Saturday, January 5, 2019

Hasil cukai pelancongan RM2.7 juta kecil, namun bermanfaat untuk S’wak

Sarawak dianggarkan layak menerima agihan hasil cukai pelancongan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM2.7 juta.Namun, sehingga hari ini Sarawak masih belum menerima bayaran tersebut yang di bawah kuasa Kementerian Kewangan.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara itu pernah disentuh beliau pada Sidang Dewan Undangan Negeri November lalu.
Bercakap pada sidang media selepas majlis pelancaran Anugerah Pelancongan Kenyalang Sarawak 2017/ 2018 di Rumah Mahkamah Lama, Karim berkata beliau “tiada idea” berkaitan punca isu tersebut, tetapi berjanji berusaha mendapatkannya.
Menurut Karim, dalam pengetahuannya Sabah sudah menerima pembayaran agihan hasil cukai ini melalui maklumat diberikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew Chin Jin dikunjunginya baru-baru ini. 
Bagi Karim, jumlah itu mungkin kecil, tetapi ia bermanfaat untuk merancakkan industri pelancongan Sarawak.Beliau berharap Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi maklum isu tersebut dan berharap beliau dapat menyelesaikannya demi kebaikan negeri ini.