Friday, July 10, 2009

PPSMI : Realiti dan Fantasi

Agak lama tidak menulis. Penulis perlu menumpukan kepada beberapa program jabatan, berpesatuan dan berada di luar kawasan. Sesekali, ada juga penulis menerima e-mel dan sms nakal daripada beberapa orang rakan lama. Ada juga yang menghantar sms "meluahkan" kebodohan diri. Dalam erti kata lain sengaja menampakkan "kurang bijak", walhal seorang yang berpelajaran dan beragama. Adakah mungkin tidak mempercayai hakikat kehidupan atau realiti qada dan qadar? Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Seperti kata perpatah Melayu, berani buat, maka seharusnya beranilah menanggung risikonya.

Pada minggu ini juga, kerajaan, melalui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin , telah mengumumkan keputusan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012.

Tun Dr. Mahathir, seperti dilaporkan Malaysiakini, merupakan orang pertama yang memberi respon berhubung perkara tersebut. Seperti dijangkakan, Tun memang agak marah dengan keputusan kerajaan memansuhkan dasar tersebut. Kemarahan Tun turut dijelmakan dalam bentuk mengadakan undian pada blog beliau.

Di pihak kerajaan pula, sebaik mengumumkan akan memansuhkan dasar tersebut, telah mengumumkan beberapa strategi lain bagi meningkatkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris disekolah. Sejumlah RM5 billion diperuntukkan bagi tujuan tersebut, seperti diberitahu oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi di parlimen, baru-baru ini. Selain itu, tambah Dr. Mohd Puad, sejumlah 13,933 orang guru Bahasa Inggeris akan diambil bagi meningkatkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah.

Dasar PPSMI, mula diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir pada tahu 2003. Ketika mula diperkenalkan, memang banyak pihak yang menentang dasar tersebut, cuma tidak adalah sampai ke tahap mengadakan demontrasi. Mungkin disebabkan masyarakat pada ketika itu sedar bahawa kekuatan politik UMNO amat kukuh, sehingga tidak berani ada pihak yang mempertikaikannya

Walaupun terdapat beberapa kerat kepimpinan UMNO sendiri menyuarakan kesan jangka panjang kepada tamadun bangsa Melayu berhubung pelaksanaan dasar tersebut, namun tidak ada "kuat" sehingga mendorong Tun Mahathir memansuhkan dasar tersebut. Menurut seorang rakan yang akrab dengan UMNO memberitahu, pada satu sesi Tun Mahathir dengan para akademik berhubung sesi soal jawab sebelum pelaksaan dasar tersebut pada tahun 2003, tidak ada seoarang pun ahli akademik yang dapat berhujah secara bernas mematikan hujah Tun Mahathir, kenapa dasar itu tidak harus dilaksanakan. Tidak pasti penulis kebenaran cerita tersebut. Yang jelas rakan tersebut ialah orang kuat UMNO dan amat rapat dengan "otai" UMNO.

Bahang PPSMI masih lagi terasa. Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said, mempertikaikan kenapa perlu menunggu sehingga 2012 untuk mansuhkan dasar tersebut? Beliau juga menyoal kenapa sewaktu dasar tersebut diperkenalkan pada 2003 dahulu, tidak pun menunggu kajian dan sebagainya?

Penulis tidak layak untuk mengulas semua hal tersebut. Apa yang penulis nak luahan dalam blog ini ialah, penulis nak tahu berapa jumlah telah kerajaan peruntukkan untuk pastikan anak-anak Malaysia menguasai Bahasa Melayu dengan betul? Mungkin ada yang akan berkata, semua rakyat Malaysai sudah boleh bertutur dalam Bahasa Melayu. Persoalannya sekarang taraf bahasa yang seperti apa? Bahasa rojak atau bahasa selanga? Realitinya itulah yang berlaku. Lihat di mana-mana jua liputan majlis yang melibatkan pemimpin negara, adakah Bahasa Melayu digunakan?

Itu belum lagi bila kita rincikan hal berkaitan pengasingan pelajar aliran sains dan sastera. Isu ini seharusnya dilihat juga oleh pihak Kementerian Pelajaran memandangkan tujuan utama bahasa dan aspek budaya ialah membentuk tamadun bangsa Malaysia. Apa gunanya sistem pembelajaran yang masih mengasingkan nilai IQ, EQ dan SQ, jika objektif utama dalam pembelajaran ialah untuk membentuk individu yang berkualiti dalam semua aspek?

Dalam isu Bahasa Melayu, misalnya, pembelajaran subjek sastera menjadi hambar lantaran guru sastera (sebahagiannya) yang tidak mengetahui atau memahami konsep sastera itu sendiri. Pembelajaran dalam KOMSAS membuatkan para pelajar menjadi bosan, walhal dalam aspek sastera, terdapat banyak kesronokkan yang tidak dijelaskan. Persoalannya kenapa isu ini tidak dilihat juga oleh pihak Kementerian Pelajaran?

Penulis bimbang, apabila kita hanya menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, semua yang berkaitan Bahasa Melayu, dan sewaktu dengannya akan dipinggirkan. Makan jadilah seperti kata perpatah, gajah mati depan mata semua orang tak nampak. Kuman yang micro sifatnya, walau juah dari pandangan, orang nampak pulak.

