Saturday, January 5, 2019

Hasil cukai pelancongan RM2.7 juta kecil, namun bermanfaat untuk S’wak

Sarawak dianggarkan layak menerima agihan hasil cukai pelancongan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM2.7 juta.Namun, sehingga hari ini Sarawak masih belum menerima bayaran tersebut yang di bawah kuasa Kementerian Kewangan.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara itu pernah disentuh beliau pada Sidang Dewan Undangan Negeri November lalu.
Bercakap pada sidang media selepas majlis pelancaran Anugerah Pelancongan Kenyalang Sarawak 2017/ 2018 di Rumah Mahkamah Lama, Karim berkata beliau “tiada idea” berkaitan punca isu tersebut, tetapi berjanji berusaha mendapatkannya.
Menurut Karim, dalam pengetahuannya Sabah sudah menerima pembayaran agihan hasil cukai ini melalui maklumat diberikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew Chin Jin dikunjunginya baru-baru ini. 
Bagi Karim, jumlah itu mungkin kecil, tetapi ia bermanfaat untuk merancakkan industri pelancongan Sarawak.Beliau berharap Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi maklum isu tersebut dan berharap beliau dapat menyelesaikannya demi kebaikan negeri ini. 

Thursday, February 15, 2018

UCAPAN TOKOH PENERIMA ASN-Ke13

UCAPAN PENERIMAAN ASN 13 (26 APRIL 2016, HOTEL MARRIOT PUTRAJAYA)
Bismillahhirrahmanirrahim
Yang Berhormat Dato’ Seri Mahzdir  bin Khalid,
Menteri Pendidikan Malaysia,
merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara Ke-13;
Yang Berbahagia Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh bin Yaapar,
Pengerusi Lembaga Pengelola, 
Dewan Bahasa dan Pustaka;
......................(seterusnya)

Syair: 
Assalamualaikum tuan bestar
Salam sejahtera seluruh negeri
Di pentas ini hamba berdiri
Teramat kecil rasanya diri

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT yang maha esa yang memakbulkan doa sekalian hamba-Nya. Dialah yang menentukan dan mengurniakan kelebihan mengikut ketetapan. 

Saat ini, walau syair telah dirangkap dan seribu madah mungkin diungkap namun tirai rasa tak mungkin disingkap. 

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang telah mengwujudkan Anugerah tertinggi di bidang sastera ini. Terima kasih yang khas ingin saya sampaikan kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong kerana sebenarnya Tuanku sendiri ialah sumber yang menyubur dan memperkaya semangat saya dalam mengharungi dunia sastera. Izinkan saya menceritakan peristiwa puluhan tahun yang lalu yang selamanya dikenang dan kini kembali berkembang. Semasa saya masih di Tingkatan 5, Tuanku telah membuat lawatan ke sekolah saya iaitu Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah. Seorang guru yang mengetahui minat dan  kegiatan saya telah mencadangkan supaya saya mengumpul sajak-sajak saya yang kemudian disusun menjadi album dan dihias cantik oleh guru tersebut yang juga merupakan seorang pelukis negeri Kedah bernama  Cikgu Saidin Yahaya.

Dalam lawatan itu Tuanku telah ditunjukkan album tersebut. Saya  menunggu dengan debaran dan penuh harapan. Setelah itu, Cikgu Saidin memberitahu di hadapan sekumpulan guru dan pelajar yang Tuanku telah menatap album tersebut dan menatap sajak-sajak di dalamnya. Menurut Cikgu Saidin, Tuanku Sultan bertitah memuji sajak di dalamnya dengan kata-kata “Bagusnya budak sekolah ini boleh menulis sajak”. Titah itu sangat besar ertinya bagi patik. Ia telah meninggalkan kesan yang amat positif. . Sesungguhnya baginda telah menyemarakkan semangat saya untuk membaja dan menyiram benih-benih puisi yang baru belajar bertunas di bendang hati pada ketika itu. 

Saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat-Nya saya dapat berada dalam majlis yang gilang-gemilang dan penuh bermakna ini. Setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerja keras bagi memungkinkan keberadaan dan kegemilangan ini. Rasa terhutang budi khasnya kepada mereka yang memilih saya bagi menerima  pengiktirafan ini dan terima kasih kepada semua penerbit yang pernah menerbitkan karya saya termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Penerbit Pekan Ilmu dan penerbit terawal, iaitu USM Press. Sesungguhnya banyak pihak telah membantu dan memainkan peranan masing-masing sehingga saya dapat berdiri di hadapan hadirin pada malam bersejarah ini. 
Tuan-tuan yang dihormati,
Tahun enam puluhan
saya mencuri-curi ke kedai simpang
Membeli buku tulis dan pena sebatang
Untuk melakar bunga-bunga puisi
Yang baru belajar berkembang

Zaman tanpa komputer
mesin taip pun tak terpandang
di tengah bendang
tak terbayang oleh para ayah yang sibuk 
membanting harapan
dan menuai kehampaan 

Sehari-harian melakar tulisan membulatkan aksara
Agar terbaca oleh Tuan Pengarang
Orang tua-tua mula melepas rungutan
Mengapa saya, anak perempuan asyik menulis di meja
membaca buku, 
tidak menjahit dan menyulam
Seperti gadis-gadis kebanggaan

Demikianlah gambaran sebahagian daripada liku-liku perjalanan yang ditempuhi oleh seorang anak perempuan yang mengatur langkah di jalan sastera. Ia disebut di majlis yang permai ini sesuai dengan kedudukan diri sebagai wanita pertama yang dianugerahi gelaran Sasterawan Negara, sesuatu yang ditunggu dan tidak kurang juga dipersoalkan sejak lama. Sesungguhnya mencari tapak berpijak sebagai pengarang wanita hampir 40 tahun yang lalu bukanlah mudah. Saya berhadapan dengan latar masa dan budaya yang berbeza yang mungkin tidak dikenali lagi pada hari ini. Saya mula mencintai buku dan penulisan sejak 40 tahun yang lalu, ketika orang tua-tua masih bertengkar adakah wajar membenarkan anak perempuan belajar di sekolah menengah yang semuanya jauh di bandar.

Namun begitu, syukur kepada Allah SWT yang telah memberikan pertolongan-Nya, mengurniakan hidayah dan sifat tabah sehingga dapatlah hambanya mengunyah yang payah. Selangkah demi selangkah dapatlah saya merentas jalan sukar mengharung semak belukar.
Tahun lapan puluhan karya sudah agak banyak tersiar
Nama dan gambar tercetak di akhbar
Saya sudah mampu memiliki sebuah mesin taip kecil
 menaip dengan cermat
Menaip semula setiap menukar aksara dan kalimat
Kebas bahu dan tangan terasa putus urat-urat 
Sebelum sampai ke akhir muka surat.

Menjelang tahun 2000 alangkah bahagia
Komputer sudah tiba

Dan kini setelah menyeberang milenium
Menerawang di sesawang
Ribuan puisi lahir setiap hari
Keluaran tak terkawal bentuk tak kukenal
Sehingga terasa ada yang tidak ketahuan hala
Dengan ledakan penerbitan mandiri
Dan lambakan novel-novel popular

Demikian landskap hari ini jauh berbeza daripada tahun-tahun yang lalu ketika mula menjejakkan kaki di laman seni. Pada masa itu kami memandang kepada pengarang yang sedang giat berkarya seperti Pak Sako atau Ishak Haji Muhammad, A. Samad Ismail, Keris Mas, Usman Awang, A. Samad Said, Salmi Manja, dan Adibah Amin. Nama-nama inilah yang kami genggam dalam ingatan sebagai idola dan sumber kekaguman. 
Namun sekarang keadaan jauh berbeza. Tiba-tiba terasa semua orang boleh menjadi pengarang. Setiap saat akan terbit karya secara cetakan atau melalui dunia maya. Hal ini merupakan suatu kelebihan. Ada yang berbakat dan mudah untuk mengasah bakat mereka. Ada yang menyedari bakat dan kelebihan diri lalu beraksi dengan bangga.
Hinggakan:

Di simpang siur kota siber yang riuh
Saya merasa kecil dan jauh.
Tak kurang telinga ini mendengar suara-suara mencemuh
“Ah apalah gunanya mereka menulis dan menjaga nilai sastera
Konon bergelar sasterawan besar
menghasilkan tulisan menjana pemikiran
Memperkasa  minda bangsa memartabatkan bahasa
Sedang kami di sini tanpa sebarang anugerah menulis sesedap rasa. 
Tidak perlu penerbit berjenama.
Sebahagian kami mencetak dan menjual sendiri 
dan orang ramai berkerumun membeli .
Untung berganda  menerima habuan royalti
yang tidak mampu dikecap oleh yang bergelar sasterawan
walaupun dalam mimpi. 

