Friday, June 19, 2009

Abdillah S.M Bangkit dengan Antropologi…

Beberapa jam tadi penulis dijemput untuk hadir ke majlis pelancaran buku oleh salah seorang penulis yang dikenali di Sarawak, Abdillah S.M. Orangnya agak berusia, namun minatnya terhadap seni tidak pernah sepi. Abdillah S.M atau lebih dikenali sebagai abg dillah, memang dilahirkan sebagai anak seni. Beliau boleh menulis puisi, mendeklamasi puisi, melukis, mengubah lagu dan berdrama. Yang menariknya majlis perasmian pelancaran buku pada malam tersebut ialah buku kumpulan puisi pertama yang beliau sendiri usaha terbitkan.

Kumpulan puisi dengan tajuk “Antropologi II” memauatkan 97 buah puisi, dan diterbitkan oleh Mutiara Bimasakti Publishing. Dalam kalangan penulis di Sarawak, tidak banyak yang mampu berbuat demikian lantaran kos untuk mencetak buku adalah tinggi. Ada segelintir yang mungkin mempunyai “klik” yang bagus dengan orang atasan maka dapatlah menerbitkan buku sendiri dengan tajaan. Disebalik penerbitan buku oleh Abg Dillah, ada suatu yang lain penulis “tabik” kepada Abg Dillah.

Beliau tidak pernah putus asa dalam berkarya atau meneruskan usaha seninya walaupun pelbagai dugaan dan cerita yang kerap didengar berkaitannya. Sebagai orang yang lebih awal menyumbang kepada kemeriahan perkembangan sastera di Sarawak, penulis menghormatinya, walaupun ada ketikanya mungkin rakan-rakan penulis tidak spendapat dengannya.

Walau bagaimanapun, selama mengenali beliau, penulis tidak ada masalah berurusan dengan beliau, malah kekadang bila kami bertemu banyak isu berkaitan sastera kami bualkan. Di Sarawak, selain DBP, penulis di Sarawak hanya bergantung kepada “ehsan” penerbit lain yang ada di Semenanjung untuk menerbitkan karya mereka. Dalam pada itu juga, bukan suatu yang luar biasa bila mendengar cerita ada penulis dari Sarawak, menjadi mangsa putar-belit penerbit swasta dari Semenanjung berkaitan hakcipta dan royalti. Satu sebab mungkin hal ini berlaku ialah keyiadaan pengetahuan berkaitan hak cipta atau ilmu penerbitan tu sendiri dalam kalangan penulis di Sarawak, walau mungkin tidak semuanya.

Namun, demi menjaga aib dan nama, cerita sebenar tidak didedahkan kepada khalayak. Penulis mengetahui hal ini melalui “cerita di atas cerita”. Berbalik kepada cerita Abg Dillah tadi, penulis mengulangi “tabik” kepada usaha beliau menerbitkan buku menggunakan duit poket sendiri. Setiap tahun selama ini, banyak kalangan penulis di Sarawak khsusnya, menghantar manuskrip untuk menerbitan novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, atau antologi cerpen mahupun puisi kepada pihak DBP.

Daripada apa yang penulis diberitahu, DBP menjadi tumpuan penulis di Sarawak kerana hanya penerbit DBP yang diketahui meletakkan nilai sastera itu lebih tinggi berbanding nilai wang ringgit. Tidak kepada penerbitan swasta, yang tidak lari daripada meletakkan keuntungan sasaran utama. Inilah realiti kehidupan hari ini, dan hal ini sukar untuk diatasi kecuali dengan kesedaran ilmu dalam masyarakat kita sendiri.

Khabarnya, selepas Abg Dillah, akan ramai lagi penulis akan menerbitan buku secara persendirian. Mungkin ini akan menjadi ikutan selepas ini, walaupun ada juga kedengaran suara nakal dalam kelangan penulis sendiri tidak “memperakukan” penerbitan seperti DBP. Persoalannya apa salah DBP? Dan sampai bila mereka harus bersikap begitu? Penulis sendiri mengetahui jawpannya.

Buku Abg Dillah dijual RM10.00 senaskah. Dengan tajuknya Antropologi II, kumpulan puisi bewarna hijau lumut itu turut memuatkan puisi beliau yang terawal yang disiarkan dalam majalah Dewan Sastera pada bulan Setember 1977, yang bertajuk ‘Identiti’.

Kepada yang berminat untuk memilikinya bolehlah emel kepada penulis (sekadar membantu rakan penulis) atau menghubungi penerbitan buku itu sendiri, oppss…, tidak ditulis atau ada nombor telefon pihak penerbit pada buku…Sila emel kepada saya jika berminat….Laman sesawang abg dillah berkaitan majlis di atas boleh dilihat di sini, http://dillsm.blogspot.com/

Iran dihujung Tanduk?

Apa sebenarnya yang berlaku kepada masyarakat Iran sehinga berlaku demontrasi yang mirip Revolusi pada era 70-an? Hanya rakyat Iran yang mengetahuinya. Semuanya bermula sebaik sahaja Mahmoud Ahmadnejad, disitiharkan sebagai pemenang dalam pilihan raya baru-baru ini, dan diistiharkan sebagai Presiden.

Lawan dan pesaing utama Mahmoud, bekas Perdana Menteri Mir Hossein Mousavi, bagaimanapun mengaku dirinya pemenang dalam pilihan raya tersebut dengan mengatakan berlaku penipuan dalam pilihan raya berkenaan. Hujah Mir Hossein bagaimanapun menimbulkan persoalan kepada pihak media antarabangsa yakni CNN yang berkata bahawa beliau gagal membuktikannya atau hujahnya tidak kuat.

Namun, realiti semua orang tahu bahawa Barat memang tidak akan senang selagi Mahmoud Ahmadnejad menjadi Presiden Iran. Hal ini kerana beliau adalam pemimpin Iran yang paling tegas dalam menengakkan pendiriannya. Hal ini terbukti apabila beliau menemplak beberapa orang pemimpin dunia berkaitan isu nuklear Iran yang tidak selesai sehingga sekarang, walaupun Presiden Amerika Syarikat sudah silih berganti.

Obama ketika berucap kepada masyarakat Islam sedunia di Universiti Cairo, Mesir, telah menjelaskan bahawa pentadbirannya akan berusaha untuk "mengeratkan hubungan semula dengan Iran melalui jalan perbincangan," dan pada masa yang sama berkata bahawa dia tidak mahu melihat perlumbaan senjata nuklear berlaku di Timur Tengah. Untuk rekod, hanya Israel dan Iran sahaja yang memiliki kemampuan nuklear di rantau tersebut.

Walaupun pilihan raya Iran sudah jelas ada keputusannya, namun disebalik ketidakpuasan hati lawan yang kalah, telah menjerumus huru-hara fasa baharu dalam sejarah Iran. Hampir setiap jam media massa dunia seperti CNN, BCC dan al-Jazeera, memaparkan senario di Iran. Seolah-olah rakyat Iran menolak Mahmoud dan menyokong tanpa berbelah bahagi terhadap Mir Hossien.

Itulah yang kerap dipaparkan. Secara tersirat, masyarakat di Malaysia juga ditanam dengan satu mesej bahawa rakyat Iran menolak 100 peratus Mahmoud. Inilah yang berlaku sekarang. Sejak tercetusnya demontrasi di Iran selepas keputusan pilihan raya berkenaan, media massa Barat berterusan membuat liputan yang kebanyakkannya mengimbau kembali sejarah tercetusnya Revolusi di Iran pada 1979.