Setiap individu yang waras dan bijaksana mengakui akan hakikat bahasa Inggeris, penting dalam dunia hari ini. Sama ada kita mahu atau tidak, setiap individu harus memahami dan boleh menguasai Bahasa Inggeris. Namun, pada masa yang sama, kita tidak harus mengagungkan bahasa lain sehingga mematikan bahasa kita sendiri.

Apa gunanya slogan 1Malaysia jika bahasa rasmi negara sendiri diabaikan? Apa gunanya bahasa perpaduan jika isu bahasa tidak mampu ditangani oleh kerajaan? Bagaimana untuk memcapai perpaduan dalam kelompok masyarakat Malaysia berbilang kaum jika tiada bahasa yang jelas untuk digunapakai oleh seluruh rakyat Malaysia? Akhirnya sekali, pertanyaan penulis ialah, apa gunanya di gelar sebagai bahasa rasmi negara jika sifatnya hanya sekadar untuk memenuhi syarat kewujudan sebuah negara? Tuan puan fikirkanlah sendiri...

Wednesday, July 1, 2009

Fitnah: Selagi Mulut Boleh Bercakap...

Hari ini saya akan bercakap mengenai isu fitnah. Banyak fitnah yang telah berlaku pada hari ini. Dalam keadaan yang sama kita tidak mengetahui kenapa ianya berlaku. Ada fitnah yang sengaja diadakan untuk menjatuhkan lawan, dan ada juga fitnah yang sengaja diadakan juga untuk tujuan suka-suka. Begitu parahnya umat manusia hari ini.

Penulis sendiri tidak terkecuali daripada mainan fitnah manusia, walhal siapalah penulis, bukan "orang besar" mahupun "somebody" yang berkuasa. Penulis percaya kepada qada dan qadar dalam menjalani hidup seharian, bersama-sama ilmu dan pengalaman hidup yang lalu. Cuma kekadang pelik bila mendengar cerita berkaitan fitnah ini kerana manusia lebih cepat mempercayainya berbanding menyiasat kebenarannya terlebih dahulu. Itulah persoalan penulis, kenapa manusia cepat mempercayai fitnah berbanding untuk menyiasat atau mengetahui akan hal sebenar terlebih dahulu.

Tidak kurang juga yang akan berkata, jika tiada angin, pasti daun tidak akan berterbangan. Dalam zaman teknologi maklumat yang pesat membangun sekarang mungkin perpatah tersebut sudah tidak releven lagi. Sebabnya, jika tiada angin sekalipun, zaman hari ini kita sudah memiliki kipas angin atau 'aircon'. Sudah pastinya daun akan berterbangan jika kipas dihidupkan!

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.

Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak, dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.

Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar. Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.

Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah. Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Justeru penulis berpendapat, selagi ada mulut dan boleh bercakap, fitnah tetap akan berlaku walau apa-apa jua sekalipun usaha kita untuk menggelakkannya. Manusia pastinya suka jika melihat orang yang difitnah menanggung kesusahan dan kepayahan. Dalam satu kes yang penulis baca dalam majalah 'Perempuan' sebelum ini, perkahwinan berusia 20 tahun akhirnya berakhir dengan penceraian lantaran fitnah yang tidak benar disebarkan oleh kawan kepada isteri sendiri yang mendakwa suaminya curang.

Paling sedih dalam kes mangsa fitnah tersebut, kawannya mereka fitnah sehingga suami isteri terbabit menjatuhkan talak tiga ke atas isterinya. Sudah jatuh ditimpa tangga, isteri tersebut ditalakkan, dan hak penjagaan anak diberikan kepada suaminya. Dan klimaks kisah tersebut apabila kawan itu sendiri yang mengawini bekas suami kawannya. Itulah kisah fitnah.

Penulis beranggapan dalam suasana manusia sekarang yang kerap dikatakan menghidapi penyakit "PHD", maka untuk menangani fitnah pastinya sukar. Menggelak perkara yang menjerumus kepada fitnah pun akan mewujudkan juga cerita fitnah ini. Cara erbaik untuk individu mengatasinya ialah dengan menerima qada dan qadar dalam hidup, menerima hakikat setiap yang hidup ada baik dan buruknya (Tuhan Maha Adil), dan terus bertanya kepada orang yang difitnah itu sebagai jalan terakhir untuk mengesahkan maklumat fitnah yang disebarkan. Seterusnya bersabar dan bertawak kepadaNYA. Hanya kita sendiri yang mengetahui sama ada kita difitnah atau sebaliknya. Yakinlah bahawa setiap yang berlaku kepada kita ada hikmahnya, dan berpeganglah kepada prinsip tersebut. Dalam keadaan yang sama tidak banyak yang boleh kita usahakan melainkan berdoa dan mengadu kepadaNYA. Setebal kamus sekalipun hujah atau penjelasan kita lakukan untuk atasi fitnah, tidak akan dapat menyelesaikan keadaan, selagi manusia jahil menggunakan akal dan mengusai mulut.

Sebagai seorang yang beragama Islam, tentu kita tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama. Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah.

Selagi mulut boleh bercakap, fitnah tidak akan berhenti.