Wednesday, June 17, 2009

PEKASA Kuasa Dua

Beberapa hari yang lalu telah berlangsung Mesyuarat Agung Ke-4 Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA). Alhamdulillah, semuanya berlangsung dalam suasana yang harmoni dan waras walaupun beberapa hari sebelum itu dikhabarkan terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menghantar pesanan ringkas (sms) yang mengelirukan dengan mengatakan bahawa mesyuarat tersebut ditunda pada tarikh yang lain.

Pada saya, adalah asam garam dalam sebuah persatuan atau kepimpinan bila berlaku bermacam-macam hal yang pada kita luar biasa sifatnya, tapi tidak kepada golongan yang faham akan realiti hal seperti itu. Bila ada permasalahan, itulah tanda adanya kehidupan di sekeliling kita, dan "kehidupan" seperti itulah yang akan mendewasakan dan memberikan pengalaman kepada kita.

Semua hal ini ada diceritakan secara berseni dan berfakta dalam buku Choosing Caviility oleh Dr. P.M. Forni. Berbalik kepada cerita PEKASA, amat besar tanggungjawab yang harus PEKASA lakukan sekarang. Saya berkata begini kerana dalam suasana isu bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik yang belum muktamad sehingga sekarang seolah terbentuk dua kumpulan dalam kalangan rakyat Malaysia, dan di Sarawak hal ini tidak terkecuali.

Kumpulan pertama menyokong usaha ini dan kelompok kedua pula ialah membantah. Akhirnya, ada pihak beranggapan bahawa yang menyokong pemansuhan pengunaan BI untuk subjek tersebut adalah golongan fanatik bahasa dan menentangnya pula dilabel sebagai tidak memahami budaya bangsa.

Bukan tujuan saya untuk menjelaskan kenapa dan mengapa hal ini berlaku, cuma yang amat penting sekarang itulah tempias yang PEKASA akan hadapi dalam realiti sekarang. Amat banyak harapan yang disandarkan kepada PEKASA dalam membudayakan ilmu dalam kalangan penulis Sarawak, khususnya. Insya-Allah, dengan kerjasama dan sokongan semua kepimpinan baharu PEKASA yang terdiri hampir semuanya golongan muda, maka diharap impian itu akan menjadi kenyataan.

Kata-kata Sukarno berkaitan golongan muda terlalu kerap untuk diungkap di sini. Saya hanya ingin mengajak pembaca berfikir sejenak, jika kuasa besar seperti Amerika Syarikat, mengambil langkah berani memberi tanggungjawab kepada golongan muda dalam banyak hal berkaitan negara dan kepimpinannya, maka seharusnya itu berlaku juga di negara kita. Beri peluang kepada golongan muda memulakan, gagal, bangun dari kegagalan, dan memperolehi pengalaman daripadanya. Insya-Allah berkat belajar daripada pengalaman, semuanya akan menjadi mudah, dan itulah yang ditegaskan oleh baginda Saidina Ali r.a dan diakui benar oleh bijak pandai kemudiannya seperti Einstien dan Thomas Edison.

Jadi, yang harus dilakukan sekarang ialah merancang, berkerjasama dan terus fokus kepada program yang terancang. Mudah-mudahan usaha ini akan dipermudahkan...Amin.

Elipsis Siber.

Al-Kisahnya maka bila tertera di kaca tv dan akhbar hari ini dengan tajuk besar bahawa "Penjawat Awam dilarang Guna Modem untuk Internet" maka riuhlah satu Malaysia. Radio sensasi di Malaysia, HotFm, turut menjadikan isu ini sebagai tajuk sembang pagi. Maka banyaklah pro dan kontranya.

Menurut BERNAMA, begitulah nadanya jawapan PM kepada YB Teresa Kok (DAP). Namun walau apa-apa pun penulis berkayakinan bahawa kerajaan tidak akan bertindak semberono. Jika benarlah kakitangan awam tidak dibenarkan menggunakan kemudahan moden untuk membuat capaian terus ke Internet, maka amat malanglah nasib penjawat awam di Malaysia. Penulis berkata demikian kerana jika kita renungkan hari ini semua yang berkaitan kerajaan termasuk borang pun sudah ada dalam bentul dalam talian (online).