Sebelum ini seluruh dunia Islam menganggap Mahmoud sebagai jaguh dalam barisan kepimpinan Islam berikutan kelantangan beliau dalam menyuarakan beberapa perkara, termasuk isu Palestine. Malah, kerana keberanian beliau terhadap AS, menyebabkan beberapa buah negara di Amerika Selatan menjalinkan hubungan politik yang erat dengan Tehran. Venuzela, misalnya.

Namun, bila melihat laporan Barat mengenai demontrasi berhubunga pilihan raya tersebut, penulis menjadi curiga, adakah ini peluang barat untuk memastikan Mahmoud jatuh tersungkur. Tulisan dalam blog selama ini berkaitan Mir Hussien menyatakan bahawa beliau adalah seorang yang sederhana dalam kepimpinannya dan beliau dilhat sebagai "lemah" dan tidak berpendirian. Malah dalam kalangan rakyat Iran sendiri tidak segan-silu berkata bahawa jka Mir Hussien menjadi Presiden Iran, maka Iran akan menerima nasib seumpama Iraq, Pakistan dan Afganistan.

Penulis tidak mahu memberi ulasan berhubung hal tersbut, biarlah pembaca yang menganalisis sendiri hujah berkenan. Majlis Tertinggi Pemerintahan Iran yang di pimpin oleh Ayotollah Ali Khemenei, berucap tengah hari tadi di Univeristi Tehran, telah pun meminta rakyat Iran menerima keputusan pilihan raya tersebut.

Persoalan sekarang adakah rakyat Iran akan menerima atau bersetuju dengan Ayotollah Ali Khemenei? Jika tidak, adakah ini bermakna akan berlaku sekali lagi Revolusi di Iran sekali lagi? Penulis bertanya soalan ini disebabkan senario yang berlaku di Iran sekarang. Liputan oleh media Barat seolah menjurus ke arah Mir Hossien. Seolah dengan restu media Barat, mesej disampaikan kepada seluruh penduduk Iran di seluruh dunia akan bangun menentang Mahmoud.

Pada masa yang sama, media Barat tidak pula menyiarkan ulasan penyokong Mahmoud, sebaliknya media memanggil penganalisis yang rata-rata terdiri daripada kalangan rakyat Iran sendiri bertanyakan soalan secara kerap "Apakah akan berlaku semula revolusi di Iran?" Hampir semua soalan yang diajukan oleh CNN, BCC juga al-Jazeera berkisar kepada soalan yang "dahagakan berita" yang bermaksud mereka (media) ada bahan berita untuk isu seterusnya.

Penulis berpendapat, rakyat Iran wajar bertindak waras dalam memperjuangkan hal ini kerana jika Iran tersungkur di kaki Barat, bermakna Iran juga akan mengalami nasib seperti Iraq. Bila dilihat di liputan berita di kaca televisyen, rata-rata yang berdemontrasi adalah golongan muda. Timbul persoalan penulis juga, apakah mereka yang muda itu memahami apa yang mereka lakukan, atau sekadar darah muda?

Isu di Iran jika silap tindakan diambil samaada oleh rakyat Iran sendiri atau Majlis Tertinggi Iran, pasti akan merubah keseluruhan senario politik Iran. Tidak mutshil, kerajaan yang ada sekarang, termasuklah kedudukan Majlis Tertinggi, dan semuanya akan bertukar semuanya.

Timbul persoalan penulis, jika Mahmoud diakatakan tewas dalam pilihan raya 12 Jun lalu, kenapa beliau dimenangkan? Jika dia menang pada pilhan raya lalu, kenapa Mir Hussien tidak dapat menerima persoalan itu? Kenapa Mir Hussien mengatakan pilihan raya itu keputusannya sudah disetkan? Kenapa rakyat Iran di seluruh dunia digambarkan menyokong Mir Hussien? Hatta skuad bola sepak Piala Dunia Iran dilaporkan oleh AFP memaki lilit hijau di lengan tangan tanda sokongan kepada calon yang tewas, Mir Hussien. (Betul ke tanda sokongan kepada Mir atau bantahan terhadap proses pilihan raya?)

banyak persoalan yang hendak ditanya, cuma tiada jawapan yang dapat diberikan, hatta pihak media sendiri tidak menyiarkan jawapannya sebagai suatu yang dinamakan berita atau laporan. Kita mengharapkan masalah di Iran dapat diselesaikan seberapa segera atau negara Iran akan tersungkur di pintu Barat.