Dunia penerbitan menjadi riuh sekali. Penulis ada di mana-mana. Penerbit tumbuh dengan kepelbagaian idea dan gaya.
Lalu terdengarlah khabar tentang pasaran buku yang begitu subur dan segar. Alhamdulillah jika itu sudah rezeki pemberian Ilahi. Antara  penulis ini ada yang memperlihatkan bakat dan keikhlasan. Hal ini amatlah dialu-alukan. Semua ini merupakan satu keberuntungan, petunjuk bahawa tradisi pengucapan kreatif dan  sastera Melayu semakin meningkat dan berkembang maju.
Sesungguhnya kita memerlukan pewaris untuk menyuburkan  rimbun subur harapan pada masa kini dan masa depan. Janganlah mengesyaki  bahawa telah bersarang rasa  iri hati kepada golongan yang memperoleh rezeki.
Namun daripada rasa cinta akan bahasa dan bangsa, kami berharap jadikanlah kepopularan diri untuk membawa rakan sebaya ke jalan hidup berbudaya. Teruskanlah menghasilkan tulisan yang diikuti dan diminati untuk membina angkatan generasi yang mempunyai kekuatan diri. Semoga bertambah teguhlah kita sebagai bangsa berperibadi, beradat dan bertradisi. 
Semua pihak akan berbahagia seandainya penulis semasa mengutamakan tertib bahasa dan santun susila, membina kekuatan perbukuan dengan nilai pemikiran, bukan semata-mata khayalan dan hiburan. Usahlah menambahkan calar bahasa dengan celaru nahu, pulanglah mengenal aksara perjuangan nenek moyang. Tataplah peta lama yang  terpahat di dinding rumah pusaka. 
Kutiplah makna daripada catatan masa silam sebelum ia terpadam
Selamilah lautan madah pujangga mengutip kerdipan mutiara makna
Jangan dilupa pantun pusaka
Kenali permata bernama seloka
Tajam mengkritik  dalam jenaka
Fahami nasihat dan pedoman yang tersulam dalam gurindam
Hayatilah syair yang bertema dan berima
Nazam yang menyebar ajaran agama

Pasir putih di pinggir kali
    Tempat menyabung ayam berlaga
Bahasa tidak dijual beli
     Bukan benda buat berniaga.

Semoga lahir pengarang muda bestari berpaksikan kebijaksanaan tradisi. Jadilah benteng yang memperteguh kota diri di kala bahasa kita cuba dihakis dari kanan dan kiri. Semoga akan terlerai keserabutan yang menyukarkan usaha merancang, membentuk dan membina perkembangan kebudayaan yang diperlukan bagi menjamin kestabilan dan kelangsungan kita sebagai sebuah negara yang aman.  
Negara menjadi gah dan maju bukan sahaja kerana pertumbuhan pendapatan, kemajuan prasarana fizikal, dan kecanggihan teknologi. Kemajuan  ditentukan oleh kemajuan jiwa dan rohani yang membentuk watak dan akhlak. Kemajuan terhapus di tangan manusia rakus dan politikus yang menikus. Pembangunan yang tidak seimbang tidak menjamin keselesaan apabila jenayah membiak dan mengancam keselamatan. Kebendaan memerangkap manusia dalam pencarian yang tidak bertemu kepuasan. Jika Shakespeare mengatakan bahawa dunia sebuah pentas sandiwara, maka dunia masa kini ialah sebuah pasar raya. Bumi dicakar luka, hutan-hutan diratah untuk dibina rumah yang kemudian hampir habis direbut oleh hartawan hartanah sebelum sempat dimiliki oleh anak negeri yang memerlukan bumbung untuk membina keluarga. Sang spekulator yang mencari untung berkarung menolak  anak-anak masa depan ke lorong-lorong dan kolong lalu jenayah meningkat kerana mereka terpaksa menjadi ular dan lipan untuk mencari makan. 
Di sini izinkanlah saya menyampaikan setinggi setinggi penghargaan kepada suami saya Haji Mohamed Saaid Abdul Manap yang sanggup menggalas pelbagai tugas demi memberikan masa dan peluang untuk saya menulis. Saya juga mengenang jasa sasterawan sasterawan negara terdahulu yang telah memandu arah tuju termasuk Usman Awang, Abdullah Husin, A.Samad Said dan Shahnon Ahmad, dan semua pihak yang banyak berjasa dan tidak mungkin tersebut semuanya. Allah sahajalah yang membalas kebaikan dan budi yang dicurahkan.
Sebelum mengundurkan diri, izinkan hamba membaca sebaris dua puisi: 
Ladang kita luas terhampar
Banyak dedalu sedang menjalar
Dengan bahasa teguhkan akar
Sebelum pohon mati terkapar

Terima kasih.
Wabillahi taufik wal hidayah,
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tuesday, February 13, 2018

Hidup Semula, Selepas Seketika

Terlalu lama rupanya blog ini tidak diaktifkan. Kerana sibuk dan fokuskan penulisan lain, kesannya blog ini dilupai...Insya-Allah, blog ini akan dihidupkan dan diserikans emula selepas ini. Dan ini adalah "nyawa" pertama sebelum susulan lain yang akan datang. Insya-Allah.

Friday, November 27, 2015

Aku Menulis Petang Jumaat 27 November 2015


Alhamdulillah, aku baru menulis semula dalam blog ini yang hampir setahun dibiarkan sendirian. Saat mulai menulis, banyak perkara yang ingin disampaikan. Terfikir dan terimaginasi kononnya untuk membuat kepada beberapa bahagian.

Bahagian PERTAMA, kononnya isu samasa utama di dalam negeri.
Bahagian KEDUA, kononnya isu semasa utama di dalam negara.
Bahagian KETIGA, kononnya isu semasa utama di dunia.

Wow! Banyak rupanya angan-angan petang ini untuk ku tulis. Namun, apa pulangan yang aku dapat setelah berjaya menulis kesemuanya dalam blog ini? Kepuasan? Mungkin, ya kepuasan. Kepuasan yang mungkin seperti di alami oleh Adolf Hitler yang berjaya merancang perjalanan sulitnya sehingga sampai ke benua Amerika Selatan, untuk menyelamat nyawa dan idealoginya.

Atau juga kepuasan seperti mana Gerorge Bush berjaya menipu dunia dengan menuduh pelbagai dakwaan kononnya arwah Saddam Hussien menyimpan, menyembunyikan senjata pemusnah yang merbahaya, dan boleh mendatangkan ketidakstabilan keamanan dunia.

Hebat! Seluruh dunia dan PBB berjaya ditipu oleh George Bush. Contoh kejayaan Bush dalam menipu ini tidak pernah dikatakan bersalah oleh dunia. Maka demikianlah perjalanan dunia. Yang berkuasa akan terus berkuasa. Tiada undang-undang manusia yang mampu menganggu gugat.

Pada sesi dunia yang lain pula, seorang yang berusia 59 tahun yang miskin, dan akhirnya setelah tidak ada usaha yang lain, terpaksa mencuri setin susu untuk keperluan cucunya yang hendak menyusu. Malang nasibnya ditangkap oleh pihak kedai dan didakwa, seterusnya dijatuhi hukuman penjara 2 bulan.

Oppsss...Aku terlupa akan anganku berhubung tiga bahagian di atas tadi. Ya, alunan muzik Gia Gutawa yang aku dengar sambil melihat ombak Laut Cina Selatan di Damai Beach Resort, pada petang ini amat mengasyikkan sekali. Sesekali agak lucu juga bila membayangkan ombak menghempas pantai, seolah kecewa - laksana seorang yang kecewa. Yang jelas memang ketetapan alam untuk ombak menghempas pantai sama ada anda suka atau sebaliknya.