Jika benar kakitangan awam tidak dibenarkan akses kepada Internet di waktu pejabat harus apa gunanya semua yang bergelar "e" (elektronik)? Malah, kerajaan juga telah mewujudkan laman web "goverment" untuk memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia dan warga asing berurusan secara online.

Mungkin yang hendak PM disampaikan secara tersirat kepada kakitangan kerajaan melalui jawapan tersebut ialah, jangan habiskan 8 jam masa di pejabat dengan hanya melayari Internet atau melayari YouTube, serta menonton filem Korea dan bersembang menggunakan rungan sembang yang banyak terdapat di alam siber, untuk tujuan peribadi.

Kakitangan awam wajar dibekalkan bersama dengan kemudahan teknologi maklumat dan kemudahan Internet. Urusan untuk menjawab apa-apa jua pelbagai perkara berkaitan masalah rakyat dan masyarakat mudah dilaksanakan. Cuma, berbalik kepada persoalan asas yakni pokok pangkalnya terpulang kepada diri individu itu sendiri. Sebab itulah terhasil perpatah Melayu, "tepuk dada tanyalah diri sendiri".

Persoalan sekarang yang harus diwar-warkan bukan fahaman katakan "tidak" kepada Internet untuk kakitangan awam, sebaliknya "bagaimanakah" kakitangan awam manfaatkan Internet dalam kerja seharian mereka yang diamanahkan melalui setiap sen duit rakyat.Amat malang jika ada dalam kakitangan awam hari ini yang masih buta teknologi maklumat, dan berfikiran singkat beranggapan bahawa kemudahan Internat memberikan masalah, walhal banyak lagi yang positifnya jika kita terus berfikiran positif.

Sunday, May 24, 2009

PPMN 2009: Perjungan Tanpa Henti

Alhamdulillah, selesai sudah Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009, yang diadakan di Puteri Resort, Air Keroh, Melaka Bandar Bersejarah. Banyak pengalaman baharu yang telah diperolehi. Paling berharga ialah terdapat beberapa kertas kerja yang berguna kepada saya untuk tujuan rujukan dalam penulisan. Selain itu, pengalaman tersebut memberikan idea untuk menghasilkan novel berhubung sautu peristiwa bersejarah yang berlaku, yakni PPMN 2009 itu sendiri.

Secara keseluruhannya, perhimpunan kali ini berjaya, dan tahniah diucapkan kepada pihak penganjur. Namun saya tetap akan menulis disini beberapa cadangan untuk tujuan penambahbaikan. Antaranya ialah berkaitan dengan sesi pembentangan. Hampir kesemua pembentang terdiri daripada mereka yang berpengalaman, dan sudah lama terlibat dalam dunia penulisan. Juga terdapat beberapa orang pembentang merupakan muka baharu yang hendak ditonjolkan. Saya tabik dengan keprihatinan pihak penganjur berhubung melahirkan pelapis muda yang sekaligus mengambil penbentang yang terdiri daripada kalangan penulis muda sendiri.

Namun yang saya persoalkan ialah mengenai isu atau tajuk yang dikemukan, ada yang tidak releven dengan realiti penulis muda itu sendiri. Misalnnya persoalan mahasiswa aliran sains yang tidak membaca buku sastera, pada saya itu bukan yang seharusnya dibincangkan atau menimbulkan persoalan.

Yang seharusnya ditekankan ialah agar penulis muda tetap terus menulis dan menghasilkan karya. Janan sempitkan realiti perbezaan sains dan sastera, dengan beranggapan itu satu bentuk halangan atau cabaran kepada perkembangan sastera. Pada saya hal itu tidak akan berlaku kerana sastera adalah seni dan cabang kepada pembentukan emosi. Sama ada seorang itu jurutera atau guru sastera, yang membezakan mereka ialah EQ masing-masing.

Begitu juga berkaitan dengan penyertaan, agak terkilan kerana tidak dapat dipastikan penyertaan yang mewakili setiap negeri atau adakah peserta yang hadir, yang rata-ratanya bekas peserta yang menyertai program Minggu Penulis Remaja (MPR), mewakili setiap negeri.
Saya bangkitkan persoalan ini kerana saya yakin pasti banyak lagi penulis di setiap negeri yang muda tap tidak dapat menyertainya, sama ada tidak tahu atau sengaja tidak mengambil tahu.

Mungkin wajar juga difikirkan pada masa akan datang, dicadangkan terdapat pembentang yang akan melihat atau mengkaji dari sudut motivasi khusus kepada penulis muda agar minat dan kecenderungan mereka tuntas. Peluang bergaul dengan para peserta yang rata-ratanya banyak yang lebih muda berbanding usia saya mendapati ada dalam kalangan mereka yang sudah memiliki buku sendiri, cumanya tidak puas hati dengan hasilnya gara-gara dicincang editor.

Hal seumpama ini wajar diketengahkan juga dalam perhimpunan seumpama ini agar penulis muda tahu dan mendapat maklumat berhubung tatacara penerbitan, kontarak perjanjian penerbitan buku dan sebagainya. Tidak salah jika diwujudkan satu sesi khusus yang hanya bercerita mengenai liku-liku penerbitan buku, agar penulis muda (sememangnya mereka muda dan kebanyakkan lingkungan 20-an) mendapat maklumat hal sebegini.

Apa-apa pun, sekali lagi tahniah diucapkan kepada pihak penganjur yang bertungkus-lumus memastikan perjalanan majlis ini berlangsung dengan jayanya.

Tuesday, May 5, 2009

Beza SARS & Flu H1N1

Gambar terkini virus flu H1N1 yang dirakam pada April 27, 2009, at the U.S. Centers for Disease Control and Prevention's headquarters in Atlanta, Georgia.

Banyak yang bertanya, apa bezanya SARS dan Flu H1N1. Saya terjemahkan disini untuk makluman semua. SARS atau sindrom sesak nafas mendadak adalah penyakit baru yang timbul pada tahun 2003.

Flu H1N1 pula adalah sejenis demam selesema walaupun ia jenis unik yang menggabungkan elemen flu babi, burung dan manusia. Kesannya: Para saintis memerlukan masa yang lebih lanjut untuk mengubati Sars kerana ia penyakit baru. Sebaliknya, ubat untuk memerangi flu H1N1 sedia ada.

Sars boleh berjangkit hanya dua minggu selepas seseorang itu menjadi mangsa. Flu H1N1 boleh berjangkit 24 jam sebelum seseorang mangsa menunjukkan tanda beliau dijangkiti. Kesannya: Mengesan seseorang yang dijangkiti flu H1N1 adalah lebih rumit daripada mengesan seseorang yang menghidapi Sars. Seseorang yang telah dijangkiti flu H1N1 pula sukar dikuarantin sebelum beliau menjangkiti mangsa lain.

Mangsa Sars menunjukkan tanda dijangkiti seperti demam dan batuk-batuk. Mangsa flu H1N1 mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda pun. Satu daripada tiga mangsa bahkan tidak tahu beliau telah dijangkiti. Kesannya: Pemeriksaan suhu badan tidak begitu berkesan untuk menentukan seseorang itu dijangkiti flu H1N1.

Sars bertahan selama beberapa bulan sebelum ia beransur hilang. Berdasarkan sejarah, flu H1N1 akan menular secara bertahap dalam tempoh yang berlanjutan. Kesannya: Membanteras flu H1N1 akan mengambil masa yang lama. Tiada cara tertentu untuk menentukan bahawa risiko dijangkitinya telah berakhir.

Sumber: The Straits Times Singapore

Please Smoking!

Pelik, tapi benar, dan inilah sumber berita yang diperolehi daripada agensi AFP. Jika difikirkan secara mendalam, mungkin ada baiknya juga dikeluarkan aahan yang sedemikian. Daripada menghisap rokok jenama luar negara, ada baiknya membeli rokok keluaran tempatan. Yang jelas, jika mati pun, dikubur di negara China, kan....

Semua kakitangan awam di daerah Gong'an, Hubei, tengah China diarah menghisap rokok bagi melariskan jualan hampir suku juta kotak rokok buatan tempatan setahun jika tidak mahu didenda. Menurut akhbar Global Times, kerajaan di wilayah Hubei mengarahkan kakitangannya menghisap rokok bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Menurut akhbar itu, jabatan kerajaan yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan akan didenda."Peraturan itu akan meningkatkan ekonomi tempatan melalui cukai rokok," kata seorang anggota pasukan pemantauan pasaran rokok Gong'an, Chen Nianzu.