Korea Utara Ke Piala Dunia 2010

Sejarah tercatat setelah berusaha hampir 44 tahun buat Korea Utara apabila layak, sekaligus menempah tiket ke Piala Dunia 2010. Korea Utara mencapai detik bersejarah tersebut setelah seri dengan Arab Saudi 0-0, dalam perlawanan pusingan akhir semalam.

Menduduki tangga kedua bersama "musuh politik", Korea Selatan, Korea Utara memperolehi 12 mata dibelakang Korea Selatan yang memperolehi 16 mata. Arab Saudi menduduki tangga ketiga dalam senarai kumpulan B. Kedudukan tersebut sekaligus melayakan Korea Utara ke Piala Dunia 2010 atas tiket Asia.

Sehingga semalam, empat negara dirantau Asia telah mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2010 yang akan diadakan di Afrika Selatan. Keempat-empat negara tersebut ialah Australia, Jepun, (masing-masing juara dan tempat kedua dalam Kumpulan) Korea Selatan dan Korea Utara. Antara permian Korea Utara yang menjadi tumpuan ialah Pak Choi Jin. Manakala jurulatihnya pasaukannya ialah Kim Jong Hun.

Penulis selalu berangan sendirian, alangkah manisnya jika Malaysia layak menyertai Piala Dunia 2010...nescaya hari ini juga penulis akan membuat persedian melihat siara langsung pertama tersebut yang dijangkakan pada Julai tahun hadapan...Bilakah agaknya...

MPR Bertambah Vs. ADUN Rajin

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan lawatan kerja rasmi ke Sarawak semalam telah mengumumpakan pengandaan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada semua wakil rakyat di Sarawak. Beliau berkata demikian selepas menghadiri pertemuan bersama pemimpin barisan Nasional di Kuching, semalam.

Hal ini bermaksud setiap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak akan menerima peruntukan tahunan sebanyak RM640 ribu setahun berbanding sebelum ini RM270 setahun. PM juga berpesan kepada semua ADUN agar memberi tumpuan kepada pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan pada tahun 2011.

Penulis berharap agar setiap ADUN di Sarawak akan terus bekerja keras untuk rakyat selepas ini. Jangan hanya menjelang pilihan raya baru menampakan diri kepada masyarakat. Banyak cerita mengenai sikap segelintir ADUN yang kerap didengar. Namun kita tidak tahu kebenarannya. Ada yang berkata ADUN mereka menggelakkan diri setiap kali jika rakyat berhadapan masalah. Namun itu cakap belakang atau khabar angin yang tidak sahih kebenarannya. Namun, ada yang bertanya, kenapa persoalan begitu wujud?

Adakah strategi politik atau memang realiti ADUN tersebut bermasalah? Begitu juga dengan fungi cawangan parti di setiap daerah dan kawasan DUN. Kenapa senyap dan hanya kedengaran berbunyi menjelang pilihan raya sahaja? Tidak adakah aktiviti yang hendak dilaksanakan, misalnya Klinik UPSR, SPM atau sebagainya? Jangan asyik dengan pertandingan bola sepak, futsal atau pertandingan Ratu Kebaya sahaja.

Apa-apa jua terima kasih kepada ADUN dan MP di kawasan saya yang bekerja keras tanpa mengira masa bekerja. Rakyat Sarawak yang ingin mengetahui atau memantau pelaksanaan projek di kawasan mereka bolehlah menyemak dengan melayari laman sesawang berikut; http://www.simu.sarawak.gov.my/bm/inter_map.html

Thursday, June 18, 2009

Mataku Sakit di Klinik Mata.

