Terlalu banyak task aku terpaksa kejar dan akibatnya blog lama tidak aku updatekan. Walau tidak ada sesiapa pun yang akan memarahi aku, namun merupakan ‘Arahan Tetap’ untuk diriku sendiri agar dapat update blog setiap mingu, sekurang-kurangnya, atau melaporkan apa-apa jua aktiviti yang aku lakukan seadanya melalui blog.
Objektif aku dengan berkaitan blog ialah memastikan aku terus menulis dan menulis. Sejak kembali bekerja atas urusan rasmi dari Miri, Bintulu dan Sibu, perjalanan aktiviti aku terus berkembang dengan pelbagai lagi aktiviti lain. Antanya yang aku cadang untuk lapor dalam blog kali ini ialah perjalanan serombongan ahli kelab kami ke kuala lumpur sambil bersukan dan shopping.
Selama bekerja dengan organisasiku sekarang, ulang alik ke Kuala Lumpur atas urusan rasmi merupakan sesuatu yang biasa. Terima kasih kerajaan Malaysia dan organisasiku. Namun, dalam banyak kali pemergian ini, hanya beberapa kali aku akan pergi secara berombongan dengan rakan staf pejabat kami yang lain. Seingat aku, atas nama kelab di jabatanku, dan pergi ke Kuala Lumpur menggunakan peruntukan kewangan kelab, maka ini adalah yang pertama kalinya. Boleh dikatakan pemergian kali ini, secara A – Z nya ditanggung oleh kelab. Terima kasih kepada pengurusan kelab kami bagi sesi kali ini yang kreatif dan bijaksana dalam mengumpulkan wang, serta seterusnya dimanfaatkan oleh ahlinya. Tahniah!
Pemergian rombongan kami yang pada asalnya seramai 20 orang, berkurangan sehingga 18 orang disebabkan alas an pihak pengurusan (tidak membenarkan beberapa orang staf mengikuti atas alas an perkhidmatan) dan penarikan beberapa orang lain atas masalah peribadi. Secara bersahaja, aku mendengar juga rungutan pengerusi Kelab kami yang sedikit kesal kerana penarikan diri dan alas an pengurusan dijadikan alasan kerana tiket sudah pun dibelikan. Bila tiket sudah dibeli, untuk menebus semula adalah suatu yang merugikan kerana ianya melibatkan penambahan RM. Yang jelas, aku yakin, pihak pengurusan akan membayar wang yang hangus itu, dan mereka yang menarik diri, juga bersetuju untuk membayar balik harga tiket tersebut. Inilah kesefahaman dan ‘bestnya’ organisasi aku yang memahami akan tanggungjawab dan komitmen mereka sendiri.
Kali ini kami ke Kuala Lumpur untuk bersukan. Kemenangan bukan misi utama. Ada lagi misi yang lebih besar berbanding kemenangan yang bersifat sementara. Misi kami ialah mengeratkan lagi hubungan yang terjalin antara pihak di ibu pejabat dan cawangan. Itu yang utama. Hubungan yang sedia ada erat terjalin, akan kami simpulkan agar tetap kekal erat dan penuh sefahaman. Inilah misi dan harapan utama kami sebagai penyambung, dan bakal pewaris kepimpinan sedia ada.
Cabaran yang organisasi kami hadapi ketika ini memerlukan barisan staf sedia ada bersatu. Dalam keadaan yang sama, untuk menyatukan manusia bukanlah suatu yang mudah. Kami menyedari akan hal ini, dan untuk itu kami juga yakin, untuk bersatu tidak akan dapat dilaksanakan melalui gerak geri kepimpinan sahaja atau melalui memo atau pekeliling.
Sikap manusia yang pelbagai memerlukan kita merancang sesuatu yang menarik minat manusia untuk sama turut serta dalam sebarang aktiviti yang menjurus kepada kesatuan, dan penganjuran aktiviti bersifat sukan, dan sekali gus lawatan ini merupakan salah satu ideanya yang manusia pasti akan suka.
Pelaburan sedikit RM akan memberikan kesan jangka panjang. Hal inilah yang kerap dan selalu diwar-warkan yakni perjuangan itu perlukan pengorbanan. Inilah pengorbanan yang dilakukan oleh kelab kami sebagai salah satu misi jangka panjang untuk kelab dan organisasi.