Menurut akhbar tersebut, peraturan itu dikuatkuasakan sebagai usaha melariskan jenama rokok tempatan seperti Huanghelou yang menghadapi persaingan daripada rokok keluaran wilayah Hunan. China mempunyai 350 juta perokok namun sebanyak sejuta orang meninggal dunia pada setiap tahun kerana menghisap rokok.

Ceritera Penjawat Awam

Cerita mengenai perkhidmatan awam belum bernoktah lagi. PM kita yang baharu Datuk Seri Najib Tun Razak, mengajak anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam mewujudkan satu bentuk perhubungan berasaskan ikatan janji kesetiaan dan komitmen padu bagi mengukuhkan pencapaian sektor berkenaan.

"Perhubungan berasaskan konsep al-wa‘ad dan al-bai‘ah itu adalah lebih kukuh berbanding konsep perkongsian kerana ia mampu mewujudkan suasana kerja yang lebih baik dan tenteram," demikian kata beliau yang dipetik oleh Utusan Malaysia.

Sememangnya cantik, jika hasrat murni tersebut dijalinkan. Saya yakin, semua penjawat awam akan menyokong sepenuhnya. Namun, pelbagai karenah yang masih menghantui dalam perkhidmatan awam yang pastinya diketahui oleh kakitangan awam sendiri; yakni tidak ada ruang dan peluang kepada kakitangan yang berkebolehan untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi daripada jawatannya.

Itu satu lumrah yang berlaku dalam kakitangan awam sekarang. Bukan sekadar itu, malah pelbagai masalah lain turut berlaku. Ada penjawat awam yang menyerlah dan bersinar umpama permata, disekat oleh orang atasannya kerana dikhuatiri menjejaskan "keunggulan" pegawai atasan.

Aspek hormat dan patuh yang berlaku dalam perkhidmatan awam sekarang dilihat banyak pihak lebih kepada usaha untuk mencegah ketegangan antara dua pihak. Bukan suatu yang rahsia dalam perkhiamatan awam jika didapati seseorang itu kerap bertelagah pendapat dengan orang atasannya maka agak sukarlah individu berkenaan untuk merasai kenaikan pangkat seterusnya. Hal ini realiti yang berlaku sekarang.

Satu perkara yang harus orang atasan perkhidmatan awam wajar pertimbangan atau fikir-fikirkan tiadakah penyelesaian bagi hal seumpama itu dalam perkhidmatan awam? Dalam mana-ama situasi pun, tidak ada sesiapa jua yang suka pendapatnya dicantas, apatah lagi ditolak. Dalam perkhidmatan awam, pecanggahan pendapat berlaku kerana untuk menyelesaikan masalah atau membuat keptusan. Namun, hakikatnya yang "besar" sudah pastinya ego untuk menuruti pendapat yang bawah. Bila situasi ni berlaku maka wujudlah perkara yang lain pula seperti "black list" dan sebagainya.

Hakikat ini menimbulkan situasi perkhidmatan awam seringkali seolah dimomokkan oleh kuasa pihak atasan. Walhal kuasa yang ada seharusnya digunakan untuk membuat keputusan berkaitan kesahjeteraan rakyat, bukan peribadi.

Mungkin banyak yang wajar difikirkan oleh pihak atasan perkhidmatan awam untuk mencantikkan dan memesrakan aspek "tools" perkhidmatan awam. Antara luahan yang kerap di dengar ialah apa bezanya seorang yang duduk di opis sejak jam 8.00 pagi hingga jam 5.00 petang tetapi hanya melayari internet menambah ilmu, dan seorang yang kerap tidak ada di opis tetapi berada di luar (sebab bosan tiada kerja di opis, dan melakukan kerja lain) yang boleh meningkatkan prestasi pekerjaannya sebagai kakitangan awam yang menyampaikan mesej kepada masyarakat umum bahawa penjawat awam "mencari kerja" bukan "menunggu kerja" yang datang.