Dalam konteks pantai di Damai ini, aku suka bila ombak menghenpas pantai dengan harapan batu-batu yang terdapat di gigi pantai akan terbenam, dan tidak menganggu urusan mandiku merasai nikmat laut air masin.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa batu-batu yang bertaburan di sekitar Kampung Santubung dan Damai Beach Resort ini, aku umpamakan organ dalaman Puteri Gunung Santubong dan Puteri Gunung Sejinjang, pada saat mereka dikatakan bergaduh. Maka yang menang berkuasa maka jadilah Gunung Santubong.

Adapun batu-batu yang terdapat di seluruh bahagian tersebut adalah terhasil akibat kecederaan pergaduhan dua dewa gunung tersebut. Itulah yang selalu diceritakan oleh orang tua-tua kepada kanak-kanak pada masa dahulu.

Hari ini, kanak-kanak akan menghabiskan masa dengan bermain gadjet yang entah apa-apa. Kemajuan? Penguasaaan teknologi maklumat? Itulah yang dikatakan. Entah apa-apa. Dengan pelbagai dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan, dan dengan pelbagai harapan dilaksanakan pegawai kerajaan, serta dengan pelbagai idea yang tidak diselaraskan maka timbul pelbagai keadah yang pelbagai yang akhirnya membuat masyarakat aka generasi di tanah air tercinta menjadi bahan eksperiman aka tikus putih bahan uji kaji.

Oh ya, aku terlupa. Sekejap tadi ada menerima tweet daripada Perdana Menteri yang mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar Tingkatan 5 yang membunuh diri kerana tidak dapat menjawab soalan SPM.

Aku pun berdukacita juga, sambil merenung jauh keindahan alam kenapa sampai begitu sekali? Tidak ada apa yang kurang dalam negara bernama Malaysia ini. Semuanya sudah ada dan disediakan. Jabatan Kebajikan Masyarakat ada, Kaunslor untuk memberikan khidmat kaunsling pun ada di sekolah-sekolah. Jika ditanya salah siapa hal begini berlaku, adakah pihak yang akan tambil mengaku? Atau, jawapan yang akan diberikan itulah adalah takdir - ketetapan Tuhan.

Biarkan Si Luncai Terjun dengan Labunya...ungkapan yang terkenal dalam cerita Si Luncai. Tv di bilik masih menayangkan drma cerita Korea. Sambil sesekali aku merenung minah-minah salleh yang gembira berada di gigi pantai, lantas timbul persoalan dalam diri aku - "Berapakah agaknya wang yang dilaburkan oleh minah-minah Salleh berkenaan untuk datang ke sini?"

Tengah hari tadi aku bertegur sapa dengan salah seorang mereka. Katanya mereka berasal dari UK, dan datang ke sini kebetulan selepas melancong di Indonesia. Mereka ke sini melalui Pontianak, dan terbang ke Kuching.

Ini antara jawapan kepada beberapa persoalan yang aku dapat daripada Lisa (yang mengaku berusia 22) tahun. Aku terjemahkan kepada bahasa Melayu sebab tujuan aku menulis bukan untuk dibaca oleh orang putih pun hahahaha....

"Kami suka Borneo sebab alamnya yang masih hijau, dan kos murah."

"Wang yang aku gunakan untuk melancong diberikan oleh ayahku, dan sebahagian wang tersebut aku gunakan untuk menyumbang kepada pertubuhan amal yang aku jumpa disetiap tempat aku pergi melancong."

"Ayahku seorang arkitek, ibuku seorang guru."

"Jemput datang ke rumah kami, dan aku akan pastikan berikan layanan terbaik kepada awak," Ujar beliau kepada aku. Wow! Bilalah aku mampu untuk ke UK.

Untuk makluman semua, kos tambang kapal terbang ke UK jika menggunakan penerbangan MAS, ialah sekitar tiga rubu lebih. Yang menariknya, jika menaiki penerbangan MAS maka dapatlah merasai keindahan dan kehebatan pesawat Airbus A380. Jika mahu penerbangan yang agak murah, maka gunalah Oman Air atau Turkish Airlines. Maka dapatlah murah sedikit yang tetap mahal kepada yang yang mengumpul duit.