Hari ini penulis menemani emak untuk membuat pemeriksaan mata di Klinik Pakar Mata, di Hospital Kerajaan. Penulis bertolak jam 7 pagi dan terus ke klinik berkenaan. Sesampai di klinik, penulis berpusing hamper 1 jam untuk mencari tempat letak kereta, dan pada jam 0849, menulis dapat meletak kereta kononnya dikatakan kawasan larangan, tapi banyak kereta diletakkan di situ. Kereta penulis, diletakkan memang dikawasan yang khas meletak kenderaan awam. Disebabkan kesesakkan, kereta penulis hanya 200 cm sahaja menghadang kenderaan lain.

Untuk atasi permasalahan tersebut, penulis meletakkan no telefon pada wiper agar mudah dihubungi jika ada pemandu lain yang ingin memandu keluar. Sesampai sahaja di pintu masuk Klinik Pakar Mata, agak terkejut juga melihat banyaknya orang. Penulis yang sudah agak lama tidak ke Hospital Kerajaan, hanya memerhati sahaja gelagat setiap pengunjung yang telah membuat temu janji di klinik berkenaan.

Terdapat satu kaunter khas untuk pendaftaran, dan di situ pesakit akan dipecahkan mengikut “bahagian mata mana yang sakit”. Tedapat beberapa bilik untuk tujuan rawatan. Suara misi melaungankan nama pesakit yang hadir, memeriahkan lagi suasana ruang menunggu di klinik tersebut.

Keadaan tempat menunggu dan klinik tersebut amat sesak. Walau banyak kerusi disediakan, semuanya penuh dan banyak juga yang berdiri, atau hamper sama jumlah yang berdiri dan yang duduk. Sesekali, akan kelihatan Pembantu Perubatan memberikan ubat berbentuk titisan kepada mata pesakit yang hadir untuk menguji tahap ketarak pada mata.

Melihat keadaan demikian, penulis memahami, keadaan klinik yang sesak memaksa pekerja di bahagian tersebut melakukan apa-apa yang seharusnya untuk kesahjeteraan pengunjung atau pesakit yang hadir. Rata-rata pesakit yang hadair adalah melalui temu janji dan dari luar Kuching. Yang boleh penulis tulis di sini ialah mengharapkan pihak kerajaan agar dapat meninjau atau menimbangkan membina satu bangunan khas bagi Klinik Pakar Mata. Hal ini kerana dengan kesesakan yang amat sangat itu, MUNGKIN mendatangkan keadaan ketidakselesaan kepada pekerja perubatan atau doktor yang bertugas di situ. Hal seumpama ini harus diambil kira kerana tugas seorang doltor adalah merawat, dan sebaiknya bila merawat pesakit dalam keadaan rileks dan tenang bukan tertekan dengan karenah pesakit yang lama menunggu dan sebagainya.

Kerajaan mungkin ada alasan kenapa dan mengapa untuk tidak mengadakan dahulu harapan penulis di atas. Namun pada masa yang sama, adalah menjadi tanggungjawab penulis untuk melaporkan apa-apa jua agar pihak kerajaan mendapat maklumat yang betul dan tepat. Alhamdulillah, jam 1230, emak selesai menjalani rawatan di klinik berkeaan. Terima kasih kepada semua Doktor, dan misi yang bertugas di Klinik Pakar Mata HUS.

Simposium Budaya Boneka.

Penulis berpeluang untuk mengikuti Simposium Budaya Sarawak Ke-5, yang diadakan di kompleks lama Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini dan semalam. Tahniah diucapkan Justify Fullkepada Kerajaan Negeri Sarawak, kerana menganjurkan simposium seumpama ini. Sewajarnya simposium seumpama ini diadakan secara kerap dan berkala di Sarawak memandangkan Sarawak, satu-satunya negeri di Malaysia yang unik sekali dengan terdapatnya 27 buah kumpulan etnik yang mendiami dalam sebuah negeri.

Hanya orang yang "pendek ilmu" sahaja, (memetik kata-kata seniman agung P.Ramlee,) akan merasakan pengalaman hidup di Sarawak adalah suatu yang amat sukar, dengan alasan banyaknya kaum yang ada di Sarawak, lantas mereka beranggapan sukar untuk menemui makanan yang halal. Itu antara kata-kata yang kerap didengar.

Tidak timbul mencari makanan yang halal di Bumi Kenyalang Darul Hana ini, walaupun ada banyak suku kaum di negeri ini. Itulah uniknya negeri Sarawak. Dengan kebijaksanaan kepimpinannya, kaum yang perlbagai dapat disatu-padukan. Jika kila lihat ke luar negara ada negara yang hanya mempunyai dua etnik sahaja, dan itu pun sudah menimbulkan perang saudara yang tidak kesudahan.

Bercakap soal simposium budaya tadi, ianya disertai oleh hampir semua wakil kaum yang terbesar yang terdapat di Sarawak. Tidak ketinggalahan masyarakat India Sarawak yang tidak sampai 2 peratus, juga diberi peluang untuk mengemukakan pandangan dan resolusi mereka untuk terus aman tenteram di negeri Sarawak.

Cuma, sedikit rasa terkilan bila membuka beg simposium yang lawa itu, dan mendapati semua isi kandungannya dan kertas kerjanya ditulis dalam bahasa inggeris. Hanya satu kertas kerja sahaja yang ditulis menggunakan Bahasa Malaysia iaitu kertas kerja Profesor Madya Datu Haji Sanib.

Penulis berpendapat, sesuai dengan namanya, Simposium Budaya Sarawak, maka seharusnya bahasa rasmi yang digunakan ialah Bahasa Malaysia. Penulis berkata demikian kerana selama ini bahasa perpaduan yang menyebabkan 27 etnik Sarawak bersatu padu ialah Bahasa Malaysia, dan bukannya bahasa Inggeris. Rajah Brooke, penjajah Jepun dan British tidak meninggalkan instrumen untuk mempersatupadukan etnik yang berbilang kaum di Sarawak. Sejarah memberitahu kita bila mana Sarawak menyertai Malaysia, barulah proses mempersatupadukan diusahakan. Kabinet Sarawak yang pertama dibentuk dan kita ketahui pelbagai kaum, dan mereka sama-sama bekerja membangunkan Sarawak. Ketika itu Bahasa Inggeris hanya digunakan oleh segelintir masyarakat sahaja. Hari ini pun. Pergilah ke Pasar Satok, adakah kita mendengar penjual ayam atau ikan menyebut "chicken...chicken...atau fish...fish..fish...?"

Lainlah jika kita ke Spring atau Baulevard. Realitinya, bahasa yang dimudah difahami dan dimengerti ialah Bahasa Malaysia, bahasa rasmi kita. Bukannya bahasa Inggeris. lainlah kita terpaksa menulis tesis MA atau PHD ke universiti luar negara. Sudah tentulah Bahasa Inggeris menjadi kemestian.

Untuk apa menganjurkan majlis ilmu, dan pemikir setiap kaum bangsa yang diwakili kemudian bercakap dalam bahasa Inggeris? Mana jadi diri dan elemen budaya sebenarnya yang hendak dipertahankan? Jika selama ini, Bahasa Melaysia mampu menjadi bahasa perantaraan dalam mengeratkan lagi pelbagai kaum di Sarawak, justeru kenapa kepentingan bahasa itu dikorbankan?

Adakah Bahasa Inggeris dapat menjadi bahasa yang difahami dalam Simposium tersebut? Pada pendapat penulis tidak, sebabnya rasta-rata yang penulis temui agak kesal hal tersebut berlaku. Seperti kata salah seorang peserta, semuanya sudah cantik, hebat dan berprestij, tapi sayang ida tidak faham kesemuanya apa yang dibacanya dalam kertas kerja berkenaan. Beliau hadir mewakili kaum yang diwakilinya.

Penulis berpendapat, ada baiknya elemen Bahasa Malaysia tidak diketepikan dalam semua aspek di Sarawak memandangkan bahasa itulah yang digunakan secara meluas. Hakikat bahasa Inggeris diterima pakai semua orang aku, cuma realitinya hanya di bandar besar sahaja. pergilah ke pedalaman, paling tidak pun ke Pekan Lachau, Betong dan Kapit. Boleh dikatakan Bahasa Inggeris tidak laku di sana.

Perlu diingatkan bahawa bahasa bukan hanya alat atau sistem linguistik yang formal bahkan juga alat budaya dan sosial. Manusia tidak akan mampu melahirkan apa-apa yang baru, yang kreatif, jikalau mereka hanya mengambil atau mengulangi ilmu yang sudah ada, dan sudah diketahui umum dalam bahasa asing.

Akhir sekali sekadar untuk renungan, apakah gunanya bersimposium budaya jika kita sendiri telah mencemar dengan amat zalim dan kejam sekali budaya bangsa kita sendiri dengan menggunakan bahasa Inggeris. Walhal simposium budaya tersebut adalah untuk difahami dan direnung oleh anak bangsa kita. Apa guna kita beresolusi jika anak-anak bangsa tidak mengetahuinya? Adakah kita mengharapkan penyelidik daripada luar negara yang hadir untuk memahami budaya kita, dan gah berbangga kerana kita ada resolusi untuk anak bangsa kita dalam bahasa Inggeris agar penyelidik luar negara mengetahui bahawa kita telah beresolusi kononnya untuk memajukan kaum bangsa kita sendiri? Jawapan ada pada pembaca sendiri. Teringat kata-akata nabil, lu fikirlah sendiri...

Wednesday, June 17, 2009

PEKASA Kuasa Dua

Beberapa hari yang lalu telah berlangsung Mesyuarat Agung Ke-4 Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA). Alhamdulillah, semuanya berlangsung dalam suasana yang harmoni dan waras walaupun beberapa hari sebelum itu dikhabarkan terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menghantar pesanan ringkas (sms) yang mengelirukan dengan mengatakan bahawa mesyuarat tersebut ditunda pada tarikh yang lain.

Pada saya, adalah asam garam dalam sebuah persatuan atau kepimpinan bila berlaku bermacam-macam hal yang pada kita luar biasa sifatnya, tapi tidak kepada golongan yang faham akan realiti hal seperti itu. Bila ada permasalahan, itulah tanda adanya kehidupan di sekeliling kita, dan "kehidupan" seperti itulah yang akan mendewasakan dan memberikan pengalaman kepada kita.

Semua hal ini ada diceritakan secara berseni dan berfakta dalam buku Choosing Caviility oleh Dr. P.M. Forni. Berbalik kepada cerita PEKASA, amat besar tanggungjawab yang harus PEKASA lakukan sekarang. Saya berkata begini kerana dalam suasana isu bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik yang belum muktamad sehingga sekarang seolah terbentuk dua kumpulan dalam kalangan rakyat Malaysia, dan di Sarawak hal ini tidak terkecuali.

Kumpulan pertama menyokong usaha ini dan kelompok kedua pula ialah membantah. Akhirnya, ada pihak beranggapan bahawa yang menyokong pemansuhan pengunaan BI untuk subjek tersebut adalah golongan fanatik bahasa dan menentangnya pula dilabel sebagai tidak memahami budaya bangsa.

Bukan tujuan saya untuk menjelaskan kenapa dan mengapa hal ini berlaku, cuma yang amat penting sekarang itulah tempias yang PEKASA akan hadapi dalam realiti sekarang. Amat banyak harapan yang disandarkan kepada PEKASA dalam membudayakan ilmu dalam kalangan penulis Sarawak, khususnya. Insya-Allah, dengan kerjasama dan sokongan semua kepimpinan baharu PEKASA yang terdiri hampir semuanya golongan muda, maka diharap impian itu akan menjadi kenyataan.