Selain itu, ada juga pihak atasan yang mentadbir pejabat sebolehnya menjadikan pejabat umpama "library", senyap dan tidak wujud perbualan. Kekadang mendengar cerita seumpama ini saya kerap terfikir, adakah ini zalim atau kejam? Jika semua staf dalam satu bahagian atau jabatan, senang dan selesa dengan situasi opis yang ada muzik, berbual, minum dan sebagainya, pada saya bukanlah satu yang salah. Janji semua urusan kerja berjalan lancar dan mencapai sasarannya. Kenapa perlu disekat kebebasan dalam pejabat dengan membuat peraturan yang kuno seumpama itu?

Saya yakin penjawat awam disituasi demikian selesa dengan keadaan yang ada. Tetapi bila dicipta peratiran yang sedemikian maka itulah yang menjadikan penjawat awam seumpama ikan didalam akuarium, yang sentiasa mencari jalan keluar pejabat. Bila penjawat awam berkumpul di kantin, maka lain pulak kesalahan yang dijatuhkan. Janganlah kuasa digunakan sacara sembrono dalam membentuk penjawat awam, banyak lagi cara lain boleh digunakan seperti berbincang dan sebagainya. Kita hidup dalam alam yang indah dan harmoni. Maka seharusnya demikian jugalah keputusan yang dilakukan dalam menetapkan peraturan.

Banyak yang nak dituliskan, tapi hari ini hari cuti saya dan sebaiknya saya manfaatkan dengan sebaiknya.....

Saturday, May 2, 2009

Politik Meloya...

Bila bercakap soal politik sekarang, pasti banyak senario yang terbayang di benak pemikiran kita. Rekod luar biasa politik yang berlaku di Perak, masih menjadi perhatian banyak pihak. Walaupun, penganalisis mungkin sudah kehabisan idea untuk mengulas atau memberikan pandangan berhubung apa-apa yang telah berlaku, namun politik di Perek tetap akan menjadi tumpuan utama politikus. Hal ini kerana telah tercatat sejarah pada politik di negeri Perak.

Terkini isu dalaman politik PAS dan perkembangan berhubung pilihan raya di Penanti, menjadi bualan banyak pihak. Tidak kurang juga kononnya khabar angin mengatakan bahawa UMNO dan PAS sedang berbincang untuk menubuhkan kerajaan bersama. Tidak dapat tidak, sama ada rakyat suka atau tidak, cerita berkaitan politik pasti akan sentiasa menghiasi dada akhbar, skrin tv dan di corong radio. Bila sudah muak dan loya dengan cerita politik tanah air, maka tidak hairanlah ada sesetengah pihak yang tidak mahu ambil tahu perkembangan politik tanah air.

Yang mereka harapkan ialah, sama ada barisan kepimpinan yang diterajui wakil Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, tanggungjawab kepada rakyat mestilah diutamakan. Laksanakan dan tunaikan semuanya program yang membantu rakyat, tanpa memilih rakyat sama ada penyokong kerajaan ataupun pembangkang. Politik secara idealnya seharusnya membahagiakan semua orang, dan bukan melaga-lagakan.

Hal inilah yang diharapkan rakyat dan seterusnya rakyat mengharapkan di “rethinking kan” semula amalan politik. Agenda politik dalam Pelan Integriti Nasional (PIN) adalah bertujuan untuk mengekalkan keluhuran Perlembagaan dan sistem politik negara yang berasaskan demokrasi, yakni yang menggabungkan institusi Raja berperlembagaan dan pemerintahan berparti; mengekalkan kedaulatan dan meningkatkan keutuhan institusi Parlimen sebagai penggubal undang-undang yang luhur; mengamalkan politik yang berintegriti serta pengembangan budaya politik yang sihat, beretika, matang dan demokratik mengikut acuan sendiri; dan memantapkan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan good governance.

Dalam zaman teknologi maklumat semudah ABC berita diperoleh, cerita politik yang meloyakan hanya membuahkan kerisauan masyarakat berhubung apakah ahli politik ada memikirkan perancangan jangka panjang untuk kebaikan rakyat, atau hanya merancang kedudukan politik mereka sendiri menjadi lebih mantap dan selesa?

Memetik kata seorang ahli politik tanah air (namanya sengaja tidak disiarkan sebab bukan untuk publisiti pun…), ilmu, hikmah dan bakti perlulah dijadikan asas dan pedoman kepada semua ahli politik demi memastikan kebahagiaan dinikmati oleh semua…