Minah-minah Salleh tersebut ternyata gembira berada di bumi kita sebab sebagai pelancong itulah yang mereka rasai. Dari satu segi mereka benar-benar menikmati percutian mereka. Insya-Allah, Ahad ini aku menunggu mereka untuk berkunjung ke rumahku - menikmati hidangan terkenal penduduk Taman Matang Jaya - Cucur Pusuk dan Cucur Udang.

Azan sudah berkumandang. Aku tangguh dahulu penulisan kali ini. Selamat Membaca hihihihi...

Kebolehpasaran, Menerapkan nilai intelektual dan sokongan masyarakat : Buku

Industri penulisan mampu setanding negara maju jika banyak buku diterbitkan, kata Zahid 
Malaysia mampu setanding negara-negara maju dalam industri penulisan jika lebih banyak buku intelektual diterbitkan dan lebih ramai penulis tempatan bertaraf dunia dikenali dan diiktiraf.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata adalah penting untuk terus kekal relevan dalam industri ini kerana negara masih kekurangan penerbitan buku berbanding dengan negara lain.
"Mengikut standard Unesco, penerbitan buku mestilah pada kadar 1% untuk setiap sejuta penduduk iaitu 1,000 buku (diterbitkan). Tetapi di Malaysia, cuma 15,000 buku diterbitkan untuk 27 juta penduduk Malaysia.
"Jadi penerbitan buku di negara ini sangat kurang. Kebolehmampuan  membeli buku kini bukan di tahap sepatutnya. Harus tanya pada para sarjana, adakah buku yang diterbitkan mempunyai kualiti tinggi, mengikut cita rasa pembaca dan boleh diterjemah di peringkat antarabangsa?
"Janganlah jadi juara kampung... jangan jadi jumud... duduk dalam kepompong lama. Nilai kebolehpasaran perlu ada dalam setiap buku yang diterbitkan," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Buku Negara yang turut dihadiri Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara, Hassan Hamzah di Kuala Lumpur, malam tadi.
Mengulas lanjut, Zahid berkata kebolehpasaran sesuatu karya atau buku memerlukan kualiti isi kandungan yang menerapkan nilai intelektual, mendapat sokongan dan dukungan masyarakat selain suntikan kewangan daripada kerajaan.
Menurutnya, 3 perkara ini penting untuk mewujudkan kesinambungan antara penulis, penerbit dan kerajaan selain merungkai situasi permintaan dan penawaran yang kerap kali berubah dan tidak stabil ini.
Selain itu katanya, penggiat industri buku juga perlu menggunakan kecanggihan teknologi seperti e-Book untuk terus kekal relevan dalam pasaran selain memasarkan bahan bacaan sedia ada seperti jurnal dan buku-buku ilmiah.
"Kita perlu cita-cita besar dan kekal relevan kerana pada 2057 genap 100 tahun kita merdeka. Kita mesti sediakan tokoh-tokoh penulis dan penerbit di peringkat antarabangsa. Kita harus sediakan prasarana supaya kita tidak ketinggalan," katanya.
Dalam ucapannya juga, Zahid menggesa para sarjana menghasilkan lebih banyak buku intelektual yang mempunyai kajian impirikal yang sahih untuk memastikan ia berjaya dipasarkan dan mendapat sambutan pembaca tempatan dan antarabangsa.
Pada akhir majlis, timbalan perdana menteri kemudian menyampaikan anugerah kepada beberapa tokoh penulisan dan penerbit terkenal mengikut kategori antaranya Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas (Tokoh Buku Negara), Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Khim (Tokoh Sejarawan), Prof Emeritus Dr Hashim Musa (Tokoh Linguistik) dan Prof Madya Dr Lim Swee Tin (Anugerah Perdana Aminuddin Baki). – Bernama, 27 November, 2015.

Tuesday, January 7, 2014

Aku berkali-kali baca petikan ini!


