Tuesday, December 14, 2010

Al-Fatihah Buat Abdul Nassir Said

 Ajal dan maut milik Tuhan sepenuhnya. Kita sebagai hambanya hanya menerima dengan reda. Hari ini dua berita kematian yang diterima. Yang pertama diterima melibatkan kematian seorang rakan seperjuangan. Khabarnya beliau meninggal dunia disebabkan faktor kesihatan. Dan lebih sayu mendergarnya bahawa beliau merancang perkahwinannya pada tahun hadapan.

Berita kematian yang kedua melibatkan seorang rakan yang agag rapat dengan penulis. Kami mulai saling mengenali sewaktu bersama-sama berkursus di Hulu Langat. Walaupun sama bekerja dibawah satu organisasi, disebabkan kami tidak di cawangan yang sama, maka awalnya kami tidak rapat. Hanya memberikan senyuman ketika bertembung, suatu yang menjadi kebiasaan kepada dunia lelaki.

Duduk sebilik dengan Allahyarham Abdul Nassir Said dan Mohd Azizan, memberikan pengalaman baru memandangkan kami dari latar pendidikan yang berbeza. Allahyarham merupakan mahasiswa lulusan UM, dan pernah menjadi tenaga pengajar di universiti sebelum menyertai organisasi kami. Dengan berlatar belakangkan ilmu bahasa, Allahyarham memang layak bergelar Pegawai Perancang Bahasa. Berbanding penulis dengan Azizan, kami berdua hanya lulusan komunikasi dan pentadbiran awam, dan mencari rezeki di organisasi yang kerjanya adalah untuk membentuk bangsa Malaysia.

Allahyarham seorang yang suka berbincang, bertukar pandangan dan adakalanya kelakar dalam perbincangan. Sehingga kini walau sudah agak lama tidak bertemu, namun kami masih berhubung melalui telefon bertanyakan khabar dan bertukar pandangan berhubung kerja.

Apabila penulis bertugas di bahagian majalah, kami kerap berhubung bertukar idea mengenai isu semasa dan isu-su berkaiatn bahasa dan sastera. Salah satu yang penulis kagumi berkaitan Allahyarham ialah kesungguhannya untuk menghasilkan penerbitan sendiri, yakni majalah etnik. Allahyarham pernah memberitahu penulis bahawa beliau puas apabila menghasilkan penerbitan berkala. Semua penat lelah dan kesukaran akan hilang apabila majalah yang kita usahakan siap dan boleh dibaca semua pihak.

Allahyarham juga suka manfaatkan setiap masa dengan ilmu. Allahyarham pernah menyuarakan hasratnya untuk membukukan pengalamannya selama di Sabah dalam bentuk buku kerana,menurut Allahyarham pengalaman yang dia alami di Sabah, semasa melakukan penyelidikan dan kajian mendekatkan lagi beliau kepada suku kaum etnik di Sabah, dan sekaligus beliau mudah memperolehi bahan yang beliau perlukan.

Malah, Allahyarham pernah memberitahu bahawa beliau ada keluarga angkatnya di Sabah, tempat beliau menumpang kasih setiap kali rindu kepada kaum keluarnya di Pulau Pinang. Allahyarham menyukai kerjanya. Allahyarham juga menyukai persekitaran kerjanya dan kerjasama darpada rakan-rakan beliau yang lain.

Kali terakhir ketika menghubungi Allahyarham, beliau menyuarakan hasratnya untuk berehat panjang kerana menurut beliau, penat juga dengan kerja seharian. Pada pendapat penulis, itu ayat yang biasa daripada kita bila berbual. Namun seminggu kemudiannya, penulis menerima khabar berita bahawa Allahyarham telah tiada....

Penulis hanya berdoa agar Allahyarham sejahtera, dan ditempatkan bersama-sama golongan ahli syurga. Hanya itu yang penulis mampu lakukan yakni berdoa kepadaNYA....Al-Fatihah buat saudarku Abdul Nassir Mohd Said.

No comments: