahami konsep sastera itu sendiri. Pembelajaran dalam KOMSAS membuatkan para pelajar menjadi bosan, walhal dalam aspek sastera, terdapat banyak kesronokkan yang tidak dijelaskan. Persoalannya kenapa isu ini tidak dilihat juga oleh pihak Kementerian Pelajaran?
Penulis bimbang, apabila kita hanya menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, semua yang berkaitan Bahasa Melayu, dan sewaktu dengannya akan dipinggirkan. Makan jadilah seperti kata perpatah, gajah mati depan mata semua orang tak nampak. Kuman yang micro sifatnya, walau juah dari pandangan, orang nampak pulak.
Setiap individu yang waras dan bijaksana mengakui akan hakikat bahasa Inggeris, penting dalam dunia hari ini. Sama ada kita mahu atau tidak, setiap individu harus memahami dan boleh menguasai Bahasa Inggeris. Namun, pada masa yang sama, kita tidak harus mengagungkan bahasa lain sehingga mematikan bahasa kita sendiri.
Apa gunanya slogan 1Malaysia jika bahasa rasmi negara sendiri diabaikan? Apa gunanya bahasa perpaduan jika isu bahasa tidak mampu ditangani oleh kerajaan? Bagaimana untuk memcapai perpaduan dalam kelompok masyarakat Malaysia berbilang kaum jika tiada bahasa yang jelas untuk digunapakai oleh seluruh rakyat Malaysia? Akhirnya sekali, pertanyaan penulis ialah, apa gunanya di gelar sebagai bahasa rasmi negara jika sifatnya hanya sekadar untuk memenuhi syarat kewujudan sebuah negara? Tuan puan fikirkanlah sendiri...