 “Apabila kita mencari sudut baik dalam jiwa manusia kita akan dapati di sana kebaikan yang banyak yang barangkali mata tidak dapat melihatnya pada awal pandangan. Sesungguhnya kejahatan itu bukanlah sesuatu yang mendalam di jiwa insani sehingga ke peringkat yang kita bayangkan kadang-kala. Ia hanyalah kulit keras luaran yang manusia gunakannya untuk menghadapi kehidupan demi untuk bertahan. Apabila mereka beriman maka tersingkaplah kulit keras luaran itu, zahirlah buah manis yang menyelerakan.. buah manis ini hanya tersingkap kepada sesiapa yang mampu menjadikan manusia merasa aman di sisinya.. dengan keyakinan terhadap kasihnya.. dengan simpati yang hakiki atas masalah, kesakitan, kesilapan dan kebodohan mereka..dengan sedikit berlapang dada pada peringkat awal menjamin untuk merealisasikan itu semua. Ia lebih pantas dari sangkaan kebanyakan orang..”   Sayyid Qutb

                                                                                             

Sunday, January 5, 2014

Wajah Kemenangan.

Wajah. Hari ini aku ingin menulis sesuatu berkaitan wajah. Wajah individu hanya akan terbayang di paparan minda kita sebaik sahaja nama mereka yang berkaitan disebutkan. Itulah kelebihan otak kita ciptaan Allah SWT, yang mungkin jarang atau kadang-kadang -merujuk kepada dialog cerita P.Ramlee - untuk mensyukurinya.

Pakar psikologi melihat wajah dan analisis untuk mengetahui permasalah setiap individu. Sebab itu dalam ilmu komunikasi perbincangan manusia harus bertentangan mata. Pusat perisikan antarabangsa juga menggunakan wajah sebagai salah satu identiti pengenalan diri selepas ibu jari. Tajukah anda bahawa wajah setiap mahkluk di dunia ini mempunyai simetri yang berbeza dan unik sekali.

Berkaitan wajah juga, telah menaikkan beberapa nama jurufoto yang sekarang ini sudah bergelar otai. Salah seorang daripada mereka ialah Steve McCurry, juru foto National Geography yang terkenal sebaik sahaja gambar wajah potrait seorang gadis Afganistan menjadi muka hadapan majalah NG, dan tersebar ke seluruh dunia.
Gadis Afganistan
Fenomena impak gambar tersebut telah berjaya menaikan bukan sahaja populariti majalah NG, tetapi juga telah menaikkan nama jurufoto NG ke pesada dunia. Walaupun umum mengetahui bahawa NG telah lama wujud, namun impak yang sebenar memberi kesan dan pengaruh yang besar ke alam gambar telah mendorong NG untuk menjadikan subjek gambar sebagai fokus utama dalam NG.

Hasilnya, majalah NG telah menjurus kepada jenis pelaporan kajian dan penyiasatan ilmiah. Setiap rencana atau tugasan yang ditulis adalah berkisar kepada gambar yang dirakam. Hal ini telah mendorong kewujudan apa yang dinamakan 'photojournalist'. Dan fenomena ini tidak terhenti setakat itu sahaja malah semakin berkembang dengan hebatnya sejajar dengan penghasilan pelbagai teknologi yang memudahkan lagi penyebaran media.

Bercakap mengenai gambar Gadis Afganistan, tidak seharusnya kita melupakan Steve McCurry. Beliau bukan sahaja seorang jurufoto, malah seorang ayah yang penyayang. Pembaca boleh mengetahui lebih lanjut mengenai beliau di http://stevemccurry.com/biography
Steve McCurry
Tidak adil jika bercakap soal wajah jika kita tidak menyebut jurufoto tempatan, yang tidak kurang hebatnya. Yaman Ibrahim, satu nama yang pastinya tidak asing lagi kepada peminat jurufoto di Malaysia, baru-baru ini telah dinobatkan sebagai penerima Maybank Photography Awards, menewaskan beberapa orang lain termasuk dari negara luar. Wajah potrait yang beliau pertandingan itu memang tidak boleh disangkal akan kehebatannya dari sudut fotografi.

Itulah penangan jurufoto berkaitan wajah. Sememangnya wajah memberikan pelbagai makna tersirat dan tersurat.