Kata-kata Sukarno berkaitan golongan muda terlalu kerap untuk diungkap di sini. Saya hanya ingin mengajak pembaca berfikir sejenak, jika kuasa besar seperti Amerika Syarikat, mengambil langkah berani memberi tanggungjawab kepada golongan muda dalam banyak hal berkaitan negara dan kepimpinannya, maka seharusnya itu berlaku juga di negara kita. Beri peluang kepada golongan muda memulakan, gagal, bangun dari kegagalan, dan memperolehi pengalaman daripadanya. Insya-Allah berkat belajar daripada pengalaman, semuanya akan menjadi mudah, dan itulah yang ditegaskan oleh baginda Saidina Ali r.a dan diakui benar oleh bijak pandai kemudiannya seperti Einstien dan Thomas Edison.

Jadi, yang harus dilakukan sekarang ialah merancang, berkerjasama dan terus fokus kepada program yang terancang. Mudah-mudahan usaha ini akan dipermudahkan...Amin.

Elipsis Siber.

Al-Kisahnya maka bila tertera di kaca tv dan akhbar hari ini dengan tajuk besar bahawa "Penjawat Awam dilarang Guna Modem untuk Internet" maka riuhlah satu Malaysia. Radio sensasi di Malaysia, HotFm, turut menjadikan isu ini sebagai tajuk sembang pagi. Maka banyaklah pro dan kontranya.

Menurut BERNAMA, begitulah nadanya jawapan PM kepada YB Teresa Kok (DAP). Namun walau apa-apa pun penulis berkayakinan bahawa kerajaan tidak akan bertindak semberono. Jika benarlah kakitangan awam tidak dibenarkan menggunakan kemudahan moden untuk membuat capaian terus ke Internet, maka amat malanglah nasib penjawat awam di Malaysia. Penulis berkata demikian kerana jika kita renungkan hari ini semua yang berkaitan kerajaan termasuk borang pun sudah ada dalam bentul dalam talian (online).

Jika benar kakitangan awam tidak dibenarkan akses kepada Internet di waktu pejabat harus apa gunanya semua yang bergelar "e" (elektronik)? Malah, kerajaan juga telah mewujudkan laman web "goverment" untuk memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia dan warga asing berurusan secara online.

Mungkin yang hendak PM disampaikan secara tersirat kepada kakitangan kerajaan melalui jawapan tersebut ialah, jangan habiskan 8 jam masa di pejabat dengan hanya melayari Internet atau melayari YouTube, serta menonton filem Korea dan bersembang menggunakan rungan sembang yang banyak terdapat di alam siber, untuk tujuan peribadi.

Kakitangan awam wajar dibekalkan bersama dengan kemudahan teknologi maklumat dan kemudahan Internet. Urusan untuk menjawab apa-apa jua pelbagai perkara berkaitan masalah rakyat dan masyarakat mudah dilaksanakan. Cuma, berbalik kepada persoalan asas yakni pokok pangkalnya terpulang kepada diri individu itu sendiri. Sebab itulah terhasil perpatah Melayu, "tepuk dada tanyalah diri sendiri".

Persoalan sekarang yang harus diwar-warkan bukan fahaman katakan "tidak" kepada Internet untuk kakitangan awam, sebaliknya "bagaimanakah" kakitangan awam manfaatkan Internet dalam kerja seharian mereka yang diamanahkan melalui setiap sen duit rakyat.Amat malang jika ada dalam kakitangan awam hari ini yang masih buta teknologi maklumat, dan berfikiran singkat beranggapan bahawa kemudahan Internat memberikan masalah, walhal banyak lagi yang positifnya jika kita terus berfikiran positif.