Wednesday, December 16, 2009

Penulis Lesu Masyarakat Bisu?

Baru-baru ini penulis menghadiri Perkampungan Pengarang Sarawak 2009 yang berlangsung di Miri. Maka ramailah golongan pengaang yang hadir. Walaupun dari satu sudut penulis berpendapat bahawa peserta yang hadir itu mungkin tidak akan dapat merealisasikan kehendak objektif yang disasarkan oleh pihak penganjur.

Dari satu segi, penulis bila berbual mesra dengan beberapa orang wakil dari negeri di bawah bayu, rasa tabik, kerana khabarnya atau boleh disimpulkan pengarang disana lebih vokal untuk bersuara berbanding di Bumi Kenyalang, yang bersifat malu-malu atau tidak berani tampil ke hadapan.

Dalam satu perbahasan yang pada penulis agak panas ialah persoalan kononnya pihak yang bertanggungjawab terhadap perkembangan bahasa, sastera dan penerbitan di Kuching, memonopoli ruangan atau wadah penulisan Yang Indah Itu Bahasa. Berdasarkan pengalaman penulis, tidak wujud persoalan monopoli dan sebaginya tapi penulis atau pengarang di Sarawak sendiri yang lesu, tidak bermaya.

Bukan suatu yang baharu penulis hanya berjanji untuk menghantarkan bahan, tapi akhirnya janji tinggal janji, walhal kerja penerbitan, terutamanya penerbitan berkala tidak mengenal erti tiada bahan. Jadual mesti dipatuhi dan siaran mesti ada. Itulah penerbitan berkala.

Itu satu hal. Belum lagi ada penulis yang menulis isu-isu yang boleh dikatakan sudah ketinggalan zaman. Sewajarnya, sebagai penulis terutamanya untuk tujuan menghantar penulisan rencana, isu yang hendak difokuskan biarlah isu terkini. Jika isu lama pun tidak salah jika dikemaskinikan dengan maklumat baharu agar penulisan menjadi up to date, walau pun sudah ada luahan yang bersifat setimental mempengaruhinya.

Masa tidak mengizinkan untuk saya menulis lebih panjang...

Monday, December 7, 2009

Kehidupan & Tanggungjawab

Salam sejahtera. Memang pelik terasa bila sudah lama tidak mengemaksinikan blog. Kepada sesiapa yangmemiliki blog, rasa itu pasti dirasainya. Dengan kemunculan pelbagai laman sesawang yang baharu, dan penyediaan pelbagai aplikasi yang lebih mudah, tidak keterlaluan saya katakan bahawa mungkin suatu hari dalam tempoh dua tahun dari sekarang blog hanya tinggal blog. Mungkin tidak akan ada, terlalu banyak atau ditukar kepada keadah penyampaian yang lain yang mungkin lebih mesra sifat penggunaannya.

Dengan izinnya juga, sehingga ke tarikh ini sudah lebih 100 hari bondaku kembali ke rahmatullah. Pelbagai rasa dan kenangan mudah menguasai diri. Rasa ini mungkin pernah dialami oleh anak-anak lain yang kehilangan kedua orang tuanya. Saya mungkin salah seorang daripada mereka. Namun hidup mesti diteruskan. Terlalu banyak tanggungjawab kita sebagai manusia yang wajid dilaksanakan. Mungkin kita belum pernah membaca Rukun Menjadi Manusia yang harus dilaksanakan, namun sebagai seorang Islam, sama ada kita suka atau tidak besar tanggungjawab kita dalam kehidupan ini sebenarnya.

Lantaran itu jugalah, para sahabat Rasulullah pernah dikatakan selalu meluah sendirian tentang keapa mereka tidak dijadikan rumput, binatang dan benda lain selain manusia, kerana mereka memahami akan tanggungjawab yang harus mereka lakukan sebagai manusia yang beragama Islam.

Ya Allah, jadikanlah daku dalam kalangan hamba-Mu yang bertanggungjawab terhadap kehidupan dunia dan akhiratnya, Amin...

Masa terlalu singkat untuk saya menulis panjang. Masa berlari untuk membawa ku terus pergi ke destinasi lain. Insya-Allah akan bersambung lagi...