Perjalanan kami bermula pada hari Jumaat. Awan jahat yang tebval menguasai laluan Kuching – Kuala Lumpur, memberikan debaran kepada kami yang menaiki pesawat syarikat penerbangan murah ‘luar biasa’ itu. Keseronokan bersama-sama rakan-rakan lain dalam satu pesawat, serta diselitkan dengan pelbagai gurauan, Berjaya menepis kegusaran dan rasa takut berhubung apa yang berlaku. Benar! Gegaran dalam pesawat kali ini amat mendebarkan.
Sebaik pesawat mendarat di tempatnya, timbul pelbagai kelucuan bila melihat riak wajah rakan-rakan lain yang lega sebab azab kegerunan sudah tiada lagi. Sambutan oleh pihak ibu pejabat dengan bas mewahnya berwarna hijau, sedikit sebanyak memberikan tanggapan akan ketulusan pihak mereka menyambut kehadiran kami.
Aktiviti pertama kami di Kuala Lumpur ialah makan malam di Restoran 1Malaysia. Secara kebetulan sesuai dengan namanya, menambahkan lagi keghairahan kami merealisasikan konsep ukhuwah. Kekadang, dalam sibuk menjalankan tugas seharian, hal-hal sebegini kita lupakan.
Keesokan harinya kami memulakan misi kami dalam pertandingan sukan, yakni badminton, karom, congkak dan futsal. Pasukan badminton kami pada penilaianku, memang mantap dan ligat. Cuma, mungkin kurang latihan bersama, lantaran tidak ada lagi tempat latihan kami di pejabat seperti sebelumnya.
Berdasarkan persembahan yang ditunjukkan, wira pejuang kami, misi kemenangan bukan yang utama, tetapi lebih kepada kepuasan bermain dan mengeratkan ukhuwah. Kami kalah tipis (kalah bermaruah?) kepada lawan yang sememangnya mengaum menunggu kehadiran skuad kami.
Congkak, permainan tradisional yang kerap kita dengar, tapi tidak semua kita pernah bermain permainan tersebut. Yang menariknya skuad hawa kami memberitahu dengan sejujurnya, inilah pertama kali mereka bermain congkak. Agak lucu dalam pertandingan, bagi yang bertanding inilah kali pertama mereka bermain congkak. Dan keputusan pertandingan sudah dapat di agak, kami kalah tipis juga. Sebagai hukuman kepada skuad hawa yang kalah, secara gurauan kami memberitahu bahawa masa untuk mereka membeli-belah di Jalan TAR, akan disingkatkan. Gurauan yang meriuhkan lagi suasana pertandingan.
BIla dinamakan pertandingan, sebaiknya kita ada persiapan mental dan fizikal. Paling tidak pun latihan. Tetapi hal ini tidal berlaku kepada skuad kami lantaran pengendalian projek dan kerja rasmi seharian yang tidak putus-putus, dan sebelah malamnya pula menguruskan beberapa kerja lain yang terpaksa juga dilakukan untuk menjaga hubungan dengan pihak lain. Masa tidur malam hanya ada sekitar 5 atau 4 jam sahaja sepanjang minggu sebelum ke sini.
Selain daripada itu, aku telah diminta oleh seorang kawan untuk draf teks ucapan ketua menteri Sarawak dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak bagi satu majlis yang akan berlangsung pada 22 Mac depan. Aku membahagikan masaku kepada beberapa bahagian untuk tujuan menguruskan kesmuanya. Masa yang terlaung aku manfaatkan untuk menyiapakan teks ucapan berkenaan. Namun, bila menulis sudah semestinya akan nada yang kita sendiri tidak puas hati, dan akan memperbetulkannya sehinggalah pada kita sempurna dan bermutu. Itulah jua berlaku dalam kes aku menyiapkan teks tersebut.
Alhamdulillah, sehingga ke lewat malam 18 Mac aku masih duduk di hadapan laptop ini sambil menaip teks ucapan TKM Sarawak yang pada masa yang sama aku benar-benar tidak ada idea menulisnya. Mungkin disebabkan faktor kepenatan dan masa, (aku diminta emel sebelum 19 Mac 20111) benar-benar aku akui memang tidak ada idea, lagipun latar majlis berkenaan aku tidak diberitahu secara jelasnya.
Berbalik kepada cerita karom, aku diminta untuk bermain secara regu berpasangan. Sememangnya aku meminati bermain karom, namun pengalaman aku bermain karom hanyalah di peringkat organisasi sahaja. Satu hal yang menarik berlaku ketika di pertandingan karom kali ini ialah papannya teramat licin bagiku. Selama usia sehingga sekarang ini, aku tidak pernah jumpa papan karom yang licin seperti itu. Agak kelakar juga bila bermain, aku tidak dapat mengawal kekuatan untuk menjentik buah karom.
Persaingan beregu ini amat mencabar dan menarik sekali. Rasanya dengan 6 buah pasukan yang bertandingan, meja kami yang menjadi perhatian. Hal ini disebabkan perlawanan rancak kami. Bunyi sokongan dan tepukan menguasai persekitaran perlawanan kami, dan akhirnya kami tumbang selepas satu buah hitam yang sipi masuk ke lubuangnya, walaupun sudah bermain secara 5 set!
Kami pasrah dengan kekalahan setelah berjuang ini, ayat untuk menyejukkan hati sendiri. Jam 1230 tengah hari kami bertolak ke ‘stadium futsal’ di ampang. Semangat untuk bermain berkobar-kobar, sebabnya sukan futsal menjadi kegemaran setiap kali selepas habis waktu pejabat. Walaupun bukan bertaraf ‘hero’ dalam pasukan, yang penting senaman dilakukan.
Memang dalam kumpulan kami terdapat beberapa orang yang hebat persembahannya bila bermain futsal. Pada aku mereka ini memang orang yang berstamina. Salah seorang daripada mereka ialah Mazlan. Bila melihat persembahannya ketika bermain, aku pasrah, Tuhan Maha Adil, walau aku tidak sehebat Mazlan, tapi aku juga berpeluang bermain bersama Mazlan...Ayat motivasi yang bagus untuk diri aku sendiri.
Sebaik tiba di ‘stadium futsal’, skuad futsal kami terkejut seketika kerana dimaklumkan bahawa kami akan bermain di gelanggang utama futsal, yakni yang bersaiz standard FIFA. Walhal kami di Kuching kerap berlatih dan bermain di padang futsal bersaiz gelanggang tenis. Dsebabkan itu, secara beransur-ansur memberikan kesan psikologi kepada skuad kami yang sememangnya kurang berlatih, dan ketidakupayaan bertahan dari segi tenaga untuk bermain dalam gelanggang sebesar itu.
Keputusannya sudah diramail, kami kalah tipis juga...ada yang bertanya apa bezanya kalah tipis dan kaalah. Jawapan aku mudah sahaja, kalah tipis bermaksud kalah dengan argriget yang tidak terlalu besar. Kalau 18-1 itulah kalah. Ayat motivasi yang bagus untuk diri sendiri.
Pada sebelah malamnya kami dipelawa ke majlis makan malam meraikan kami. Seekor kambing dikorbankan dan dipanggang untuk meraikan kami. Majlis yang diserikan dengan ucapan oleh wakil Ketua pengarah kami, pengerusi badan keluarga organisasi kami dan pengerusi badan keluarga kami itu, diserikan dengan persembahan karaoke dan pertukaran hadiah dan cenderamata.
Aku suka suasana santai majlis tersebut. Inilah peluang untuk kami mengeratkan lagi hubungan dan bersembang. Dan itulah berlaku kepada 18 orang kami yang memanfaatkan ruang dan peluang tersebut. Malam semakin larut dan kami akhirnya meminta izin pulang ke hotel.
Malam ahad adalah malam jem di Kuala Lumpur. Kami menikmatinya, dan secara sedar aku terfikir, Kuala Lumpur bukan bergelar kuala lumpur kalau tidak mengalami kesesakan. Sesampainya kami di hotel jam sudah menunjukkan hamper jam 12 malam.
Catatan ini adalah untuk seharian ini. Aku bersyukur kerana dengan kesibukan yang seadanya, aku dapat juga melaksanakan segala perintah-NYA, dan memastikan ahli keluargaku sejahtera semuanya secara jarak jauh. Kepada semua rakanku yang terlibat dalam rombongan kali ini, terima kasih kerana gurauan dan ketawa kalian semua membuatkan kepenatan dan keletihan dalam mengurus dan mentadbir semuanya menjadi kepuasan dalam memberikan khidmat terbaik kepada kalian. Terima kasih dan Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment